Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Senaman 'Reformer Pilates' kian popular

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Nampak mudah dan tidak memenatkan. Setiap gerakan dilaksanakan dengan penekanan untuk bina kekuatan otot serta fleksibiliti.

Selain bagus untuk mengurangkan regangan badan, senaman pilates juga membantu daripada segi teknik pernafasan yang betul dan meningkatkan ketajaman fikiran.

Terdapat lapan jenis senaman pilates termasuk yang menggunakan alat 'reformer'.
"Ahli bina badan akan menggunakan otot-otot yang besar. Namun reformer pilates memberi perhatian kepada pergerakan kecil yang membuka otot-otot tetapi menyasarkan otot-otot kecil dalam tubuh yang kita tidak selalu gunakan," jelas jurulatih pilates cik Nor Hashiqin Mohamed Saifolzam.

"Sekiranya kita ada kecederaan ataupun lutut yang sakit, alat reformer akan membantu."

Senaman itu, tambah beliau, sesuai untuk semua peringkat umur.

Itulah juga yang mendorong Cik Noordiana Mohd Budin untuk mengikuti kelas pilates di gimnasium Activ.Co, selain bersenam di gimnasium.
"Saya baru melakukan pembedahan pada Ogos tahun lalu untuk menggantikan rawan lutut jadi senaman yang agak intensif, doktor suruh elakkan," kata penolong keselamatan kesihatan berusia 38 tahun itu.

Beliau mengakui tertarik untuk mencubanya kerana semakin ramai pempengaruh dan selebriti yang memuat naik gambar dan video mereka melakukan senaman itu di media sosial.

"Pada mulanya, saya bimbang senaman pilates payah. Selepas mencubanya, saya dapati kaki saya semakin kuat," kata beliau.

Gimnasium Activ.Co yang khusus untuk wanita mula menawarkan kelas-kelas reformer pilates empat tahun lalu.

"Masa itu tidak ramai kaum Melayu atau daripada masyarakat kita yang mengikuti kelas reformer. Tetapi akhir-akhir ini kami melihat trend ini semakin meningkat. Dalam enam bulan yang lalu saya lihat lebih banyak studio pilates yang dibuka di merata tempat di Singapura, dalam kawasan pusat bandar dan juga kawasan kejiranan," kata pengasas Activ.Co, Cik Anissa Rahim.
Activ.Co, tambahnya, menyaksikan peningkatan hampir tiga kali ganda iaitu sebanyak 203 kelas pada Julai tahun ini berbanding 76 kelas dalam tempoh yang sama tahun lalu.

"Saya ingin bertenaga kerana saya mempunyai anak yang berusia tiga tahun. Jadi saya ingin lebih aktif apabila bersama dengan dia. Bagi saya semua orang boleh melakukannya," kata cik Musfirah Manaf, seorang suri rumah.

Cik Azfarihin Aziz pula melakukan pilates untuk membantunya dalam dua senaman lain yang digemarinya.

"Saya minat yoga udara dan juga mengangkat berat. 'Reformer pilates' ini menggabungkan kedua-dua kekuatan yang diperlukan," kata beliau.

USAHA TARIK PESERTA LELAKI

Gimnasium Fitness Workz di Kelab HomeTeamNS Bedok Reservoir pula mula menawarkan kelas 'reformer pilates' sebulan lalu.
"Kami melihat satu trend iaitu kaum lelaki sekarang lebih terbuka untuk mengikuti kelas-kelas senaman secara berkumpulan. Kami percaya pada manfaat pilates seperti membina kekuatan dan memberi fleksibiliti. Respons yang kami dapat adalah sungguh positif," kata penolong pengarah perniagaan HomeTeamNS Encik Iswandi Masduki.

Ia menawarkan kelas reformer pilates sebanyak dua kali seminggu.

"Saya rasa lebih ramai wanita yang mengikuti kelas ini tetapi selepas pengalaman mengikuti satu sesi, saya akan terapkan dalam senaman harian saya. Bagi saya, ia membantu daripada segi mobiliti dan fleksibiliti kerana mencabar untuk teras tubuh saya," kata Encik Harris Ismail yang biasa melakukan senaman 'Crossfit"

Seorang lagi yang mencuba reformer pilates ialah Encik Irsyad Johari, seorang jurulatih senaman peribadi.

Dengan reformer ini amat beza sikit sebab saya rasa seperti saya menggunakan otot-otot yang tidak ingat pun ada. Agak mencabar juga. Saya rasa ia baik untuk pemulihan," kata beliau.

Harga bagi setiap sesi bermula daripada puluhan dolar bagi kelas secara berkumpulan dan boleh melebihi S$100 dolar bagi latihan peribadi.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan