Bijak memilih sajian Halal semasa melancong
Tidak kira sama ada ingin bercuti pada musim cuti sekolah atau pada bila-bila masa, perancangan awal amat penting bagi memastikan percutian berjalan dengan lebih lancar dan menyeronokkan.
Melancong ke luar negara memang menyeronokkan, namun cabaran mendapatkan makanan halal ada kalanya memerlukan lebih perhatian. (Gambar: Aizam Omar)
Perancangan awal bukan sahaja membolehkan anda menilai destinasi yang selamat dan sesuai dengan bajet, malah ia juga memberi peluang untuk menikmati tawaran tiket kapal terbang yang lebih berbaloi selain merancang jadual percutian santai, 'free and easy' dan sebagainya.
Pada masa yang sama, satu lagi perkara penting ketika melancong ke luar negara adalah memastikan makanan yang diambil adalah halal dan selamat. Bermula daripada mencari restoran halal, memilih penginapan yang sesuai, semua ini dapat membantu menjadikan percutian lebih terancang, selesa dan bebas tekanan.
Melancong ke luar negara memang menyeronokkan, tetapi cabaran untuk mendapatkan makanan halal ada kalanya memerlukan lebih perhatian. Ini bukan sahaja kerana sesetengah negara tidak mempunyai majoriti penduduk bukan Islam, malah kefahaman tentang konsep halal juga berbeza mengikut budaya dan tempat.
Ada restoran atau tempat makan yang hanya menekankan tiada penggunaan khinzir atau 'No pork, no lard', tetapi tidak mengambil kira bahan lain yang digunakan dalam sajian seperti alkohol, gelatin daripada sumber haiwan yang meragukan status halalnya dan sebagainya.
Ada kalanya bahan yang digunakan seperti kuah, sos atau perisa tertentu ada mengandungi bahan seperti alkohol atau wain. Malah, sesetengah hidangan vegetarian juga turut menggunakan wain sebagai penambah rasa dan walaupun digunakan dalam jumlah kecil, ia tetap tidak dibenarkan.
Dalam pada masa yang sama, manisan seperti coklat yang terdapat di luar negara juga perlu diberi perhatian. Ini kerana ada yang menggunakan gelatin daripada sumber atau bahan yang tidak dapat dipastikan status kehalalannya. Perkara sebegini menunjukkan betapa pentingnya untuk kita lebih teliti dan memahami kandungan bahan dalam makanan yang ingin dinikmati atau dibeli.
Sebagai langkah selamat, rancang terlebih dahulu sebelum memilih tempat makan. Utamakan restoran yang mempunyai pensijilan halal. Sekiranya restoran halal sukar ditemui, makanan berasaskan makanan laut atau 'vegetarian' boleh dijadikan alternatif, namun pastikan ia tidak mempunyai penggunaan alkohol atau bahan-bahan lain yang meragukan.
BAHAN DALAM MAKANAN
Selain hidangan halal, antara cabaran lain adalah memahami menu yang menggunakan istilah asing. Contohnya, semasa berada di Itali dan Perancis, khinzir dan kandungan bahan lain boleh muncul dalam bentuk yang tidak dikenali oleh pelancong Muslim.
Antaranya, bahan seperti prosciutto di Itali atau lardon di Perancis merupakan sejenis daging khinzir yang terselindung dalam hidangan. Untuk mengelakkan kekeliruan, sebagai pelancong Muslim, anda digalakkan untuk membuat sedikit kajian tentang istilah atau nama bahan yang mungkin mengandungi khinzir atau alkohol.
Mengetahui perkataan atau istilah ini dapat membantu anda membuat pilihan makanan dengan lebih bijak tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada pelayan restoran yang ada kalanya tidak faham.
Untuk memudahkan, anda juga boleh cuba senaraikan istilah bahan atau makanan yang perlu dielakkan di dalam telefon bimbit dan sentiasa periksa label makanan. Dengan sedikit usaha, risiko tersalah makan dapat dikurangkan dan dielakkan.
Pada masa yang sama, membawa bekalan makanan ringan yang sihat juga amat membantu ketika melalui perjalanan panjang. Antaranya, bijirin oat segera, kekacang dan buah-buahan kering. Inilah antara pilihan makanan yang mampu menahan lapar sepanjang hari. Walaupun ringkas, ia berkhasiat dan tenaga anda tidak cepat habis semasa berjalan meneroka destinasi dan tempat-tempat menarik.
USAH TAKUT BERTANYA
Sekiranya anda berdepan dengan pilihan makanan yang terhad untuk dibeli atau menjamu selera di restoran atau kafe biasa, usah cemas atau rasa khuatir. Sebaliknya, anda boleh bertanya dengan sopan kepada pekerja kedai tentang bahan-bahan yang digunakan dalam hidangan lain yang disediakan.
Percayalah, kebanyakan pelayan akan menghargai penjelasan anda dan akan cuba menyesuaikan hidangan bagi memenuhi permintaan anda. Yang penting anda harus bersikap sopan, mesra tetapi tegas dalam menyatakan keperluan halal. Dengan cara ini ia bukan sahaja memudahkan anda, tetapi juga memberi peluang kepada restoran untuk belajar tentang keperluan pelancong Muslim.
PERANCANGAN AWAL
Dengan persediaan yang bijak, setiap percutian tidak kira destinasi boleh menjadi lebih santai dan menyeronokkan. Mengetahui pilihan makanan halal dan merancang aktiviti awal membolehkan anda menikmati pengalaman cuti tanpa risau tentang hal-hal kecil yang boleh mengganggu perjalanan.
Melancong dengan penuh kesedaran juga membolehkan anda menghargai budaya dan suasana baharu dengan lebih mendalam. Setiap detik dapat dinikmati sepenuhnya, sama ada ketika menjamu selera sajian tempatan atau menjelajah tempat menarik.
Perjalanan bukan sekadar destinasi, tetapi juga pengalaman yang meninggalkan kenangan manis. Dengan merancang percutian yang tepat, anda boleh pulang dengan hati yang gembira, penuh inspirasi dan pelbagai memori yang pasti akan membuat anda tersenyum.
Akhir sekali, bagi yang sedang membuat perancangan untuk bercuti ke luar negara, anda boleh meneroka lelaman www.halalzilla.com untuk dapatkan saranan tempat makan halal di seluruh dunia. Ia boleh dijadikan sebagai rujukan berguna agar percutian berjalan lancar, teratur dan yang pasti perut kenyang!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.