BERITA+ RESIDENSI SENI: Mengilhamkan dan memperkaya pengalaman penggiat seni
SINGAPURA: Inspirasi untuk berkarya tentunya diperlukan insan berjiwa halus yang bergelar seniman.
Untuk menulis, melukis, mencipta sesuatu yang baharu..
Dan, merubah lokasi berkarya boleh memberi suntikan semangat dan ilham baharu, demi memperkaya perspektif dan keupayaan, tingkatkan kemahiran, menjentik motivasi, mendorong kreativiti, malah memperbaharui pemikiran.
Inilah yang berlaku dalam diri beberapa seniman tempatan yang berpeluang menjalani Residensi Seni di Beverley, Australia Barat dan Malang, Indonesia.
AUSTRALIA & INDONESIA DESTINASI MENGILHAMKAN & MEMPERKAYA PENGALAMAN PENGGIAT SENI
Bagi seniman Surrealis, Rosihan Dahim, menjalani Residensi Seni di Beverley, Australia Barat selama lebih sebulan menghadirkan pelbagai pengalaman yang bukan sahaja memberinya semangat baharu dalam berkarya, tetapi juga inspirasi luar biasa.
"Di Beverley, Australia Barat itu ada ilham. Dengan adanya residensi dengan pelukis-pelukis seperti Len Zuks - artis dan pengukir yang terkenal di sini, saya memang gembira. Waktu datang sini, saya dapat melihat tempat-tempat yang berlainan kerana cantiknya, tempatnya luas, tidak ada bangunan-bangunan tinggi.
Balik ke Beverley, saya terus melukis apa (yang) dalam fikiran saya, yang saya lihat waktu saya dengan Len Zuks perjalanan ke York, ke Donington, Bunbury," kongsi Encik Rosihan yang banyak mendokumentasikan usaha, karya serta residensi seninya sendiri.
Tambah beliau kepada wartawan Roslinda Rahmat, Residensi Seni malah membolehkannya memperkenalkan simbol seni khas Rosihan Dahim, yakni mancis, yang menandakan karya-karyanya sejak 1978. Ini tentunya terus menjulang nilai Encik Rosihan sebagai seniman yang memiliki perspektif luas.
"Orang-orang Australia memang terasa kagum melihat pelukis-pelukis seperti saya, di sini, membawa konsep saya - mancis saya. Residensi Seni itu memang penting dan bagus untuk pelukis-pelukis mendapat pengalamannya. Di tempat yang lain, budaya yang lain mungkin dapat dikenalkan. Dan hasilkan lukisan yang baru. Pulang ke Singapura, saya mungkin meneruskan lukisan saya. Tapi dengan ada terasa baru dalam fikiran saya. Lukisan saya mungkin ada berlainan sedikit," luah Encik Rosihan.
PROGRAM RESIDENSI SENI TARI TOPENG DI MALANG PERKAYA KEMAHIRAN & WARISAN PENGGIAT SENI
Sementara itu, empat penggiat seni muda - Solihin Zohari, Megan Lee Xin Hu, Muhammad Al-Hafiz Hosni dan Tyara Cynta Puteri Noor Azhar menjadi yang pertama menyertai program sulung Residensi Tari Topeng di bawah Program Pensijilan Seni, ACP, oleh Yayasan Warisan Melayu (MHF).
Residensi seni selama hampir sebulan ini hasil kerjasama dengan Universitas Negeri Malang, Indonesia.
"Istimewanya ianya diadakan di universiti dan program ini - Program Pensijilan Seni adalah satu program akreditasi dan bukan mudah untuk kita dapat akreditasi dari universiti. Pilihan Tari Topeng ini bertepatan sekali kerana ia semakin pupus. Ini kerana, tukang pembuat topeng itu sendiri ramai yang sudah lanjut usia dan kebanyakannya juga sudah tidak ada lagi. Mereka tidak berkesempatan untuk menurunkan tradisi ini - menurunkan kepakaran membuat topeng. Jadi bila tidak ada topeng, tidak ada lah Tari Topeng," ujar Cik Rilla Melati Bahari, Pengurus Besar, Yayasan Warisan Melayu (MHF).
Usaha strategik ini menjadi semakin genting, demi perlunya mewariskan satu bentuk seni tradisional Asia Tenggara yang kian terancam.
Tambah Cik Rilla, "Di Malang, mereka mengutarakan bahawa kalau mereka tidak boleh mengembangkan Tari Topeng itu dengan cepat di Malang ataupun di Indonesia, mengapa tidak mereka ajar kepada peminat-peminat tarian ataupun penari-penari lain di Nusantara yang berminat, supaya kita boleh tanamkan tari ini kepada pelapis-pelapis lain di ruang selain dari di Indonesia?"
Kesempatan yang sama juga direbut satu-satunya penari bukan-Melayu program Residensi Tari Topeng. Megan sudah dua kali menerima Biasiswa Seni dan Budaya Indonesia untuk tahun 2022 dan 2023. Beliau bertugas sebagai Penolong Pengkaji sepenuh masa di NTU dan genre-genre tarinya termasuk Tarian Latin Ballroom, tarian Funk Kontemporari dan Tarian Bali.
"Saya sudah lihat pertunjukan Tari Topeng di waktu saya di Bali, tapi saya tidak mengerti sama sekali makna dari tarian ini. Terus, saya juga tidak tahu bagaimana caranya untuk menarikan tarian ini. Jadi saya tertarik mahu belajar Tari Topeng untuk mengerti lebih banyak tentang tarian ini. Tapi waktu melihat pertunjukannya, saya rasa ia sungguh indah. Sebagai seorang pereka tari, keupayaan menarikan pelbagai cabang tarian juga penting, demi menambah kemahiran," kongsi Megan Lee.
Keindahannya juga memikat minat seorang lagi penari muda. Solihin seorang artis persembahan bersama T3ar3r Muzikal Collective Ltd dan menerima bimbingan beberapa guru tari pakar dari kumpulan-kumpulan tari mapan Singapura. Solihin juga memiliki sijil Koreografi dari Institut Kesenian Jakarta, selain mendapat pendedahan di pesta-pesta antarabangsa, dalam tarian kontemporari dan tradisional Melayu.
"Tari Topeng itu kaya dengan sejarah. Dapat peluang untuk belajar budayanya dan memahami muziknya, temponya, topeng-topengnya. Setiap topeng ada gaya menariknya, jadi saya amat ingin tahu dan ingin mempelajarinya. Sebelum mereka pakai topeng, anda boleh lihat watak mereka berbeza. Tapi bila mereka memakai topeng itu, mereka menjadi seseorang yang, (mengikut) imaginasi mereka ya. Kreativiti itu yang buat saya nak mencuba," ujar Solihin Zohari.
Menggabungkan komponen teori dan praktikal secara menyeluruh bagi perkukuh pemahaman, kemahiran dan kesinambungan seni warisan tersebut, pihak MHF juga berharap pengalaman tersebut akan membuahkan bentuk baharu seni tari tersebut yang khas Singapura.
"Harap bahawa apabila mereka kembali, kita masih lagi boleh mampu untuk menyokong mereka dari segi memberikan mereka pilihan untuk mengembangkan tarian ini kepada cabang-cabang yang lain seperti bekerjasama dengan sekolah, membuat persembahan untuk kami di MHF dan juga untuk acara-acara lain yang boleh kami tonjolkan kepakaran yang baru mereka pelajari ini. Baru-baru ini timbulnya minat di Singapura terhadap genre Bangsawan.
Jadi Bangsawan kalau kita lihat sebagai genre, ia ada unsur-unsur seperti tarian dan lain-lain cabang seni yang digabungkan dalam persembahan Bangsawan. Dan Tari Topeng ini bersesuaian dalam 'genre' itu. Jadi kalau kita kembangkan Tari Topeng, ia tidak perlu hanya wujud sebagai tarian sahaja, ia boleh kita selit masukkan ke dalam lain-lain cabang seni yang mungkin pada hari ini, kita ingin kembangkan," ujar Cik Rilla Melati.
"Boleh memperluaskan jenis tarian yang saya boleh tarikan. Ya, kerana menurut saya itu penting. Bukan hanya sebagai penari, tapi seorang koreografer juga. Jadi tari topeng termasuk salah satu tarian yang saya boleh koreograf juga," kongsi Megan kepada wartawan Roslinda Rahmat.
"Kita boleh terokai, eksperimentasi tari topeng atau mungkin ada imaginasi mengenai topeng itu, atau mungkin menghasilkan Tari Topeng versi Singapura. Sebab saya tahu macam Tari Inang Singapura, Asli, semua ada cara Singapura, walaupun asasnya dari Indonesia juga. Jadi mungkin apa yang saya maksudkan adalah untuk belajar sebanyak mungkin, kemudian bawa datang ke Singapura dan berusaha menerbitkan babak baharu Tari Topeng khas Singapura," luah Solihin kepada Berita+.
Demikian, usaha untuk memperkenalkan satu lagi cabang seni yang, seperti seni Dikir Barat dan tarian-tarian Melayu yang selaras dengan aliran masa, akan mampu membentuk persembahan khas dengan jenama Singapura.
Usaha sulung yang tidak mungkin dapat direalisasi, tanpa adanya masa yang diberi, menerusi inisiatif residensi seni.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.