Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Perpustakaan mini di tepi lif rumah antara usaha pupuk minat membaca dalam kanak-kanak

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bukan di rumah, bukan di sekolah, bukan juga di perpustakaan, tetapi membaca buku dengan santai di ruang luar lif, bersebelahan rumah.

Dengan konsep terbuka, sesiapa sahaja boleh datang ke perpustakaan mini yang terletak di estet perumahan Sumang Lane di daerah Punggol itu, untuk meminjam atau membaca buku.



Dipanggil TotsCornerByTheMNIFamily, perpustakaan mini itu dibuka pada Mac tahun lalu oleh Cik Idah Mariyani, 35 tahun, yang juga merupakan bekas pustakawan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), dengan pengalaman 10 tahun.

Antara dorongan bagi pengasas itu memulakan usaha ini ialah keinginan untuk memupuk budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak di mana-mana dan bila-bila masa sahaja.


"Pada masa itu, kes-kes COVID-19 agak tinggi jadi untuk mengelakkan kita pergi pusat beli-belah atau tempat yang mempunyai ramai orang, saya rasa lebih baik saya menyumbang kembali kepada masyarakat untuk menubuhkan perpustakaan saya sendiri," kongsi Cik Idah bersama BERITAmediacorp.

"Saya membuat di estet perumahan untuk memudahkan sesiapa yang tinggal di daerah ini, untuk senangkan diri mereka untuk datang ke sini daripada mereka pergi jauh ke pusat beli-belah dan mungkin mereka lebih suka membaca depan mata sahaja," tambahnya lagi.

PELBAGAI JENIS BUKU DITAWARKAN

Kiri: Perpustakaan Cik Idah semasa ia baru sahaja dibuka. Kanan: Perpustakaan Cik Idah kini dengan lebih banyak buku. (Gambar: Idah Mariyani, Nazirah Jamzuri) 

Bermula dengan hanya kurang 30 buku, perpustakaan mini itu kini sudah mempunyai sekitar 300 buku dalam masa setahun ia dibuka. Kebanyakan buku tersebut hasil sumbangan orang ramai.

"Ada satu koleksi Enid Blyton, kalau anda lihat ia sudah hilang warna tetapi masih dalam keadaan yang baik untuk dibaca. Kalau lihat betul-betul, ada setem tarikh, 7 Julai 1969. Jadi buku ini agak klasik," kongsi Cik Idah.



"Untuk tahu bahawa ada orang yang sanggup menderma koleksi buku mereka yang klasik macam ini, saya terharu sebab mungkin benda ini agak istimewa untuk orang itu sehingga disimpan (untuk) bertahun-tahun," tambah beliau.

Di perpustakaan itu juga terdapat satu rak yang disediakan untuk membolehkan orang ramai meletakkan buku-buku yang ingin mereka dermakan.

Buku-buku itu kemudian akan diperiksa dan dibersihkan dahulu oleh Cik Idah, sebelum disusun bersama buku-buku yang lain.



Selain buku Inggeris, pelbagai buku dalam bahasa ibunda seperti Melayu, Cina dan Tamil, turut ditawarkan perpustakaan itu.

Menariknya, ada juga koleksi buku dalam Bahasa Arab - sesuatu yang mungkin tidak ada di perpustakaan masyarakat yang lain.

RUANG UNTUK ERATKAN HUBUNGAN MASYARAKAT

Selain datang untuk membaca, kawasan itu juga sudah menjadi semacam ruang bagi mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat di estet perumahan Punggol itu.

"Sebab saya buat di depan rumah jadi jiran yang (tinggal) di tingkat yang sama dengan saya sebenarnya banyak membantu juga. Kadang-kadang apabila mereka membuang sampah, mereka akan memberitahu saya bahawa mereka menolong menyusunkan buku saya," kata Cik Idah.

"Ada yang saya tahu mendermakan makanan snek. Ada yang (mendermakan) minuman paket dan juga bangku," tambahnya lagi.


(Gambar: Idah Mariyani) 

Selain itu, Cik Idah juga rajin mengajak jiran-jirannya berbual setiap kali terserempak dengan mereka di perpustakaan mini itu.

Ini sambil memberi cadangan tentang koleksi buku-buku yang mereka boleh pinjam, bergantung kepada usia anak-anak mereka.

Perpustakaan mini itu juga turut menarik tetamu yang datang dari estet perumahan lain.

Ini selepas mereka mendapat tahu tentang kewujudannya menerusi media sosial.

"Ada seorang wanita ini yang tinggal di estet perumahan lain, tetapi berdekatan Punggol. Mungkin beliau mendapat tahu daripada media sosial tentang perpustakaan ini. Beliau sebenarnya datang sini membuat penstriman 'live' di Instagram untuk berkongsi mengenai perpustakaan saya," luah Cik Idah.

"Beliau juga datang untuk meminjam buku, dan pulang nanti beliau membuat ulasan dan akan memuat naik di media sosialnya tentang buku yang dipinjamnya," tambahnya lagi.


(Gambar: Idah Mariyani) 

Menurut Cik Idah, ada juga yang sempat mengirimkan kata-kata pujian dan penghargaan atas usahanya itu dan ini membuatnya terharu.

Buat masa ini, beliau menambah bahawa terdapat sekitar 14 perpustakaan masyarakat sebegini di merata Singapura, yang tersenarai di laman Facebook 'Little Libraries Singapore', sebuah direktori dan kemas kini tentang perpustakaan-perpustakaan kecil di Singapura.

SESI BERCERITA ANTARA USAHA GALAK BUDAYA MEMBACA DARI KECIL



Di peringkat nasional pula, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) melakar pelbagai usaha untuk menggalak budaya membaca dari kecil.

Ini termasuk pengenalan kepada buku-buku dalam bahasa ibunda menerusi sesi bercerita yang kembali diadakan secara fizikal.

Menurut Pustakawan Divisyen Perancangan dan Pembangunan Koleksi Bahasa-bahasa Ibunda, Nur Fitri Muhammad Syafran, sesi-sesi ini dijalankan oleh para kakitangan NLB sendiri dan juga para sukarelawannya.



"Ia memupuk atau mengembangkan kemahiran literasi kanak-kanak maksudnya kemahiran bertutur, membaca, menulis dan sebagainya. Dan ia menggalak tabiat membaca itu sendiri," kongsi Cik Fitri.

Sesi bercerita itu juga menurutnya dapat memperkenalkan kanak-kanak kepada pelbagai topik, dan pada masa yang sama merangsang imaginasi dan sikap ingin tahu mereka.

"(Apabila) mereka dah tertarik kepada topik tersebut, mereka mungkin akan membaca buku-buku lain atau membaca dari Internet tentang topik-topik yang mereka minati," menurut Cik Fitri.



Namun, sesi bercerita yang dikendalikan NLB itu berbeza sedikit.

Si pencerita bukan setakat membaca sahaja, tetapi perlu menghidupkan watak-watak berkenaan, sambil berinteraksi dengan para pendengar.

Ini memerlukan pelbagai teknik, termasuk mengolah sesuatu cerita menjadi bentuk drama.

"Contohnya, kalau dialog antara watak, saya akan menggunakan suara-suara yang berlainan untuk menggambarkan watak-watak yang lain," kata Cik Fitri, yang mempunyai pengalaman bercerita selama enam tahun.

"Selain itu, saya juga menggunakan lagu. Jadi kanak-kanak ini sebenarnya suka lagu dan mereka belajar menerusi lagu juga," menurutnya lagi.

BAHAN-BAHAN DIGITAL SEPERTI BUKU ELEKTRONIK DIBERI TUMPUAN


Selain sesi bercerita, NLB turut memastikan buku-bukunya mudah diakses.

Misalnya, pada 2021, ia mendapati 30 peratus peningkatan dari segi pinjaman buku dan ini termasuk buku-buku digital.

Lantas, tumpuan turut diberikan kepada bahan-bahan digital seperti Buku Elektronik, dan ini termasuk kandungan dalam bahasa Melayu.

"Pada akhir tahun 2020, sebelum pandemik COVID ini bermula, kami hanya ada 225 buku elektronik termasuk buku audio. Tetapi, apabila COVID dah bermula dan pada akhir tahun 2021, kami ada lebih daripada 4,000 buku elektronik dan buku audio," kongsi Cik Fitri.

Bagi memastikan lebih banyak sumber bacaan bahasa ibunda disediakan, NLB turut bekerjasama dengan para penerbit tempatan untuk menterjemahkan beberapa buku kanak-kanak.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan