Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+: Terapi bunyi bantu kurang tekanan secara holistik

Bunyi yang mendamaikan, getaran dan nada harmoni daripada mangkuk nyanyian yang dipalu atau digesek perlahan mampu meresap jauh ke dalam tubuh.
 

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Terapi bunyi bantu kurang tekanan secara holistik

Sebuah sesi Terapi Bunyi - cahaya yang malap, bunyian yang merdu, boleh menenteramkan jiwa, menenangkan fikiran. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: Bunyi yang mendamaikan, getaran dan nada harmoni daripada mangkuk nyanyian yang dipalu atau digesek perlahan mampu meresap jauh ke dalam tubuh.

Itulah antara kekuatan terapi bunyi yang membantu pemulihan holistik bagi sesetengah individu.
Cik Juliana Surani (dua dari kanan) merupakan antara yang meraih manfaat daripada Terapi Bunyi oleh Sirius Sound. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Salah seorang daripadanya ialah Cik Juliana Surani, seorang guru yoga yang pernah berdepan gangguan kebimbangan akibat tekanan keluarga.

“Saya menghidap ‘anxiety disorder’ dan tidak mahu bergantung pada ubat-ubatan. Jadi saya mulakan dengan yoga kerana pernafasannya yang menenangkan. Kemudian saya tertarik pada terapi bunyi, kerana ia juga menggunakan instrumen ketika meditasi.

"Tapi saya rasa terapi bunyian ini dapat memanfaatkan saya juga sebab dalam keadaan muzik dalam kamar itu yang mencerahkan jiwa. Kadang-kadang ia memberikan saya ketenangan bila mendengar setiap bunyi alunan muzik itu. Bila saya selaraskan dengan pernafasan, ia dapat memberikan saya ketenangan. Sungguh mengagumkan sebenarnya," kongsinya.

Seorang lagi yang mendapat manfaat ialah Cik Salemah Ahmat, wanita bekerjaya yang juga mengasuh kedua-dua ibu bapanya yang uzur.
Cik Salemah Ahmat menemukan manfaat Terapi Bunyi hasil usaha seorang rakan yang prihatin. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
“Awalnya saya tidak minat pemulihan holistik. Tapi kawan saya perasan saya penat sangat akibat tekanan kerja lain, jaga orang tua lain. Dia yang cadangkan saya cuba,” katanya ketika ditemui di pusat terapi bunyi Sirius Sound di International Plaza.

Pengalaman pertama beliau meninggalkan kesan yang mendalam.

“Saya tertidur semasa sesi, dan bermimpi berada di pantai yang indah. Bila saya bangun, badan rasa ringan, fikiran lebih jelas. Saya dapat urus hidup dengan lebih teratur. Air muka pun rasa lebih berseri,” katanya.

Terapi bunyi menggunakan gema dan getaran daripada alat khas seperti mangkuk nyanyian, bunyi tiruan hujan, dan frekuensi tertentu yang dipercayai memberi kesan langsung kepada tubuh.

Menurut pengasas Sirius Sound dan ahli terapi bunyi bertauliah Michele Chong, pendekatan ini bukan sekadar rawatan alternatif, tetapi satu bentuk pemulihan transformatif.

“Terapi bunyian menggunakan frekuensi khas dari alat terapi untuk mengimbangkan otak dan badan. Ia boleh menstabilkan gelombang otak, menguatkan sistem imun, dan menenangkan saraf serta ritma jantung,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa pusatnya bukan sekadar menawarkan rawatan, tetapi berperanan memperkasa individu untuk mengambil alih kawalan terhadap kesejahteraan mereka, baik dari segi mental mahupun fizikal.

"Ramai yang bermain alat bunyi secara intuitif. Tapi di sini, kami rumuskan urutan bunyi berasaskan kajian sains dan muzik untuk hasil lebih berkesan,” tambah beliau.

Sirius Sound juga menganjurkan maraton terapi bunyi pertama di Singapura pada bulan Jun tahun lalu, bersempena Hari Kesejahteraan Sedunia, sebagai satu usaha memperkenalkan potensi pemulihan holistik kepada khalayak lebih luas.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita