Skip to main content

Gaya Hidup

Berita+ Pemandu muzium hidupkan semula warisan, minat terhadap sejarah di muzium Taman Warisan Melayu

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pemandu lawatan muzium atau 'docent' memainkan peranan penting dalam menghubungkan bahan pameran dengan pengunjung melalui penerangan yang jelas, interaktif dan bermakna.

Ini kerana, muzium menyimpan warisan, cerita, sejarah dan maklumat penting yang perlu diketahui generasi yang akan datang.

Kebanyakan pengunjung hanya melihat bahan pameran secara umum tanpa memahami kisah, nilai sejarah, atau kepentingan di sebalik artifak yang dipamerkan.

Keadaan ini boleh mengakibatkan pengalaman lawatan menjadi hambar, membosankan, dan kurang interaktif, terutama bagi pelawat yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam mahupun minat terhadap sesuatu pameran.

Di Taman Warisan Melayu yang baru dibuka semula, golongan pemandu muzium tersebut bukan sahaja berkongsi fakta sejarah, malah membantu menghidupkan semula kisah, budaya dan identiti masyarakat Melayu untuk difahami generasi masa kini dan hari muka.

Melalui pendekatan yang mesra lagi menarik, para pemandu lawatan membantu pengunjung memahami nilai di sebalik artifak yang dipamerkan, sekali gus menjadikan muzium sebagai ruang pembelajaran yang lebih hidup dan dekat dengan masyarakat.

Pengurus Jangkauan dan Pendidikan Taman Warisan Melayu, Nuradilah Ramlan, berkata para pemandu muzium memainkan peranan besar sebagai “suara” di dalam galeri muzium.

Menurut beliau, selain menyampaikan fakta sejarah, para pemandu turut berkongsi pengalaman peribadi dan kisah di sebalik setiap naratif pameran, sekali gus memberi nilai tambah kepada pengalaman pengunjung.

“Semangat mereka untuk berkongsi sejarah dan cerita di sebalik artifak dapat dirasai pengunjung, dan ini membantu menghidupkan galeri kami,” ujar Cik Nuradilah kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Related article image
Cik Nuradilah, Cik Nurul Aini dan Cik Nadya Salyriana berkongsi tentang nilai tambah para pemandu lawatan di muzium (Foto: Roslinda Rahmat)
BERKONGSI CERITA DI SEBALIK ARTIFAK DAN IDENTITI KAMPONG GELAM

Taman Warisan Melayu mempunyai akses kepada lebih daripada 100 pemandu muzium sukarela, termasuk golongan Friends of the Museum, yakni pertubuhan sukarelawan muzium.

Antara mereka ialah Nadya Salyriana Mohamed Sallehin, yang sudah berkhidmat sejak 2019.

Beliau membimbing pengunjung tempatan dan antarabangsa memahami sejarah Kampong Gelam serta identiti masyarakat Melayu melalui penceritaan yang dekat dengan kehidupan seharian.

Cik Nadya mendedahkan bahawa lawatan yang dipandunya biasanya dimulakan dengan memperkenalkan kehidupan masyarakat Melayu di kawasan Kampong Gelam, termasuk aspek bahasa, budaya dan cara pemakaian sebelum mengembangkan cerita kepada konteks yang lebih luas.

Beliau juga gemar mengetengahkan artifak tradisional yang mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan masyarakat Melayu dahulu.

Menurut Cik Nadya, di antara artifak yang sering menarik perhatian pengunjung adalah kukuran, alat pemarut kelapa tradisional yang dihiasi ukiran halus. Kukuran sangat jarang digunakan sekarang dalam dunia masakan Melayu.

Kongsi Cik Nadya, ramai pengunjung pada awalnya menyangka artifak tersebut sekadar ukiran kayu hiasan yang indah, sebelum mengetahui fungsinya dalam dapur Melayu tradisional.

"Apabila kami mengetengahkan tentang bagaimana kukuran itu adalah nadi di setiap rumah Melayu, di mana masakan harus menggunakan santan, dan pemarut kelapa itu adalah sangat penting; para pengunjung terpegun, kerana pada mereka sangat indah seni ukiran Melayu, sehinggakan alat yang digunakan di dalam dapur juga diukir dengan kerja tangan yang sangat halus," dedah Cik Nadya.
Related article image
Tingkat bawah muzium Taman Warisan Melayu (Foto: Roslinda Rahmat)
MUZIUM BUKAN TEMPAT UNTUK MASA LAMPAU TETAPI RUANG UNTUK TEMUKAN JATI DIRI

Sementara itu, seorang lagi pemandu lawatan, Nurul Aini Ajmain pula mula bersama Taman Warisan Melayu sejak 2018.

Beliau melihat sejarah sebagai penghubung penting dalam memelihara identiti Melayu tempatan dan mahu membantu generasi muda mengenali akar budaya mereka.

Minat beliau terhadap warisan Melayu bermula melalui penglibatan dalam ruang budaya dan kesusasteraan.

"Dari sudut teknikal, penguasaan bahasa kami amat kukuh sekali. Namun, hubungan kami dengan identiti warisan dan juga kesusasteraan yang menyatupadukan bahasa itu sendiri, terdapat ruang yang masih boleh diampuhkan lagi," kongsi Cik Nurul Aini kepada wartawan.

Pengalaman itu mendorong beliau untuk menggali akar dan mendalami hubungan antara bahasa, warisan dan identiti masyarakat Melayu.

Sebagai pemandu muzium, Cik Nurul Aini berharap pengunjung dapat menjadikan muzium sebagai ruang untuk mengenali diri dan warisan mereka sendiri.

"Kerana saya percaya, muzium bukanlah tempat untuk masa lampau, tetapi ia juga satu ruang di mana kita boleh menemukan jati diri kita dan identiti kita sendiri pada masa kini," tegasnya.

HARAPAN AGAR GENERASI MUDA JADIKAN TOKOH-TOKOH WANITA SEBAGAI INSPIRASI UNTUK CIPTA KEJAYAAN SENDIRI

Cik Nurul Aini turut memberi perhatian kepada naratif berkaitan pemerkasaan wanita dalam sejarah Singapura.

Menurut beliau, kisah wanita-wanita yang terlibat dalam bidang pendidikan, organisasi sosial dan pembangunan masyarakat penting diketengahkan kerana ia menunjukkan wanita sentiasa memainkan peranan besar dalam pembangunan negara sejak dahulu lagi.

"Kerana ia mendedahkan kita kepada kekuatan, ketabahan dan juga sumbangan para wanita dalam pelbagai industri dan juga penubuhan organisasi sosial, pada awal penubuhan Singapura. Dan hal ini sebenarnya menunjukkan satu perkara - bahawa kepercayaan terhadap keupayaan wanita sentiasa wujud dan kita percaya bahawa wanita dapat menjadi penyumbang yang kuat terhadap pendidikan," ujar Cik Nurul Aini yang bertugas sebagai guru bahasa Melayu di sebuah sekolah rendah itu.

Beliau berharap generasi hari ini dapat menjadikan tokoh-tokoh wanita tersebut sebagai sumber inspirasi untuk mencapai potensi diri dan mencipta kejayaan, tanpa mengira jantina.

Dalam pada itu, Cik Nuradilah, Pengurus di Jabatan Jangkauan dan Pendidikan di Taman Warisan Melayu, yang bertanggungjawab ke atas para pemandu lawatan sukarela di sana mendedahkan, Taman Warisan Melayu telah menjalankan latihan intensif bagi melengkapkan para pemandu lawatan untuk galeri baharu mereka sejak lebih setahun lalu.

DEDIKASI PEMANDU MUZIUM MENGHIDUPKAN WARISAN DAN MEMBANGKITKAN MINAT TERHADAP SEJARAH

Latihan tersebut merangkumi buku panduan khas, siri ceramah oleh ahli akademik dan pakar budaya, serta sesi praktikal di galeri bagi membantu mereka memahami artifak dan membentuk gaya penceritaan sendiri.

Menurut beliau, selain pengetahuan sejarah, ciri paling penting bagi seseorang pemandu lawatan ialah minat mendalam terhadap warisan dan kesediaan untuk terus belajar.

"Bagi pihak Taman Warisan Melayu yang penting ialah semangat yang berkobar-kobar untuk mereka mengongsi sejarah dan kisah- kisah di sebalik artifak serta semangat untuk sentiasa menimba ilmu dan mengkaji, ujar Cik Nuradilah"

Melalui dedikasi pemandu muzium seperti Cik Nadya Salyriana dan Cik Nurul Aini, Taman Warisan Melayu bukan sekadar ruang bagi mempamerkan artifak sejarah, tetapi juga wadah menghidupkan semula memori, nilai dan jati diri masyarakat Melayu untuk generasi masa kini dan akan datang.

Usaha mereka mencerminkan peranan penting Taman Warisan Melayu sebagai nadi budaya yang terus menghubungkan masyarakat dengan akar warisan mereka.
Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita