BERITA+: Muslims With Muscles (MWM) cabar batas usia, bukti warga emas mampu kekal aktif
SINGAPURA: Empat kali seminggu, sekumpulan warga emas daripada komuniti Muslims With Muscles (MWM) akan berkumpul untuk menjalani latihan di gimnasium serta sesi senaman luar di Stadium Woodlands dan Hab Tampines Kita.
Inilah sebahagian daripada rutin golongan itu yang ramai antara mereka sudah bersara.
Ditubuhkan pada tahun 2013, kumpulan tersebut diasaskan oleh Encik Hilmi Anwar, 38 tahun, bersama beberapa rakannya bagi menggalakkan gaya hidup sihat menerusi senaman.
"Pada mulanya, sasaran kami ialah kawan-kawan kami dalam lingkungan usia 20-an dan 30-an. Kemudian, mereka mula membawa ibu mereka sendiri. Lama-kelamaan, golongan ibu inilah yang terus menghadiri sesi latihan, manakala anak-anak pula semakin sibuk selepas berumah tangga, mendapat pekerjaan baharu atau berpindah, " kongsi pengasas dan juga pelatih MWM, Encik Hilmi Anwar.
USIA MENINGKAT BUKAN PENGHALANG GAYA HIDUP AKTIF
Ramai yang mungkin bertanggapan bahawa warga emas perlu memperlahankan aktiviti seharian apabila usia mereka semakin meningkat atas sebab masalah kesihatan dan pergerakan serta kebimbangan terhadap risiko jatuh.
Namun, menurut Encik Hilmi, itu bukan sebab golongan berusia harus mengelak aktiviti fizikal sepenuhnya.
"Jantung kita ini sebernanya seperti enjin untuk kehidupan seharian. Apabila kita buat senaman dan membuat kardio ia dapat kukuhkan lagi atau tambahkan lagi saiz 'enjin'.
Bila kita buat latihan kecergasan pula otot-otot semakin berkembang dan dapat digunakan. Kebolehan untuk berjalan, melancong, membuat amal ibadah dan aktiviti seharian akan lebih senang," tambah Encik Hilmi.
Cik Saleha Abdul Ghani, suri rumah yang berusia 74 tahun pertama kali mengikuti sesi latihan berkumpulan Muslims With Muscles (MWM) tahun lalu dengan dorongan anaknya.
Beliau menghadiri sesi-sesi tersebut sebanyak tiga kali seminggu dengan konsisten meskipun pada mulanya menghadapi beberapa masalah kaki yang kerap sakit sehingga tidak larat berjalan jauh mahupun lama.
"Dulu kalau saya jalan walaupun jarak yang dekat saya akan cari tempat duduk. Setelah sertai latihan saya perlahan-lahan tingkatkan keyakinan diri dan dapat berjalan dengan stabil."
"Duit kita boleh cari, kesihatan susah cari kalau sudah jatuh sakit. Oleh itu ia bagus jika kita boleh bersenam kerana ia panjangkan jangka masa. Penyakit kalau datang ia tetap akan datang tetapi kalau boleh kita jauhkan," kongsi Cik Saleha.
SENAMAN BERKUMPULAN MWM TINGKATKAN KEYAKINAN DI SAMPING KESIHATAN
Juga ligat dan aktif bersenam ialah Cik Seri Bulan Abu Hassan, 63 tahun, yang sudah 7 tahun menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan MWM.
Penglibatan konsistennya ini bukan sahaja memperbaiki kesihatannya, tetapi juga keyakinan dirinya.
" Ada dari golongan warga emas yang takut untuk buat senaman tetapi sebenarnya tidak perlu. Jika kita bersenam dengan bimbingan pelatih ia tidak akan mencederakan tubuh kita, " kata Cik Seri Bulan.
Walaupun beliaumenjalani prosedur pemasangan stent pada jantung lapan tahun yang lalu, dedikasinya untuk kekal bersenam membuktikan bahawa ia masih belum terlambat untuk beliau menjalankan gaya hidup yang aktif.
"Dengan latihan yang konsisten, anak-anak saya dan saya sendiri bangga kerana kini mampu mengangkat berat 60 kilogram. Malah, saya juga boleh berjalan tanpa mengalami masalah pernafasan seperti dahulu, " luahnya.
Usaha golongan warga emas ini dalam mencapai kesihatan yang lebih baik terbukti bukan sahaja bermanfaat bagi mereka dari segi fizikal, tetapi juga dari segi mental.
Ini lebih-lebih lagi apabila mereka turut memberi sokongan terhadap satu sama lain dan mengharungi setiap cabaran bersama.
"Berjumpa dengan orang lain itu sendiri merupakan satu perkara yang baik. Tetapi apabila mereka datang untuk berlatih dan bersenam bersama, perubahan positif yang berlaku membantu proses pemulihan mereka, kerana bukan sahaja mereka dapat meluahkan perasaan, malah tubuh mereka juga mula bergerak, " kata Encik Hilmi.
Bagi anggota Muslims With Muscles, usia bukan ukuran kemampuan, sebaliknya dorongan untuk terus menjaga kesihatan dan menikmati kehidupan dengan lebih bermakna.
Melalui senaman yang konsisten, bimbingan yang betul serta sokongan komuniti, mereka membuktikan bahawa tidak pernah ada kata terlambat untuk memulakan gaya hidup aktif demi kesejahteraan fizikal, mental dan sosial.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.