BERITA+ PESTA RAYA: Adaptasi Moden ‘Salina’, karya klasik A Samad Said
Watak utamanya Siti Salina, gadis Kampung Kambing, dipuji kerana keberaniannya menggambarkan realiti masyarakat pasca perang pada tahun 1950-an secara jujur dan realistik.
Dengan gaya bahasa yang indah tetapi tajam, novel itu terus diangkat sebagai antara naskhah terpenting dalam perkembangan sastera Melayu moden.
Karya yang pernah dijadikan teks sastera GCE peringkat ‘A’ pada 1990-an itu telah diberi nafas baharu sekali lagi di pentas Esplanade pada 2 hingga 4 Mei 2025 sempena Pesta Raya.
Adaptasi itu membuka ruang kepada generasi baharu untuk menilai semula nilai, konflik dan kemanusiaan dalam kisah seorang wanita yang bergelut mempertahankan maruah diri dalam dunia yang penuh cabaran.
TERAP PENDEKATAN ARTISTIK DAN PENYESUAIAN MODEN
Kisah pahit getir Siti Salina yang terperangkap dalam kemiskinan dan hubungan menyakitkan sehingga sanggup melacurkan diri demi kelangsungan hidup diangkat semula ke pentas menerusi adaptasi moden oleh Teater Kami.

Di bawah arahan Atin Amat, naskhah klasik itu diberi nafas baharu dengan pendekatan artistik menyeluruh, menampilkan elemen visual yang segar dan relevan kepada penonton masa kini.
"Bila cakap soal artistik, ia meliputi soal tata cahaya, tata panggung, suara, busana dan juga dari segi muzik, sesuai untuk mentransformasikan dalam bentuk pementasan untuk kelihatan relevan. Bagaimana saya menggunakan panggung itu sepenuhnya? Bagaimana dari sudut busana, pakaian-pakaian yang digunakan itu dapat menarik perhatian generasi sekarang melihat kecantikan wanita zaman masa 50-an itu berpakaian kebaya, juga cara pakaian lelaki yang berbeza dengan pakaian orang-orang sekarang ini," jelas Atin.
Elemen-elemen yang diterapkan dari sudut artistik itu juga termasuk muzik, lagu-lagu yang digunakan, yang berlatar belakangkan zaman-zaman 1950-an, yang kedengarannya amat klasik.
Kreativiti menjadi kunci utama, kata Atin, walau di mana pentas sekalipun.
"Contohnya saya pernah ke Kaherah, Mesir untuk buat drama Tiga Dara Terbang Ke Bulan. Panggung itu sudah terbiar lama, tetapi kita mengubah suai keadaan itu dengan kreativiti kita untuk melihat penyesuaian pada diri kita sendiri dan untuk pihak orang di sana melihat panggung yang terbiar lama itu, bagaimana kita memberi wajah baru. Jadi di mana-mana tempat pun, kalau 'dicampak' untuk buat pementasan, kita sendiri yang mengendalikan harus tahu menggunakannya," jelas Cik Atin.

Menurut Atin, pelawaan Esplanade untuk mementaskan Salina sempena sambutan SG60 amat dihargai bukan sekadar kerana nilai sejarah naskhah tersebut, tetapi kerana kekuatan bahasanya serta kedalaman falsafah yang disampaikan oleh Sasterawan A Samad Said.
"Harap-harap ingat setiap babak, lagu-lagu yang saya gunakan atau dialog-dialog tertentu yang jarang didengar waktu sekarang ini. Lagi pula ia datang daripada Pak Samad, jadi sesuatu yang istimewa pada saya," luah Atin.
SAHUT CABARAN BAWA WATAK BERAT DAN PENUH EMOSI
Pelakon Fir Rahman menggalas tanggungjawab besar membawa watak antagonis yang kejam dan penuh konflik emosi.

"Cabaran terbesar adalah untuk mengelakkan daripada lakonan ganas saya mengakibatkan 'Salina' terjatuh ataupun tercedera.
"Babak gaduh. Kita nak buat agar kelihatan 'hidup' tapi kadang-kadang 'real' boleh memudaratkan. Saya bukan pelakon aksi lasak! Jadi, takut juga, tetapi saya sahut cabaran itu. Untuk Saya lakukan berlari-lari anak kerana berlakon teater ini memerlukan banyak tenaga," ujar Ariati Tyeb Papar yang membawakan watak utama Siti Salina.
Selain aksi fizikal, Fir turut menghadapi cabaran emosi, terutamanya apabila membawakan dialog-dialog kasar yang mencerminkan sisi gelap Fakar.
"Bahasa yang digunakan oleh Fakar agak macam kurang ajar. Dia kasar dan antaranya ialah apa yang dilontarkan kepada Salina. Betul punya kasar terhadap perempuan yang jaga dia, kasi dia makan, kasi dia duit. Memang tidak ada moral si Fakar ini. Nahidah pun dia nak rogol dalam tandas. Tiada ada belas kasihan pun," kongsinya.
Bagi Ariati, menjiwai watak wanita tabah itu meninggalkan kesan emosi yang mendalam.
"Bahasa-bahasa dalam skrip ini semua agak lain. Cara perkataannya itu sama, tetapi lontarannya berbeza," tambahnya.
"Ia mengajar saya tentang kehidupan, tentang kesabaran. Amat mendalam sebenarnya sebab watak itu walaupun dia dalam keadaan sedih, dia tidak menunjukkan. Dia selalu menyimpan. Keluarganya dibunuh, musnah dalam peperangan. Cara dia dilayani oleh Fakar, dia sabar sahaja," luah Ariati penuh kekaguman.
Babak Salina meninggalkan Hilmy demi masa depan yang lebih baik merupakan antara saat paling menyentuh perasaannya.
"Saya cakap pun saya hendak menangis. Maaf, sebab saya boleh merasakan sebaknya babak sewaktu Salina hendak melarikan diri untuk kebaikan dirinya walaupun dia tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya," jelas Ariati.
Menurut Fir pula, bahasa dalam naskhah ini juga menuntut pendekatan yang berbeza.

"Naskhah ini memang sudah berdiri sendiri dengan nilainya dari segi penulisan, dari segi bahasa, falsafah di dalam cerita itu sendiri.. Bagi saya, itu semua elemen-elemen yang dah ada yang boleh digunakan untuk memperkasakan sastera Melayu itu sendiri," celah Atin pula.
Teater Kami tidak menolak kemungkinan untuk membawa Salina ke pentas serantau atau antarabangsa.
Namun kekangan utama adalah kekurangan dana dan penaja, terutamanya dari kalangan masyarakat Melayu sendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.