Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bersenam di waktu pagi atau petang lebih baik untuk kesihatan?

Melakukan senaman pada waktu pagi mempunyai kesan berbeza kepada metabolisme berbanding melakukan senaman pada waktu petang.

Anggaran Waktu Membaca:
Bersenam di waktu pagi atau petang lebih baik untuk kesihatan?

(Gambar: Unsplash/Emma Simpson)

NEW YORK: Melakukan senaman pada waktu pagi mempunyai kesan berbeza kepada metabolisme berbanding melakukan senaman pada waktu petang.

Demikian menurut satu kajian mengenai kesan waktu bersenam yang dijalankan ke atas haiwan.

Kajian itu, yang melibatkan beberapa ekor tikus makmal yang berlari-lari anak atas 'treadmill', menunjukkan beratus-ratus perbezaan dalam jumlah dan kegiatan molekul serta gen pada tubuh tikus itu, bergantung kepada sama ada mereka melakukan senaman lari-lari anak pada waktu pagi atau petang.

Kebanyakan perubahan itu berkaitan dengan pembakaran lemak dan aspek-aspek lain pada metabolisme haiwan itu.

Meskipun kajian tersebut dijalankan ke atas tikus-tikus makmal, dapatannya mungkin relevan kepada individu yang pernah terfikir sama ada ia lebih bermanfaat untuk bersenam sebelum bertugas di waktu pagi ataupun selepas waktu bertugas.

Kajian yang diterbitkan dalam majalah Cell Metabolism pada bulan ini, cuba mengukur setiap perubahan molekular yang berkaitan dengan metabolisme semasa melakukan aktiviti senaman pada waktu berbeza.

Menggunakan beberapa ekor tikus makmal jantan, kesemua haiwan itu dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Kumpulan pertama diarahkan untuk berlari-lari anak selama sejam pada waktu pagi manakala tikus-tikus dalam kumpulan kedua diarahkan untuk melakukan aktiviti tersebut pada waktu petang.

Tikus-tikus dalam kumpulan ketiga pula diletakkan dalam roda yang dikunci selama sejam pada kedua-dua waktu itu. Ia berfungsi sebagai kumpulan kawalan sedentari dalam kajian itu.

Sekitar sejam selepas setiap senaman dilakukan, para pengkaji mengambil sampel-sampel berulang daripada bahagian otot, jantung, hipotalamus hati, lemak putih, lemak perang dan darah daripada kesemua tikus itu. Peralatan canggih kemudian digunakan untuk mengenal pasti dan mengukur hampir setiap molekul dalam tisu-tisu tersebut yang berkaitan dengan penggunaan tenaga.

Mereka kemudian menggabungkan kesemua dapatan bagi tisu dan tikus-tikus berkenaan.

Ternyata, kajian itu membuahkan dapatan yang menarik.

Memandangkan tikus merupakan haiwan nokturnal, ia berjaga pada waktu malam dan bersiap sedia untuk tidur pada waktu pagi. Jadual itu pula bertentangan dengan manusia.

Apabila tikus-tikus makmal itu melakukan senaman pada permulaan waktu mereka berjaga - iaitu waktu pagi untuk manusia - para pengkaji mendapati beratus-ratus jumlah molekul yang meningkat atau merosot selepas senaman itu, dan jumlah itu berbeza dengan kadar yang dilihat dalam kumpulan tikus-tikus makmal yang melakukan senaman dekat dengan waktu tidur mereka atau tidak bersenam pun.

Selain itu, sesetengah perubahan tersebut berlaku hampir serupa dengan bahagian tubuh yang berlainan, sekaligus mencadangkan kepada para pengkaji bahawa pelbagai organ dan tisu berhubungan dengan satu sama lain.

Otot dan hati tikus-tikus makmal itu misalnya, berkongsi banyak perubahan molekular apabila haiwan itu bersenam pada waktu pagi, namun tidak banyak perubahan apabila ia bersenam tidak lama sebelum waktu tidur.

Namun, sebaliknya berlaku apabila tikus-tikus itu bersenam pada waktu petang.

Jika dapatan itu sama dalam diri manusia, ia mungkin dapat mencadangkan bahawa bersenam pada waktu pagi dapat bantu membakar lebih banyak lemak, manakala bersenam pada waktu lewat petang mungkin lebih baik untuk mengawal kadar gula dalam darah.

Namun tikus-tikus makmal itu bukanlah manusia dan para pengkaji tidak tahu lagi jika corak molekular itu tertakluk kepada manusia.

Kajian selanjutnya kemungkinan dapat mendedahkan misalnya, jika berbasikal atau berlari-lari anak pada waktu lewat petang dapat mengawal penyakit kencing manis lebih berkesan berbanding jika seseorang itu berjalan pantas atau berenang di waktu pagi.

Namun kini, mungkin waktu terbaik untuk seseorang itu bersenam adalah pada bila-bila masa mereka mempunyai peluang untuk berbuat demikian.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan