Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+ WARGA EMAS KREATIF: Sukarelawan warga emas garap kreativiti menerusi penghasilan filem pendek

Usaha mencari ilmu tidak wajar dihambat oleh faktor usia.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usaha mencari ilmu tidak wajar dihambat oleh faktor usia.

Sekumpulan warga emas mendapat suntikan semangat untuk belajar sepanjang hayat dalam bidang kreatif, hasil penganjuran pertandingan bikin filem sulung oleh RSVP Singapore - pertubuhan bagi sukarelawan usia emas.

Inisiatif yang memperkasa golongan warga emas untuk menghasilkan filem pendek ini bukan sahaja memberi saluran bagi mereka luahkan secara kreatif, tetapi juga memperoleh ilmu dan pengalaman dalam penceritaan serta pembikinan filem.

TIMBA ILMU HASILKAN FILEM PENDEK PERKAYA KEMAHIRAN DI USIA EMAS

Usia tidak menghalang hasrat dan usaha mencari ilmu, termasuk dalam bidang kreatif.
Related article image
Di bawah bimbingan pembikin filem pemenang anugerah, Encik Chang Swee Wah (tengah, berdiri), 30 warga emas termasuk Encik Morni Sulaiman (depan sekali, tiga dari kanan) meraih ilmu kreatif pembikinan filem. (Gambar: RSVP Singapore)
Di bawah bimbingan pembikin filem yang juga merupakan pemenang anugerah serta sukarelawan, Encik Chang Swee Wah, 30 warga emas dalam 9 pasukan telah menyahut cabaran untuk mempelajari kemahiran baharu perfileman ini dan menghidupkan kisah peribadi mereka di skrin, sambil membina keyakinan diri sepanjang tempoh enam bulan.

Di kalangan mereka ialah Encik Morni Sulaiman, 81 tahun.
Related article image
Cik Morni Sulaiman (depan, kanan sekali, bersongkok) khusyuk mempelajari cara bikin filem. (Gambar: RSVP Singapore)
"Daripada seramai ahli-ahli RSVP, hanya saya seorang sahajalah dari masyarakat Melayu yang turut-serta, yang turut serta dalam peraduan ini. Jadi, saya ingin tampilkan bahawa masyarakat Melayu tidak ketinggalan," kongsinya kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Hasrat untuk merangsang warga muda dan para mentee di bawah bimbingannya mendorong Encik Morni yang merupakan guru pesara menyertai usaha bikin filem sulung anjuran RSVP Singapore.

Tajuk filem yang dirancangnya menegur pelajar agar ‘guna masa, bukan gajet’.

Encik Morni perlu bekerjasama dalam sebuah kumpulan, untuk sama-sama meneroka ikatan antara generasi, pembelajaran sepanjang hayat, dan semangat kemasyarakatan - unsur-unsur yang mencerminkan visi bersama negara ke arah sebuah masyarakat yang lebih bersatu, berdaya, dan inklusif.

"Kami telah diberi bimbingan oleh Chang Swee Wah tentang bagaimana filem tersebut harus diproses daripada deraf untuk skrip, kemudian bentuk landskap dan cara untuk sunting, memasukkan audio, melakar pelan visual, kemudian bentuknya mestilah berorientasi landskap, sudut penggambaran, semualah aspek-aspek yang berkaitan dengan proses pembuatan video dan filem. Encik Chang beri saranan atau pandangan beliau bagaimana skrip itu harus diperbaiki untuk menarik minat lebih ramai penonton," kongsi Encik Morni.

Hasilnya, enam filem asli berjaya diterbitkan golongan emas ini untuk dipertandingkan.

"Saya rasa pembelajaran sepanjang hayat adalah sesuatu yang perlu kita ambil maklum dan ia tidak berhenti apabila kita meningkat usia. Tetapi bagaimana kita boleh menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sesuatu yang menyeronokkan? Jadi bahagian kreatif RSVP akan melakukannya. Dan itulah sebabnya kami benar-benar teruja selepas pertandingan bikin filem ini kerana kami melihat begitu banyak bakat di dalam kalangan sukarelawan kami sendiri," ujar Pengarah Eksekutif di RSVP Singapore Edna Claudine Leong, 61 tahun.

KEMAHIRAN BAHARU DIMANFAATKAN BAGI MENEROKA MINAT BAHARU

Cik Esah Ali, 66 tahun pula seorang lagi sukarelawan RSVP. Beliau merasa terpanggil untuk melengkapkan rakan-rakan sebaya dengan pengetahuan IT yang melindungi mereka daripada menjadi mangsa penipuan siber.

Sambil itu, beliau terus belajar sendiri tentang cara menggunakan wadah-wadah kecerdasan buatan atau AI, untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif.
"Teknologi bukan sahaja untuk keselamatan siber tetapi ia boleh digunakan untuk juga menjadi seorang yang kreatif. Saya telah cuba membuat kad undangan untuk cucu saya. Kami adakan pesta hari jadi. Jadi, saya cuba gunakan teknologi ini untuk mereka kad undangan untuk dia. Prosesnya tidak susah sebab kita menggunakan kecerdasan buatan iaitu AI," dedah Cik Esah.

Semangat ingin terus belajar dan meneroka bidang kreatif juga menemukan Cik Esah dengan aplikasi yang membolehkannya mendalami warisan tradisi Melayu.

"Sebab saya dapat pelajari bahawa kita boleh gunakan wadah seperti ChatGPT, Gemini dan NurAI, di mana NurAI lebih memberi informasi tentang budaya dan juga tentang agama Islam. Ingin tahu dengan lebih lanjut tentang budaya Melayu, contohnya, kita boleh gunakan di sini dan bertanyakan sesuatu dan kita akan lebih yakin kerana ia adalah wadah daripada orang Melayu. Dapat meningkatkan keyakinan diri dan juga memberitahu kepada orang ramai bahawa kita walaupun sudah berusia tidak bererti yang kita tidak boleh belajar," ujar Cik Esah.

Pertandingan bikin filem anjuran RSVP mengambil masa enam bulan - dari tahap menjana idea kepada tayangan.

Bagi Encik Morni, walau tercicir di tengah jalan akibat faktor kesihatan, menyertai bengkel bikin filem RSVP bukan sesuatu yang sia-sia. Sebaliknya ia merangsang Encik Morni untuk berkongsi bahan-bahan motivasi dan cuba merakam video TikToknya sendiri.
Related article image
Encik Morni tekun memperhalusi skrip filem pendek yang menjadi percubaan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Setakat ini saya baru menghasilkan dua video TikTok. Saya cuba mempertajamkan, memantapkan kemahiran saya dalam membuat video. Jadi, saya akan cuba menghasilkan lebih banyak video dalam TikTok. Tujuan saya itulah - untuk memberi motivasi, memberi kesedaran dan membimbing masyarakat untuk kemajuan, untuk kesihatan.

Begitu juga, penerokaan Cik Esah dalam bidang kreatif tidak berhenti di sini. Beliau bertekad untuk menambah lagi ilmu.
Related article image
Cik Esah Ali (kanan) berkongsi minat dalam bidang kreatif selain teknologi terkini dan AI. (Gambar: BERITA Mediacorp)
"Sebagaimana saya juga sukarelawan untuk RSVP, banyak kursus yang boleh kita pelajari, antaranya CapCut. Itu adalah satu kursus yang saya nak ikuti selepas ini. Sebab dari situ kita boleh tahu lebih banyak. CapCut ini banyak digunakan untuk macam video - bila kita dah ambil gambar dan kita nak buat (video), itulah CapCut," luah Cik Esah.

Daripada lembaran skrip, kepada paparan video, kisah mereka menyambung naratif lebih besar - bahawa penuaan aktif itu bukan sekadar senaman, tetapi juga melibatkan seni kreatif yang memperkaya kehidupan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita