Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Usaha lestarikan sukan memanah ala tradisional; bantu tingkatkan keyakinan golongan kurang daya penglihatan

Anggaran Waktu Membaca:
04:53 Min
Tidak kira usia, sukan memanah kian mendapat perhatian di Singapura dan terdapat juga usaha-usaha untuk menjadikan sukan ini lebih inklusif.  

BERITAmediacorp: Pada dasarnya, memanah kelihatan seperti sukan biasa sahaja.

Namun, bagi sesetengah orang, ia sebenarnya satu cara untuk menghilangkan stres. 

Anak panah ibarat masalah dan apabila dilepaskan dari busurnya, segala masalah turut hilang bersama. 

Menggunakan gerakan hati dan minda untuk melepaskan busur pada sasaran, antara kelebihan sukan ini ialah ia mengajar seseorang itu bagaimana untuk menumpukan perhatian sepenuhnya pada sesuatu.  

Tidak kira usia, sukan memanah kian mendapat perhatian di Singapura dan terdapat juga usaha-usaha untuk menjadikan sukan ini lebih inklusif. 

BERITAmediacorp meneroka dua jenis sukan memanah yang ditawarkan di Singapura dalam BERITA+ kali ini. 

BELAJAR TENTANG BUDAYA DAN WARISAN MEMANAH TRADISIONAL DI SINGAPURA 

Antaranya ialah kegiatan memanah ala tradisional yang kian mendapat perhatian. 

Ditubuhkan pada 2011, Traditional Archers Singapore merupakan antara penyedia khidmat sukan memanah tradisional di Singapura.

Bukan sekadar mengajar kanak-kanak dan orang dewasa cara memanah secara tradisional, TAS sebenarnya mempunyai satu misi utama - menghidupkan semula budaya dan warisan memanah yang sudah lama pupus di Singapura.

Warisan dan sejarah ini cuba diperkenalkan TAS kepada para peserta menerusi kursus dan bengkelnya.

Menurut Pengasas TAS, Alfyan Ariff, sukan memanah ini ada kaitannya dengan masyarakat Melayu, satu kesenian yang biasa diamalkan pada zaman tamadun lama. 

"Pada zaman-zaman tamadun lama, memanah ini adalah satu ilmu yang tertinggi di antara kesenian kerana dalam sejarah, memanah digunakan untuk memburu dan digunakan dalam tentera," kongsi pengasas itu.

 

"Banyak sebenarnya yang dapat kita pelajari seperti apabila pemanah itu mendapat sasaran yang tepat, adakah anak panah itu penuh dengan keikhlasan ataupun ego," tambah beliau. 

PERBEZAAN MEMANAH CARA MODEN DAN TRADISIONAL

Dalam sukan memanah tradisional, teknik yang digunakan berbeza daripada sukan memanah moden.

"Memanah cara moden menggunakan tiga jari untuk menarik busur manakala yang tradisional menggunakan ibu jari dan juga zihgir, atau 'thumb ring'," menurut Encik Alfyan.

Peralatan yang digunakan juga adalah ringkas dan mudah iaitu busur kayu dan anak panah kayu tanpa sebarang alat sampingan pada busur.

Menurut TAS yang mempunyai sebuah pusat latihan memanah di Taman Punggol East Container, baju Melayu tradisional adalah sebahagian daripada pakaian untuk kegiatan memanah, yang selalunya dipakai semasa pertandingan, penilaian serta acara-acara istimewa oleh kumpulan itu.

TAS HANTAR PESERTA KE PERTANDINGAN ANTARABANGSA 

Dari segi pertandingan pula, ada anak didik TAS yang sudah dihantar bertanding di peringkat antarabangsa termasuk World Nomad Games, khas buat sukan etnik yang dimainkan di negara-negara Asia Tengah.

Ini termasuk Ahmad Shaibawi, 27 tahun, yang sudah menceburi sukan itu sejak 2017.

"Kita mendapat pendedahan kepada budaya dari pelbagai pemanah dari negara lain dan mereka juga berkongsi ilmu mereka kepada kita apabila kita bertanding," kata Encik Shaibawi yang pernah menyertai pertandingan World Nomad Games di Kyrgyzstan.

Apabila ditanya apa yang membuat beliau minat sangat kepada sukan itu, ini jawapannya:

"Memanah tradisional membina ketahanan bukan secara fizikal sahaja tetapi juga membina ketahanan mental."

Ini turut dirasakan oleh seorang lagi peserta TAS, Muzani Jaffar, 58 tahun.

"Keunikan sukan ini ialah ia boleh dilakukan berseorangan dan ia juga boleh dilakukan secara berkumpulan. Ia juga sesuai untuk semua peringkat umur, kanak-kanak, dewasa dan orang yang sudah lanjut usia," kongsi Encik Muzani.

Baginya yang pernah bertanding di Slovakia pada 2019, aspek pertandingan ini memang satu peluang yang baik bagi para pemanah mempelajari dan berkongsi pengalaman memanah masing-masing. 

"Cara mereka melontarkan panahan itu agak berlainan dengan cara kita melontarkannya dan anak panah yang mereka gunakan juga ada yang berbeza. Dari sini, kita dapat berkongsi dan menimba ilmu daripada mereka," menurut Encik Muzani. 

GOLONGAN KURANG DAYA PENGLIHATAN KINI BOLEH CUBA SUKAN MEMANAH 

Selain memanah secara tradisional, ada satu lagi jenis sukan ini yang kian mendapat sambutan di Singapura iaitu memanah secara moden.

Dengan usaha untuk menjadikan sukan ini lebih inklusif, memanah moden kini juga boleh dinikmati oleh golongan yang kurang daya penglihatan. 

Ditubuhkan pada 2010, Simply Archery, yang menawarkan khidmat sukan memanah tradisional dan moden buat kanak-kanak dan dewasa, kini memperluaskan khidmat memanah moden kepada golongan yang kurang daya penglihatan. 

Menurut pengasas dan jurulatih, Ali Awang, para peserta kurang daya penglihatan dibahagi-bahagikan mengikut keadaan mereka.

"Ada tiga kategori iaitu V1, V2 dan V3 tetapi di Singapura, kebanyakan memberi tumpuan kepada V1 dan V2," kongsi Encik Ali. 

"V1 itu bermakna penglihatan mereka tidak sepenuhnya, jadi mereka memerlukan penutup mata untuk bertanding. V2 pula bermakna bahawa seseorang itu terus tidak mampu melihat," tambah Encik Ali.

Menurut jurulatih ini lagi, mereka yang tergolong dalam kategori V1 ini perlu mendapatkan pengesahan doktor dahulu sama ada mereka jatuh di bawah kategori V1 atau V2 sebelum mereka mengikuti mana-mana pertandingan. 

Dengan tempat, peralatan, kepakaran, serta pengalaman yang sesuai, Encik Ali yakin bahawa Simply Archery mampu mengendalikan golongan yang kurang daya penglihatan ini.  

"Matlamat terakhir ialah memberi mereka peluang untuk bertanding di peringkat nasional dan juga antarabangsa," tambahnya lagi.  

Bagi menggalak lebih ramai golongan tersebut berjinak-jinak dalam sukan memanah ini, Simply Archery menawarkan kursus asas bagi mereka secara percuma.

Golongan ini hanya perlu membayar kos bagi penggunaan tempat atau 'range' yang juga diberikan diskaun. 

Bagi pelanggan lain, mereka perlu membayar S$350 untuk kursus asas tersebut. 

SUKAN MEMANAH TINGKATKAN KEYAKINAN GOLONGAN KURANG DAYA PENGLIHATAN

Buat masa ini, Simply Archery mempunyai tujuh pelajar yang kurang daya penglihatan.

Ini termasuk Iskandar Misran, 42 tahun, yang menghidapi retinitis pigmentosa, yang menjejas kadar penglihatannya kepada kurang lima peratus.  

"Saya berminat untuk cuba memanah kerana saya ingin mempelajari sesuatu sesuatu sukan yang baru dan menimba pengalaman baru," kata Encik Iskandar kepada BERITAmediacorp.

Beliau, yang sebelum ini pernah mencuba sukan ini lima tahun yang lalu, amat menghargai peluang yang diberikan untuk mempelajari lebih mendalam lagi mengenai teknik memanah. 

"Walaupun saya tak dapat melihat tetapi saya dapat belajar memanah dengan cara yang betul," kata Encik Iskandar. 

"Saya rasa bagi peserta kurang daya penglihatan yang lain, mereka dapat meluaskan keupayaan dan meningkatkan keyakinan diri mereka serta berseronok dalam sukan ini," tambahnya lagi.

BAGAIMANA CARA GOLONGAN KURANG DAYA PENGLIHATAN MEMANAH?

Bagi golongan yang kurang daya penglihatan tersebut, asas bagi memanah sama sahaja seperti orang biasa, menurut Encik Ali.

Namun, mereka memerlukan alat tambahan seperti 'foot locator' untuk menetapkan tempat mereka berdiri serta 'sight tactile' untuk membantu mereka membetulkan posisi tangan. 

Lagi satu perkara yang paling penting dalam sukan memanah untuk golongan istimewa ini adalah seorang penyokong, atau 'spotter' di samping mereka untuk membimbing mereka. 

Buat masa ini, respons daripada golongan istimewa ini amat memberangsangkan bagi Simply Archery yang terletak di Seletar West itu dan mereka berharap dapat mengembangkan lagi usaha ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa