Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Tip-tip elakkan pembaziran dan pembuangan sisa berlebihan untuk Ramadan yang lebih 'hijau'

Sempena Ramadan kali ini, BERITAmediacorp berkongsi tip-tip dari para pakar bagaimana kita boleh memupuk tabiat mesra alam dan mengurangkan pembaziran makanan dalam bulan Ramadan ini.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Membeli juadah untuk berbuka puasa di luar menjadi suatu kelaziman bagi mereka yang sibuk bekerja.

Namun budaya itu juga kadangkala boleh menyebabkan pembaziran dan pembuangan sisa yang berlebihan.

Sempena Ramadan kali ini, BERITAmediacorp berkongsi tip-tip dari para pakar bagaimana kita boleh memupuk tabiat mesra alam dan mengurangkan pembaziran makanan dalam bulan Ramadan ini.

TIP 1: PAKAI BEKAS GUNA SEMULA APABILA MEMBELI MAKANAN DI LUAR

Tahukah anda, Singapura menghasilkan sebanyak 5.9 juta tan sampah pada tahun 2020.

Jika jumlah tersebut tidak berjaya dikurangkan, Kawasan Pelupusan Sampah Semakau akan sarat dengan sampah sarap menjelang 2035.

Meskipun keseluruhan jumlah sisa yang dijana di Singapura merosot buat empat tahun berturut-turut pada 2020, kadar pengitaran semula juga merosot disebabkan COVID-19.

Secara keseluruhan, plastik dan makanan membentuk antara lima bahan sisa yang mempunyai kadar pengitaran semula terendah antara 4 hingga 18 peratus berbanding bahan-bahan lain.

sisa gfx

Lantaran itu, badan pertubuhan bukan pemerintah (NGO) seperti Zero Waste SG giat menjalankan usaha-usaha meningkatkan kesedaran orang ramai bagi mencapai kadar sifar sisa di Singapura.

Misalnya, kempen Bawa Bekas Anda Sendiri yang dimulakannya sejak 2017 menggalak orang ramai dan penjaja untuk menggunakan bekas-bekas makanan mereka sendiri ketika membeli makanan di luar.

angie ng

"Kemudahan sudah menjadi sebahagian dari jangkaan pembeli. Dengan kemudahan, cara kita melakukan tugas menjadi lebih mudah bermakna kita perlukan usaha yang kurang untuk lakukan tugas. Malangnya kadang-kadang ini membawa padah kepada alam sekitar," kata Pengarah Eksekutif Zero Waste SG, Cik Angie Ng.

Sempena Ramadan ini, BERITAmediacorp juga menyokong gagasan itu dengan mengagihkan bekas-bekas makanan yang boleh diguna semula.
 

Pada Sabtu (26 Mac) lalu, seramai 200 keluarga di kawasan Jalan Besar menerima bekas-bekas makanan tersebut menerusi kerjasama BERITAmediacorp dengan Masjid Rahimabi Kebun Limau.

TIP 2: BUAT PERANCANGAN SEBELUM BERBELANJA

Bagi menerap amalan mesra alam pada bulan Ramadan ini, Zero Waste SG turut berkongsi beberapa tip.

Mereka berharap masyarakat dapat menjadikannya satu tabiat yang berterusan selepas bulan puasa.

zero waste team

Cik Ng menekankan kepentingan membuat perancangan sebelum kita keluar untuk berbelanja barang dapur.

Beliau menyarankan:
1) Lakukan perbelanjaan barang dapur selepas waktu berbuka puasa. Ini supaya kita tidak rambang mata dan beli mengikut kehendak semata-mata.

2) Siapkan senarai barangan yang perlu dibeli sebelum keluar berbelanja. Namun, pastikan anda juga memeriksa dahulu apakah barangan yang sudah ada di dapur

3) Buat perancangan makanan sepanjang Ramadan.

Cik Ng menarik perhatian, tip-tip yang dikongsi sesuai dipraktikkan oleh semua.

"Saya harap antara tip-tip kemampanan yang dikongsikan ini dapat dilaksanakan dalam kehidupan seharian kita, selepas Ramadan. Adalah sangat penting untuk kita jalani gaya hidup yang mampan kerana kita tidak mahu tabiat penggunaan kita akan memudaratkan bumi atau menyebabkan lebih banyak masalah bagi generasi masa depan," tambah Cik Ng.

TIP 3: RANCANG MENU JUADAH IFTAR, SAHUR UNTUK ELAK PEMBAZIRAN

Merancang menu iftar dan sahur juga bukan sahaja boleh mengurangkan pembaziran, ia juga boleh menjimatkan masa dan wang.

shamsydar

Inilah yang menjadi amalan personaliti masakan, Shamsydar Ani setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Beliau mula merancang dan berbelanja dapur seawal tiga minggu sebelum Ramadan lagi.

Cik Shamsydar melakarkan satu jadual ibarat sebuah kalendar di mana setiap petak hari itu tersenarai hidangan-hidangan yang akan dimasak untuk hari-hari tersebut mengikut citarasa suami dan anaknya.

"Apabila kita buat perancangan menu ini, kita dapat lihat apa yang kita nak makan untuk sepanjang minggu dan bulan.

"Jadi bila kita pergi pasar raya itu, ada senarai jadi kita boleh agak-agaklah satu kilogram ayam itu berapa untuk satu minggu itu. Bukan sahaja kita dapat menjimatkan perbelanjaan di pasar raya, kita dapat menjimatkan masa dan wang untuk pergi ke pasar raya," kata Cik Shamsydar.

shamsydar 2

Beliau menambah, cara ini turut mengajarnya untuk berdisiplin dalam beli apa yang perlu sahaja bagi menyediakan juadah.

"Untuk keluarga saya sendiri saya belanja dalam S$200 untuk satu bulan itu, hanya untuk bahan-bahan pasar. Jadi kalau kita tak buat perancangan, mungkin boleh mencecah hingga S$400 (sebulan)."

Di atas permintaan hampir 10,000 pengikutnya di Instagram, finalis MasterChef Singapura musim pertama itu turut berkongsi menu Ramadannya di akaun media sosialnya.

shamsydar ig

TIP 4: JANGAN BUANG BIJI KURMA! IA KAYA KHASIAT DAN BOLEH DIJADIKAN KOPI

Hakikatnya, pembaziran atau pembuangan sisa itu kadangkala tidak dapat dielakkan sekiranya makanan itu mengandungi biji seperti buah-buahan.

Antara buah yang menjadi tumpuan pada bulan puasa adalah kurma.

Setiap tahun dianggarkan sebanyak 7.5 juta tan kurma dihasilkan.

Namun di sebalik kemanisan isi buah kurma yang kaya dengan khasiat, bijinya yang lazimnya dibuang sahaja, sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat juga.

Menurut pakar pemakanan, Dr Dee Dee Mahmood, biji kurma antaranya mempunyai kandungan antioksidan yang dapat menurunkan risiko kerosakan sel-sel dalam badan, baik untuk sistem pencernaan dan juga dapat mengawal kadar kolesterol dalam badan.

dee dee

"Bila kita makan kurma itu satunya ialah untuk tenaga. Sama juga, bila kita makan biji kurma itu, ia mengeluarkan tenaga.

"Sekarang ini masa-masa COVID-19, masa kita nak jaga kesihatan supaya kita tak sakit. Baik sekali biji kurma ini berkhasiat. Khasiatnya ialah untuk menguatkan sistem imun ataupun tahanan tubuh kita terhadap penyakit," kata Dr Dee Dee.

Oleh kerana biji kurma itu banyak kegunaannya, ia boleh dijadikan untuk dibuat snek ataupun minuman - khususnya, kopi.

kopi kurma

Ini cara-cara untuk membuat kopi menggunakan biji kurma:

Bahan-bahan yang diperlukan:

20 biji buah kurma
Air mengikut sukatan

Cara Penyediaan - Biji Kurma:
1. Pastikan lapisan halus yang menyelaputi biji ditanggalkan sebelum dipanggang
2. Cuci biji-biji kurma dan ditoskan.

Cara Penyediaan:
(Menggunakan mesin pengisar kopi)

1. Panggang biji-biji kurma di dalam ketuhar atau mesin 'air fryer' pada suhu antara 160 darjah selsius hingga 180 darjah selsius selama 40 hingga 45 minit ataupun sehingga warna biji berubah kepada warna coklat.
2. Masukkan biji-biji yang sudah dipanggang ke dalam mesin pengisar kopi sehingga menjadi serbuk.
3. Tapiskan serbuk kopi di dalam bekas atau teko yang mempunyai penapis.
4. Tambahkan air panas, mengikut citarasa.
5. Sedia dinikmati tanpa gula.

Sekiranya anda tidak mempunyai mesin pengisar kopi, anda juga boleh menggunakan mesin pengisar biasa.

Perlu diingatkan untuk menambahkan sedikit air suam sebelum mula mengisar.

Menurut Dr Dee Dee, memandangkan kopi biji kurma itu tidak mengandungi kafein berbanding kopi-kopi biasa, ia sesuai diminum dalam bulan Ramadan ini.

"(Ia) satu minuman dan alternatif yang lebih sihat. Tanpa mengandungi kafein. Rasanya pun seakan-akan kopi sebenar. Jadi kepada mereka yang ketagih kopi semasa bulan puasa ini kan, boleh mendapat minuman yang lazat daripada biji kurma ini," tambah Dr Dee Dee.

Menjaga alam sekitar tanggungjawab kita bersama dan semoga Ramadan yang juga dikenali sebagai bulan madrasah, boleh menjadi pencetus untuk masyarakat amalkan gaya hidup yang lebih mampan dan mesra alam.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan