Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Pemilik bercuti, 'staycation' untuk si manja dapat sambutan hangat

Bukan manusia sahaja yang kini pergi bercuti, tetapi kucing peliharaan juga mendapat layanan ala-ala menginap di hotel.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Tempat tidur yang selesa, makan dan minum pun cukup terjaga.

Bukan manusia sahaja yang kini pergi bercuti, tetapi kucing peliharaan juga mendapat layanan ala-ala menginap di hotel.

Sedang semakin ramai orang pergi melancong, permintaan bagi khidmat hotel kucing juga kian meningkat.



Antara yang mendapatkan khidmat itu ialah Cik Sheree D/O Mikael, yang menghantar kucing-kucing peliharaannya ke Catto Resort.

Menurut Cik Sheree, beliau "tidak selesa" meninggalkan kucing-kucingnya sendirian di rumah.

"Axel seekor kucing yang sentiasa perlu ada orang (di sisi), ia akan mula tunjuk perangai, sepahkan mangkuk makanan, airnya. Jadi saya takut bila tidak ada (orang) di rumah nanti, rumah berselerak dan akan menjadi kotor. Dan saya takut Axel tidak selesa," kongsi Cik Sheree kepada BERITAmediacorp.



"Kucing-kucing ini tidak dapat beritahu kalau ia sakit pun, (kita) tidak akan tahu jadi saya sangat risau kalau ia ditinggalkan sendirian," tambahnya lagi.

SANGGUP BAYAR LEBIH DAPAT KHIDMAT HOTEL KUCING

Lantaran itu, Cik Sheree sanggup membayar lebih untuk menghantar kucing-kucingnya ke Catto Resort semasa beliau dan keluarga pergi melancong.

Harganya boleh mencecah sehingga S$50 semalam, mengikut saiz ruang yang dipilih.



"Memang sanggup bayar untuk si manja pergi (ke hotel kucing), daripada ditinggalkan sendirian di rumah, tidak ada orang. Sekurang-kurangnya, di pusat penjagaan haiwan, ada kucing lain. Ada teman untuk berkawan daripada sendirian di rumah," ujar Cik Sheree.

Selain itu, pemilik kucing seperti Cik Sheree boleh menghela nafas lega kerana boleh mendapatkan kemas kini tentang kucing-kucing mereka menerusi kiriman video oleh Catto Resort.

"Abang (pemilik) itu akan mengambil video. Dia akan menunjuk kucing-kucing ini semua (tengah) makan, sudah makan, tengah baring dan tengah tidur," menurut Cik Sheree, yang berusia 30 tahun.



"Harga 'staycation' itu sebenarnya murah kalau kita ambil kira (pengangkutan) hantar dan balik. Jadi kalau anda naik teksi untuk haiwan dan kucing pun, ia lebih mahal," tambah beliau.

Itulah antara keistimewaan hotel kucing yang dibuka Encik Hairulnizad Daut Shaw dan Encik Zairy Samat tahun ini.

CATTO RESORT TAWAR KHIDMAT HANTAR, AMBIL PERCUMA



Jika dibandingkan dengan hotel lain, khidmat mengambil dan hantar pulang kucing disediakan secara percuma oleh Catto Resort.

Ini bagi memudahkan si pemilik haiwan peliharaan yang tidak perlu "kelam kabut" untuk ke destinasi pelancongan.


Mutu penjagaan pula mengikut selera si manja termasuk dari segi ruang tidur dan makanan yang disediakan.

Kucing yang sedang staycation juga mendapat layanan istimewa.



"Catto ini sebenarnya khusus untuk kucing mengurangkan interaksi dengan manusia, atau boleh dikatakan ‘me time’ untuknya. Jadi kita tidak menggalakkan orang datang," kongsi Pengasas bersama Encik Hairulnizad.

"Kita ingin memberi kucing ini rehat seperti ia juga pergi bercuti, jadi kami beri khidmat yang eksklusif, memainkan muzik untuk tenangkan tetamu kami ini dan persekitaran selesa," tambah beliau lagi.

SLOT TERHAD, TERPAKSA TOLAK PERMINTAAN



Meskipun baru sahaja dibuka Julai tahun ini, ia sudah mendapat sambutan hangat, dengan kebanyakan slot sudah habis ditempah.

"Banyak permintaan yang kita tidak dapat ambil kerana kita terpaksa memberi tumpuan kepada apa yang kita boleh jaga," kata Encik Hairulnizad.



"Kami amat prihatin dengan berapa banyak kucing yang boleh kami ambil. Kami tidak ingin terlalu banyak, bagi memastikan keselesaan kucing-kucing di sini, macam mana ia datang dengan keadaan sihat, begitu juga kami akan menghantarnya pulang dalam keadaan sihat. Malah, dalam keadaan yang lebih baik," tambah beliau.

Dalam pada itu, pemilik Catto Resort, yang juga "pencinta kucing" akan memantau keadaan dan perkembangan kucing-kucing yang menginap di hotelnya itu.



"Cara ia berinteraksi dengan kami, pemakanannya, ataupun kalau ia nampak kurang sihat, ataupun tidak normal, kami akan memberitahu pelanggan kami dengan menghantar video atau gambar setiap hari," ujar Encik Hairulnizad.

HOTEL KUCING MEWAH THE LUXE MEOWNOR TAWAR TIGA JENIS BILIK

Bagi pemilik kucing yang inginkan khidmat yang lebih mewah pula, ada juga pilihan buat mereka seperti di The Luxe Meownor.



Dibuka awal tahun ini oleh penyelamat kucing, Cik Brenda Wang, The Luxe Meownor menawarkan ruang dalam bentuk bilik, iaitu berbeza daripada kabin-kabin yang disediakan hotel kucing lain.


Ruang paling besar iaitu "Mansion Bed Chambers"

"Kami ada tiga kategori berbeza, "Bed Chambers", "VIP Bed Chambers" dan "Mansion Bed Chambers" dan saiznya antara 25 hingga 35 kaki persegi," kongsi Cik Wang.

Lebih istimewa lagi, setiap perabot di hotel itu mempunyai sentuhan Cik Wang sendiri.



"Setiap bilik di sini dan setiap perabot kucing juga direka oleh saya. Saya minat dengan tingkah laku kucing jadi dengan latar belakang reka bentuk dalaman, saya menggabungkannya dan ini cara saya mereka semua perabut di sini," kata Cik Wang.

Pakej yang ditawarkan termasuk dandanan kucing yang disediakan. Ia termasuk memberus bulu, membersihkan muka dan telinga, serta mengetip kuku si manja.

SUDAH DAPAT TEMPAHAN UNTUK DISEMBER 2024



Sejak dibuka lagi, pakej-pakej yang ditawarkan itu sudah mendapat sambutan hangat.

"Dengan kelonggaran langkah-langkah COVID, saya rasa semua ingin melancong keluar Singapura, jadi kami melihat permintaan yang tinggi," menurut Cik Wang.

"Bilik-bilik kami sebenarnya sudah penuh hingga April 2023. Dan kami juga sudah mendapat tempahan untuk Disember 2024," tambahnya lagi.



Selain ruang yang dihias rapi, layanan si penjaga juga dititiberatkan di sini. Itulah makna sebenar "mewah" bagi mereka.

"Sembilan daripada 10 kucing di sini biasanya takut dengan kami. Saya tidak suka menggunakan perkataan 'agresif' tetapi saya rasa ia adalah kemahiran hidup yang diperlukan untuk seekor kucing mempertahankan diri. Jadi kami selalunya memberinya masa dan ruang untuk mengenali kami supaya ia tidak takut dengan kami," ujar Cik Wang.



"Sebagai penyelamat (kucing), kami pernah jumpa banyak kucing yang diabaikan. Dan apabila kami mengambilnya, ramai yang biasanya takut dengan kami juga. Jadi dengan pengalaman itu, kami faham perasaan kucing itu apabila berada di persekitaran baru dengan orang baru," tambah beliau.

THE LUXE MEOWNOR SUMBANG KERJA MENYELAMAT KUCING



Menariknya, ada juga sebuah ruang yang disediakan khas buat mempamerkan kucing-kucing yang pernah diselamatkan.

Buat masa ini, Cik Wang sudah menyelamatkan sekitar 300 kucing, dan ada di antaranya juga pernah menginap di hotel kucing itu.

"Perniagaan yang kami dapat daripada pemilik kucing ini juga dapat membantu kami dalam menyumbang kepada kerja-kerja menyelamatkan (kucing). Dan ini satu aspek yang membuat saya lega dan gembira," luah Cik Wang.



Dalam pada itu, The Luxe Meownor juga menyediakan kemudahan dan aspek-aspek keselamatan untuk memastikan kebajikan kucing di bawah jagaannya.

Dengan itu, para pemilik haiwan peliharaan kini tidak lagi perlu risau apabila pergi bercuti.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan