Betulkah minyak kelapa makanan sihat? Mungkin juga tidak. Ini menurut sains...
Minyak kelapa masih lagi disifatkan sebagai antara makanan terbaik dan mempunyai nilai pemakanan yang tinggi.
(Lukisan: Gracia Lam/The New York Times)
AMERIKA SYARIKAT: Minyak kelapa masih lagi disifatkan sebagai antara makanan terbaik dan mempunyai nilai pemakanan yang tinggi.
Peminat tegarnya termasuk para selebriti, yang mendakwa minyak kelapa membantu mengurangkan berat badan, tekanan darah, kandungan gula dalam darah, melindungi daripada penyakit jantung, meningkatkan tenaga, mengurangkan keradangan, menghilangkan kedutan dan malah mencegah penyakit Alzheimer.
Tambahan lagi, rasanya juga enak. Jadi adakah perkara buruk tentang minyak kelapa?
Jika anda percaya kepada semua itu, teruskan membaca.
"Apabila saya melihat produk yang meletakkan begitu panjang senarai manfaatkanya, saya tahu ini tidak mungkin benar," kata pakar khasiat dan dasar makanan di Universiti New York, Marion Nestle.
"Minyak kelapa mempunyai aura sebagai 'superfood' yakni makanan yang mempunyai khasiat yang tinggi dan ramai orang mempercayainya. Mereka terpendaya dengan pemikiran bahawa ini makanan ajaib dan perlu berhenti sejenak dan berfikir bahawa 'ini satu percubaan untuk menjual produk kepada saya'."
Sekalipun demikian satu tinjauan yang dijalankan dalam tahun 2016 mendapati, 72 peratus rakyat Amerika melihat minyak kelapa sebagai makanan sihat.
Sudah tiba masanya untuk melepaskan label sedemikian, yang menurut kajian saintifik sebagai "tidak layak" diberikan kepada minyak kelapa. Ini supaya para pembeli tidak membazirkan sekitar S$50 untuk membeli sebotol minyak kelapa yang mengandungi kira-kira 946 mililiter cecair. Sebaliknya menggunakan wang itu untuk membeli makanan yang sememangnya berkhasiat untuk kesihatan mereka.
MENYIHATKAN ATAU DINIKMATI SEKALI SEKALA SEPERTI AIS KRIM?
Bukti-bukti berdasarkan dapatan sains berikut ini diharap dapat meyakinkan anda untuk meletakkan status minyak kelapa setaraf dengan mungkin ais krim. Bermakna, ia adalah makanan yang boleh dinikmati sekali sekala dalam jumlah sederhana.
Pertama, ayuh kita teliti apakah sebenarnya itu minyak kelapa.
Minyak kelapa sebenarnya bukanlah minyak, sekurang-kurangnya bagi mereka yang tinggal di negara-negara sejuk atau bahagian hemisfera utara. Ini termasuk Iceland, Kanada, Amerika Syarikat.
Ia lebih kepada mentega atau lemak daging, pejal apabila dalam keadaan sejuk.
Inilah petanda pertama yang menunjukkan bahawa, tidak seperti kebanyakan minyak lain yang diperolehi daripada tumbuh-tumbuhan yang mengandungi lemak asid tidak tepu, minyak kelapa mengandungi 87 peratus lemak tepu. Malah, ia jauh lebih tinggi berbanding mentega (63 peratus) atau lemak daging (40 peratus).
Kebanyakan pakar menyarankan dihadkan pengambilan lemak tepu, yang boleh menjadi punca kadar kolestrol tinggi yanag menyebabkan saluran darah tersumbat.
MINYAK KELAPA BUKAN MAKANAN DIET
Seperti minyak sayuran lain, satu sudu makan minyak kelapa mengandungi 117 kalori, 15 peratus lebih tinggi berbanding satu sudu makan mentega.
Mungkin anda pernah dengar bahawa lemak asid asas dalam minyak kelapa, yang dipanggil asid laurik, tidak bertindak seperti lemak tepu dalam badan.
Ini tidak benar!
Tindak balasnya hampir sama dengan lemak daging dan mentega. Kedua-duanya boleh menyebabkan penyakit jantung aterosklerotik - antara penyakit utama yang boleh membawa maut.
Untuk lebih memahami bagaimana minyak kelapa bertindak apabila dimakan, dua pakar dirujuk - Dr Frank M Sacks, pakar khasiat dan penyakit jantung di Sekolah Kesihatan Awam TH Chan di Harvard dan Dr Philip Greenland, profesor kardiologi di Sekolah Perubatan Feinberg di Chicago.
"Sudah lama diketahui bahawa minyak kelapa meningkatkan kadar kolesterol yang merosakkan saluran darah dan kajian terbaru memperkukuhkan pemahaman itu," kata Dr Sacks.
"Saya tidak menjumpai mana-mana bahan saintifik yang menyokong dakwaan pengiklanan bahawa minyak kelapa mempunyai kesan bermanfaat."
PEMASARAN MINYAK KELAPA MENGELIRUKAN
Profesor Greenland juga bersetuju dengan penilaian tersebut, sambil menambah "pemasaran minyak kelapa mengelirukan. Ia cuba menjual produk sebagai lemak yang sihat tetapi mereka yang mengetahui kandungannya tidak akan berfikir begitu."
"Lemak tidak boleh bergerak dengan sendirinya," kata Profesor Greenland, menjelaskan bahawa asid lemak jenis rantaian panjang atau 'long chain' seperti yang terdapat pada lemak daging diserap ke dalam saluran darah menerusi bahan-bahan yang pembawa lemak yang dipanggil 'chylomicron' kepada tisu-tisu dalam tubuh.
Asid lemak jenis rantaian pertengahan lebih mudah larut dalam air; ia boleh diserap ke dalam saluran darah tanpa bantuan 'chylomicron' dan menyalurkan langsung ke hati, di mana ia digunakan untuk tenaga.
Meskipun asid laurik lazimnya disifatkan sebagai asid lemak rantaian pertengahan, label itu dibuat sewenang-wenangnya.
"Apa yang penting adalah bagaimana lemak itu menjadi metabolisme dalam tubuh. Asid laurik bertindak seperti asid lemak rantaian panjang", iaitu jenis yang menyebabkan aterosklerosis atau pembuluh darah sempit.
Satu dakwaan mengenai minyak kelapa yang tidak boleh dipertikaikan adalah: Ia boleh meningkatkan kadar kolesterol HDL, yang sudah lama diketahui boleh melindungi seseorang daripada penyakit jantung.
Sekalipun demikian, manfaat jelas daripada kolesterol HDL belum lagi dilihat dalam diri manusia.
"Kajian genetik dan ubat-ubatan yang meningkatkan kadar HDL sejauh ini belum menyokong hubungan antara kolesterol HDL dengan penyakit jantung.
BAGAIMANA JIKA SESEORANG BANYAK MAKAN MINYAK KELAPA?
Sama, kata Profesor Greenland. "Usaha untuk meningkatkan kolesterol HDL belum membawa kepada peningkatan manfaat kllinikal."
Ramai penyokong juga yang suka memetik masyarakat asli seperti Polenisia, Melanesia, orang Sri Lanka dan India sebagai menggunakan minyak kelapa dalam jumlah yang banyak tanpa mengalami masalah kadar tinggi penyakit jatung.
Bagaimanapun, kebanyakan masyarakat tersebut lazimnya memakan isi kelapa atau santan dengan kurang makanan diproses. Diet mereka juga kaya dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, dengan ikan sebagai protein utama.
Mereka juga jauh lebih aktif berbanding kebanyakan orang.
Namun, itu pun sudah banyak berubah, menurut satu laporan daripada pasukan kajian di New Zealand, dengan adanya "import makanan tidak sihat, menyebabkan masalah kesihatan dan obesiti".
KESIMPULANNYA?
Semakan pasukan itu ke atas 21 kajian mengenai pengambilan minyak kelapa membawa kepada kesimpulan bahawa produk yang mengandungi serat seperti isi dan tepung kelapa, dalam diet yang kaya dengan lemak politaktepu (polyunsaturated) tanpa kalori berlebihan daripada karbohidrat yang sudah diperhalusi tidak menyebabkan risiko penyakit jantung.
Namun para pengkaji tidak menemui sebarang bukti yang boleh mewajarkan minyak kelapa dijadikan ganti kepada minyak-minyak tidak tepu lain.
Hakikatnya, "jika anda gemarkan rasanya dan mengehadkan jumlah yang diambil, tidak mengapa. Namun minyak kelapa bukanlah 'superfood'," kata Cik Nestle.
Pun begitu, beliau menambah, jika anda ingin menggunakan minyak kelapa pada kulit atau rambut, silakan!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.