Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+ SUARA SINGAPURA: Dikir barat digabung dengan koral julung kali di festival Voices of SG

Buat julung-julung kalinya, seni persembahan tradisional dari Pantai Timur, dikir barat, digabungkan dengan nyanyian koral dalam satu persembahan eksperimentasi oleh Persekutuan Dikir Barat Singapura di CHIJMES.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, seni persembahan tradisional dari Pantai Timur, dikir barat, digabungkan dengan nyanyian koral dalam satu persembahan eksperimentasi oleh Persekutuan Dikir Barat Singapura di CHIJMES.

Persembahan kumpulan yang ditubuhkan khas untuk festival Voices of Singapore atau Suara Singapura itu disambut dengan sorakan penonton yang kebanyakannya orang asing.
Kumpulan yang ditubuhkan khusus untuk menyertai festival Voices of Singapore ini sedang berlatih saat-saat akhir sebelum membuat persembahan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Demikian antara persembahan menarik, sempena festival yang menghimpunkan lebih 100 nyanyian berkumpulan dalam satu sambutan meraikan maksud sebenar 10 tahun inisiatif Singapura Bernyanyi.

PERSEMBAHAN TONJOL IDENTITI MELAYU, DISAMBUT SORAKAN PENONTON ASING

Sempena SG60, festival Suara Singapura tahun ini menyorot warisan koral negara, menerusi persembahan yang mencerminkan kisah, bunyi dan identiti muzik Singapura.

Persembahan Persekutuan Dikir Barat Singapura itu diubah-suai...

Berdiri, bukan duduk.

Pergerakan tangan yang jauh berkurangan dan tidak serancak.

Demikian antara eksperimentasi oleh Persekutuan Dikir Barat Singapura dalam festival Voices of Singapore atau Suara Singapura.

"Kami amat berbesar hati kerana ini adalah pertama kali sesebuah kumpulan Dikir Barat telah dipelawa untuk membuat pementasan di festival yang terbesar ini. Kami menonjolkan lebih kepada nyanyian Dikir Barat dan juga kami terapkan sedikit-sebanyak ragam dan lagu-lagu Dikir Barat. Dalam segi nyanyian, kami bergabung tenaga dan ini menunjukkan kami ada semangat kesatuan dan kami membawa semangat ukhuwah dalam Dikir Barat ini. Jadi, saya rasa itu menampilkan identiti Melayu yang sangat kuat dalam Dikir Barat," ujar Roshasliza Rohmadon, Naib Presiden, Persekutuan Dikir Barat Singapura kepada wartawan Roslinda Rahmat.

Penyertaan Persekutuan Dikir Barat Singapura menjadi antara sorotan utama festival Suara Singapura tahun ini.

18 anggota, berusia 17 hingga 43 tahun yang merupakan pelajar pendidikan tinggi dan golongan pekerja dewasa ini perlu beradaptasi kepada keadaan sekeliling.

Mereka membawa rentak dan penceritaan hebat seni tradisional Melayu ke pentas koral terbesar di Singapura, yang berlangsung selama lima hari dalam bulan September.

Apakah cabaran yang dihadapi kumpulan baharu ini apabila menggabungkan elemen tradisional dengan nyanyian berkumpulan moden?

"Selalunya Dikir Barat itu bila kami nyanyi kami lebih ke arah memekik kerana kami ingin kuat, kan? Tetapi di festival ini kami agak prihatin dengan bagaimana kami melantunkan suara kami. Jadi suara kami agak lebih merdu dan lebih berharmoni semasa menyanyi. Dan juga pemilihan alat-alat perkusi kami kurangkan jadi tidak terlalu menenggelamkan nyanyian kami. Dikir Barat sangat serbaguna kerana ia merangkumi beberapa aspek nyanyian, sastera, tarian dan juga muzik. Ia boleh menaik-tarafkan lagi Dikir Barat jadi platform yang lebih internasional.

Kami harap ini satu langkah pertama untuk lagi mengetengahkan seni ini kepada semua anggota masyarakat. Dan saya rasa semua lapisan masyarakat boleh mengamati seni ini kerana ia tidak terhad kepada bahasa sahaja. Kita boleh juga bermain Dikir Barat dengan bahasa Inggeris dengan bahasa Tamil dengan bahasa Cina. Jadi, ia sangat-sangat besar dan inklusif," kongsi Cik Roshaliza.

Membanggakan, apabila tepukan gemuruh para penonton seusai persembahan Persekutuan Dikir Barat Singapura yang paling kuat disaksikan pada malam itu.

Meraikan 10 tahun usaha membina satu negara Singapura yang bernyanyi, festival Suara Singapura sempena SG60 menghimpunkan koir dari semua peringkat umur dan vokal berkumpulan dari seluruh Singapura dan luar negara, meraikan kepelbagaian dan semangat komuniti muzik koral.

4,000 penyanyi mengambil bahagian tahun ini, disaksikan 6,000 penonton yang membeli tiket.
Amir Mirza, Presiden VOS Men ingin memperbetul salah tanggapan terhadap nyanyian koral dan mainkan peranan aktif memperbetul sebutan bagi lagu-lagu Melayu yang dinyanyikan. (Gambar: Mediacorp)
Selain Persekutuan Dikir Barat Singapura, suara-suara Melayu turut diwakili di seluruh festival koral ini - seperti penyertaan Amir Mirza, Presiden VOS Men yakni kumpulan lelaki silang generasi.

Amir yang mula menyanyi koir sejak menengah satu dan diberi kepercayaan sebagai pemimpin, merasa punya peranan untuk memperbetul salah-tanggapan terhadap nyanyian koral.

"Sampai sekarang ada stigmanya yang seni koral adalah untuk golongan perempuan dan golongan Kristian sahaja. Tetapi di Voices of Singapore, kami menyanyi lagu dalam pelbagai bahasa dari pelbagai budaya beberapa genre juga. Jadi, kami dapat membuka minda kita kepada budaya lain dan juga bahasa-bahasa yang lain," ujar Encik Amir.

"Singapura Bernyanyi pada saya bermaksud yang semua orang, tidak kira apa bangsa, ugama, jantina atau latar belakang boleh menyanyi untuk melupakan tentang stres mereka, boleh menyampaikan cerita mereka dan juga boleh meluahkan emosi-emosi mereka," luah Amir Mirza, Presiden, VOS Men kepada wartawan di luar dewan persembahan CHIJMES.

Malah, muncul peranan baru untuk para penyanyi koral Melayu.

"Saya lihat sekarang ada lebih ramai koir yang menyanyi lagu Melayu seperti 'Lenggang Kangkung', 'Rasa Sayang', 'Dayung Sampan', 'Wau Bulan'. Rasa bertanggungjawab untuk menyokong penyanyi-penyanyi yang lain supaya sebutan mereka bagus, tambahnya.
Kumpulan koir istimewa, Starlight Voices membuktikan bahawa muzik sebenarnya inklusif untuk semua, tida kira usia, bangsa mahupun kebolehan. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Fatin Humaira Mohd Ashik, Eksekutif (Pemasaran & Kemasyarakatan), Starlight Voices. (Gambar: Mediacorp)
Sementara itu, Fatin Humaira Mohd Ashik pula merupakan eksekutif pemasaran dan kemasyarakatan bersama Starlight Voices - koir untuk sekumpulan penyanyi istimewa.

"Starlight Voices merupakan koir untuk kanak-kanak dan belia yang berkeperluan khas. Ada autisme, ADHD, Sindrom Down, palsi serebrum dan ia menunjukkan kepelbagaian dalam muzik dan juga bagaimana muzik sebenarnya inklusif untuk semua, tidak kira usia, bangsa atau juga kebolehan. Mereka mungkin sukar untuk mengekspresikan diri dengan kata-kata. Jadi, dengan irama, lirik dan juga aksi apabila menyanyi, mereka dapat ceria dengan kawan-kawan dan ia amat berlainan daripada mengatakan perasaan mereka atau emosi mereka. Dengan menyanyi, ia dapat menggembirakan mereka dan juga bawa sifat kebersamaan. Jadi itulah cara mereka mengekspresikan diri dan juga membuat kawan sesama diri," kongsi Cik Humaira.

"Saya amat suka apabila mereka mempersembahkan 'Semoga Bahagia', iaitu lagu tema Hari Kanak-kanak di Singapura. Sebab bagi saya, ia melambangkan semangat, harapan dan juga keberanian mereka - datang ke sesi menyanyi setiap minggu walaupun sudah penat dengan sekolah, kerja dan ada daripada mereka yang datang berkerusi roda," dedah Cik Humaira, Eksekutif (Pemasaran & Kemasyarakatan), Starlight Voices.

Sementara itu, Koir Kanak-Kanak VOS juga memaparkan penyanyi Melayu - Eiliyah Adeena. Ini mencerminkan kehadiran dan kepimpinan yang semakin berkembang dalam kalangan penyanyi Melayu dalam landskap koral Singapura.

Penyanyi-penyanyi koral Melayu di festival Suara Singapura itu juga akan membuat persembahan bersama kumpulan masing-masing di konsert gala Voices of Singapore yang akan berlangsung di Esplanade pada 8 Oktober, dengan tiket-tiket semua sudah habis terjual.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita