Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Semakin ramai warga berumur 55 tahun ke atas sertai kegiatan mendaki

Kegiatan mendaki terus mendapat perhatian dalam kalangan penduduk Singapura semasa musim pandemik ini. Malah bukan sahaja warga muda, kegiatan tersebut turut menarik lebih ramai golongan yang sudah berumur untuk menyertainya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kegiatan mendaki terus mendapat perhatian dalam kalangan penduduk Singapura semasa musim pandemik ini. Malah bukan sahaja warga muda, kegiatan tersebut turut menarik lebih ramai golongan yang sudah berumur untuk menyertainya.

Salah seorang warga emas yang kekal aktif melakukan kegiatan mendaki ialah Cik Maria Fazli. Usianya sudah menjangkau 60-an tahun, namun Cik Maria masih ligat dengan kegiatan mendaki yang dilakukannya dua kali seminggu.

Menurut Cik Maria yang sudah menjelajah hampir kesemua kawasan di Singapura, selain dapat bersenam, mendaki dapat menenangkan jiwanya.

"Sebab mendaki ini, pemandangannya luas. Bila kita jalan dalam hutan dengan udara yang nyaman. Sambil itu, kita gunakan semua kardio, otot-otot kita bergerak. Sangat nyaman sekali dalam hutan," kata Cik Maria.

Salah satu tempat yang diterokanya adalah Hutan Clementi, di mana beliau menunjukkan antara tarikan yang digelar "Batman Cave" oleh para pendaki.

Menurut Cik Maria dan rakan-rakannya, ia antara tempat menarik untuk para pendaki bergambar dan tempat itu ramai di kalangan umum tidak ramai tahu.

Tetapi oleh kerana ia bukan di laluan yang sering digunakan orang ramai dan kerana strukturnya yang lama, orang ramai tidak dinasihati untuk melakukannya jika tiada pengalaman.

KUMPULAN MENDAKI LIHAT JUMLAH ANGGOTA MENINGKAT SEMASA PANDEMIK

Dalam penelitian kami, di wadah online sendiri, terdapat sekurang-kurangnya 10 kumpulan kembara dan mendaki di Singapura.

Menurut Singapore Hikers, antara kumpulan kembara terbesar di Singapura, jumlah anggotanya naik mendadak semasa musim pandemik.

Dari hanya sekitar 2,000 anggota pada awal 2020, jumlahnya melonjak kepada lebih 100,000 anggota. 10 peratus daripada mereka merupakan golongan berusia 55 tahun dan ke atas.

Menurut pengasas kumpulan Singapore Hikers, Joven Chiew ia mungkin disebabkan keadaan pandemik yang mengehadkan pergerakan penduduk Singapura ke luar negara, lantas mencetuskan minat untuk meneroka kawasan sekeliling Singapura.

Malah ia turut melihat bilangan warga emas yang menyertai kumpulannya meningkat setara dengan golongan-golongan usia lain.

Trend kian ramai pendaki sudah berumur turut diakui Cik Maria yang sudah menceburi kegiatan tersebut selama sedekad. Beliau tiada sebarang penyakit kronik walaupun sudah berusia lanjut.

"Sekarang makin ramai, ya makin ramai. Boleh nampak ramai yang suka pergi mendaki, pergi berjalan-jalan, makin ramai sekarang, baguslah. Itu yang paling perlu, paling penting sekali. Jaga kesihatan, kerap beriadah, jalan, berjalan pantas, itu dah cukup. Macam mendaki ni memang bagus. Kita jalan, satu kali kita jalan, 7 kilometer, 10 kilometer," tambahnya lagi.

4 TIP MENDAKI DENGAN SELAMAT

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dan menceburi pelbagai aktiviti lasak yang lain, Cik Maria berkongsi beberapa tip melakukan aktiviti mendaki dengan selamat.

Yang pertama, pastikan anda membuat kajian tentang laluan yang ingin anda daki. Anda juga boleh bertanya kepada para pendaki lain yang pernah mendaki di tempat yang sama.

Kedua, jangan pergi mendaki seorang diri dan harus sentiasa berteman. Ini kerana jika ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kemalangan yang menimpa, bantuan dapat dihulurkan.

Ketiga, pastikan anda bawa bekalan air yang mencukupi agar dapat memberikan hidrasi yang secukupnya kepada tubuh anda.

Keempat, pastikan anda mengenakan pakaian yang sesuai. Jika memasuki kawasan hutan, pastikan anda membawa sarung tangan, tongkat mendaki dan ubat nyamuk. Jika anda mahu memasuki terowong, jangan lupa membawa lampu suluh.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan