Berlian mungkin boleh ditemui di Planet Utarid, kata saintis China
Planet Utarid mungkin mengandungi berlian di sebalik warna gelapnya yang luar biasa, demikian menurut kajian oleh para penyelidik di Universiti Sun Yat-sen di Zhuhai, selatan China.
(Gambar: Shutterstock)
Menurut para saintis berkenaan, pengamatan dan pemodelan yang dilakarkan mencadangkan bahawa kandungan grafit yang menjadikan planet tersebut sedemikian rupa, mungkin lebih rendah berbanding yang dianggarkan sebelum ini.
Malah, berlian dan bentuk karbon yang lain mungkin ada di planet tersebut.
Jika anggaran paras karbon sebelum ini pada permukaan planet tersebut adalah tepat, sebahagian besar daripada bentuk elemen itu tentu sekali hadir dalam bentuk lain iaitu seperti zarah berlian kecil dan karbon amorfus, yang tidak mempunyai struktur kristal.
Kajian tersebut yang diterbitkan oleh jurnal Nature Astronomy pada Khamis lalu (4 Jan) adalah berdasarkan kajian yang dilakukan sebelum ini di Amerika Syarikat melibatkan data yang dikumpul oleh kapal angkasa lepas Nasa yang pertama melakukan orbit di planet tersebut.
Planet Utarid adalah planet paling kecil dalam sistem suria, dan saiznya besar sedikit berbanding bulan.
Ia juga planet yang paling dekat dengan matahari - iaitu purata 77 juta kilometer dari Bumi - dan paling kurang dikaji kerana ia sukar untuk dicapai.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.