Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+ Pesta Warisan SG 2026 telusuri warisan kelautan Singapura

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 10 May 2026 12:20AM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 02:39PM

SINGAPURA: Lebih 100 acara dan kegiatan ditawarkan sempena Pesta Warisan Singapura yang meneroka warisan kelautan kita. 

Antaranya termasuk persembahan kebudayaan, lawatan berpandu di air dan di darat serta bengkel dan pameran. 

Pesta Warisan kali ke-23 ini menyingkap hubungan mendalam Singapura dengan samudera, serta masyarakat dinamik yang menjadikan kita hab maritim global, bertepatan dengan ulang tahun ke-30 Penguasa Pelabuhan Maritim (MPA). 

TEATER TONGKANG IMERSIF DEDAH KISAH DAGANG & MIGRASI SG

Bukan sahaja dapat menonton teater di atas tongkang yang sedang bergerak menelusuri perairan Singapura, tapi malah menyertai kegiatan menarik yang menjadi sebahagian daripada persembahan teater imersif.

Begitulah pengalaman julung-julung kalinya yang dapat dinikmati, hasil penganjuran Pesta Warisan Singapura yang juga menandakan lembaran baharu di bawah WarisanSG (HeritageSG).

Interaksi berperingkat daripada teater di atas tongkang membolehkan pengunjung meneroka sejarah dan warisan, dari segi bagaimana perdagangan, migrasi dan penceritaan membentuk persimpangan budaya Singapura yang rancak. 

"Pesta Warisan Singapura tahun ini memperluaskan cara warisan dipersembahkan melalui pengalaman yang lebih imersif dan juga bekerjasama dengan rakan kongsi yang tidak tipikal. Pengalaman teater di atas tongkang A Bump Through Time menawarkan perspektif lain tentang Sungai Singapura dan  membawa pengunjung dari Clarke Quay ke Fullerton dan Marina Bay. Pengalaman interaktif ini mengupas kisah perdagangan, penghijrahan dan juga budaya; mencerminkan fokus HeritageSG terhadap inovasi dan juga memperkenalkan cara baharu untuk menghidupkan warisan," ujar Pengarah Pesta SHF 2026, Qazim Karim. 

Sesuai meraikan sejarah kelautan negara, maskot bernama Pitta turut direka oleh ilustrator dan seniman visual tempatan, HAFI. 

"Maskot Pitta ini berdasarkan seekor burung hidup yang berhijrah dan dikenali sebagai Western Hooded Pitta. Ia boleh ditemui di Singapura pada bulan September. Kami membina satu kisah bagaimana Pitta berasa ingin tahu sangat tentang Singapura selepas dia terbang di atas Sungai Singapura. Pitta memerhatikan bagaimana manusia daripada latar belakang yang berbeza bergaul antara satu sama lain dan cara mereka hidup bersama dengan sangat berharmoni. Jadi akhirnya  menjadikan Singapura rumahnya. Kisah Pitta ini sangat dekat kepada kita rakyat Singapura kerana kebanyakan daripada kita adalah anak dan cucu kepada perantau," ujar ilustrator dan seniman visual, HAFI atau nama penuhnya Nur Hafizah Jainal. 
 

LEBIH 100 ACARA WARISAN MARITIM DITAWAR SELURUH SG HINGGA 24 MEI

Antara sorotan pesta ini adalah HOMEGROUND @ ACM Green, yang menghidupkan tradisi kelautan Singapura yang terus berkembang melalui pelbagai pameran budaya dan warisan. 

"Ada reruai dan juga ada pelbagai aktiviti untuk para pengunjung mencuba dan lebih memahami sejarah maritim Singapura," jelasnya.

CLICK UNTUK KUNJUNGI LAMAN RASMI

Tidak ketinggalan pelbagai bengkel dan demonstrasi, seperti anyaman bubu oleh Kebon Dapor, bengkel kraftangan yang menonjolkan bagaimana rempah-ratus menjadi antara akar sejarah dan warisan di Singapura, serta persembahan muzik pelbagai kaum oleh kumpulan Artusik berjudul Orkestra Pelabuhan ini. 

"Orkestra pelabuhan merupakan muzikal mini di mana kita gabungkan sesi muzik yang dikarang oleh  Shahneezar Shahnan. Sesi penceritaan yang juga dimuat-suai oleh Hidayat Nordin dan juga penyertaan penonton. Dan kami juga mendapat inspirasi daripada cerita-cerita seperti pelayaran Sang Nila Utama, serangan - Singapura Dilanggar Todak. Dan kami ingin ingin mengambil inspirasi daripada semangat kebijaksanaan, keberanian dan juga semangat masyarakat yang membentuk permulaan Singapura," ujar Pengasas-Bersama Artusik, Nabillah Jalal. 

"Kami menggunakan seperti alat muzik Cina, Erhu, Guzheng, alat muzik India, tabla, gamelan kromatik untuk menonjolkan muzik Melayu dan juga alat muzik barat seperti piano, bass guitar dan juga violin. Selain daripada itu, kami juga akan menampilkan salah satu inovasi kami - Saronang. Saronang menggabungkan empat alat muzik gamelan yang berbeza dan ini mencerminkan visi Artusik untuk memperluaskan lagi muzik Nusantara," jelas Cik Nabillah Jalal, pengasas-bersama Artusik.  

"Saya berharap dengan Pameran HOMEGROUND dan Pesta Warisan Singapura, orang ramai terus mempunyai rasa ingin tahu terhadap warisan dan kisah-kisah masa lalu, sejarah secara am. Kerana saya rasa dengan sikap ingin tahu ini, kisah warisan dapat diteruskan daripada satu generasi ke generasi yang seterusnya," luah Cik HAFI.  

Peluang mengharungi arus yang membentuk rakyat Singapura hari ini - dapat dilakukan menerusi jejak warisan maritim, pelabuhan impian, lawatan di sebalik tabir, dan banyak lagi di Pesta Warisan Singapura yang berlangsung sehingga 24 Mei.

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita