Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+ Muzium Kanak-Kanak SG perkasa si cilik jadi wira alam sempena cuti sekolah Jun

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 07 Jun 2026 08:01PM Dikemas Kini : 13 Jul 2026 01:07PM
SINGAPURA: Skala imaginasi kanak-kanak yang luas boleh menjana pelbagai idea menarik dan mereka juga boleh menjadi penggerak perubahan yang dimahukan seperti memelihara alam sekitar.

Disebabkan itu, pada cuti sekolah ini Muzium Kanak-Kanak mahu memperkasa golongan cilik itu untuk menjadi pencipta bersama program Wira Sifar Sisa bagi merangsang keprihatinan anak muda terhadap kelestarian alam sekitar secara kreatif.

Dalam program tersebut, kanak-kanak boleh menjadi wira penyelamat planet melalui permainan.

Beginilah dunia baharu yang diselami kanak-kanak sekolah rendah ini yang tekun melakukan aktiviti untuk satu misi - agar suara mereka didengar, demi untuk membawa perubahan positif.

Ia juga bersempena Musim Kanak-Kanak - acara tahunan yang membawakan pengalaman budaya untuk mencetuskan rasa ingin tahu kanak-kanak untuk mengenali warisan bersama, melalui pembelajaran berasaskan permainan.

PENEROKA MUDA CIPTA PERUBAHAN, PERMAINAN JADI WADAH PEMBELAJARAN

Tahun ini, buat pertama kalinya, Musim Kanak-Kanak mempersembahkan barisan program khas sempena sambutan Hari Bermain Antarabangsa (IDOP).

"International Day of Play (IDOP) mengiktiraf permainan sebagai elemen penting dalam perkembangan, kesejahteraan dan pembelajaran kanak-kanak. Penyertaan kami dalam IDOP mencerminkan pendekatan pembelajaran berasaskan permainan oleh Muzium Kanak-Kanak di mana permainan dilihat bukan sekadar sebagai hiburan sahaja tetapi suatu platform atau wadah yang bermakna untuk kanak-kanak dan keluarga belajar serta berhubung antara satu sama lain," kongsi Pengarah Galeri, Pameran dan Muzium, HeritageSG, Asmah Alias kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Related article image
Muzium Kanak-Kanak yang terletak di Coleman Street. (Gambar: BERITA Mediacorp)
MUZIUM KANAK-KANAK TONJOL PERMAINAN UNTUK DIDIK KEMAMPANAN

Selaras dengan semangat mendidik menerusi bermain, tema kemampanan ditonjolkan kali ini.

"Tahun ini, kami menggalakkan kanak-kanak serta keluarga untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai alam sekitar, dan membina tabiat-tabiat menjaga alam sekitar kita demi masa hadapan yang lebih hijau. Melalui sesi perbincangan fokus yang kami adakan, kanak-kanak ini - mereka secara semulajadi lebih tertarik kepada tema-tema seperti pencemaran, haiwan, usaha untuk memelihara bumi dan mereka juga tertarik dengan naratif yang berunsurkan adiwira," jelas Cik Asmah lagi.

Lantas Muzium Kanak-Kanak cuba menterjemahkan konsep kemampanan dengan idea lebih mudah difahami.

Harapannya, agar amalan-amalan kecil yang dikongsi dapat dipraktikkan dalam kehidupan seharian, demi memelihara bumi.

Menyampaikan mesej berat melalui lagu yang diulang-ulang dan mudah dinyanyikan bersama, menjadi pendekatan kreatif untuk menarik minat dan komitmen kanak-kanak.

"Sebagai watak Ms Nat, kami banyak menggunakan drama, muzik dan juga tarian. Jadi rekaan tari kami, lagu-lagu, semua ada unsur-unsur kemampanan. Sampai sekarang kanak-kanak ini masih menyanyikan lagu Zero Waste Heroes dan seni kata lagu itu sendiri adalah pengajaran untuk kanak-kanak. Malah, saya selalu berlatih di rumah - anak-anak saya sendiri pun akan cakap, 'Pick it up, put it back!' Jadi, dengan seni kata lagu sahaja sudah boleh mengajar kanak-kanak semua untuk membantu menyelamatkan bumi serta menolong menjimatkan air dan memelihara sumber makanan," ujar pencipta program 'Ms Nat and the Zero Waste Heroes', Nur Ateeqah Mazlan.
Related article image
Persembahan program Ms Nat and the Zero Waste Heroes. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Ini menarik kanak-kanak seperti Iffah, 10 tahun dan Ulya, 11 tahun.

Mereka dianggap sebagai para peneroka muda yang digalak berimaginasi, berkarya dan meneroka bagaimana tindakan kecil mampu membawa perubahan besar kepada bumi.

PANEL KANAK-KANAK CIPTA BERSAMA PROGRAM, SUARA MEREKA DIDENGAR

Mereka dan rakan-rakan pelajar daripada Sekolah Rendah Huamin membentuk Panel Kanak-Kanak dan dilibatkan dalam usaha memperkasa oleh Muzium Kanak-Kanak.

Antara lain, mereka juga mencipta-bersama mesin pencuci pinggan mangkuk dan menawarkan pelbagai idea secara aktif berserta perincian yang lengkap.

"Saya belajar tentang cabaran yang orang-orang pada zaman dahulu menghadapi dan belajar bagaimana kita boleh menyelamatkan bumi. Satu cadangan yang saya berikan adalah untuk mengumpulkan bahan-bahan kitar-semula mengikut warna untuk projek kita," kongsi anggota Panel Kanak-Kanak yang merupakan pelajar darjah 4, Sekolah Rendah Huamin, Iffah Ilyana Farhan.

"Saya memberikan idea untuk menggunakan botol-botol dan sampah sebagai barang-barang yang boleh dikitar-semula dan kostum untuk permainan kita, Menggunakan benang, kami menampal botol dan sampah pada baju di beberapa tempat kerana kita mahu kostum kita kelihatan kotor, untuk menunjukkan kanak-kanak yang kita tidak boleh membuang sampah sebarangan," jelas Ulya Syathirah Muhammad Fikri pula. Pelajar darjah 5, Sekolah Rendah Huamin ini juga menganggotai Panel Kanak-Kanak Muzium Kanak-Kanak.

Cadangan bernas Ulya dan Iffah tidak sia-sia kerana disertakan sekali untuk menghasilkan bersama naratif dalam program 'Ms Nat and the Zero Waste Heroes' ini.

"Ulya dan Iffah, umur mereka 10, 11 tahun. Membuat ciptaan bersama dengan mereka, saya tidak sangka yang kanak-kanak umur begitu boleh keluarkan idea-idea yang begitu menarik, sehingga persembahan saya untuk Ms Nat and the Zero Waste Heroes ini, 80 peratus adalah idea mereka," dedah Cik Ateeqah.

Berbagai kegiatan dan ruang permainan di Muzium Kanak-Kanak disediakan hingga 28 Jun (2026).

Ini selain pelbagai aktiviti percuma dan berbayar di 21 muzium dan institusi, untuk mencetuskan rasa kagum dan menggali kreativiti melalui kuasa bermain.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/rl
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita