Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Mula sebagai hobi, anak muda jadikan kegiatan berkebun sumber pendapatan

Aktiviti berkebun semakin popular dalam kalangan anak muda yang menganggapnya sebagai wadah untuk menenangkan fikiran daripada hiruk-piruk kehidupan harian.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Mula sebagai hobi, anak muda jadikan kegiatan berkebun sumber pendapatan

Encik Muhammad Khairi dan Cik Rachael, masing-masing bersama pokok eksotik yang dijaga mereka. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

SINGAPURA: Aktiviti berkebun semakin popular dalam kalangan anak muda yang menganggapnya sebagai wadah untuk menenangkan fikiran daripada hiruk-piruk kehidupan harian.

Namun daripada sekadar hobi untuk mengisi masa lapang, ada juga menjadikan berkebun sebagai sumber pendapatan.

Encik Muhammad Khairi Mohamed Shah ialah salah seorang penggemar tumbuh-tumbuhan, khususnya pokok-pokok eksotik.

PENJAGAAN POKOK EKSOTIK PERLU BELANJA TINGGI, NAMUN TETAP BERBALOI

Di luar koridor rumahnya, terdapat sekitar 50 pokok tersusun rapi yang sebahagian besarnya bukanlah jenis biasa.

Ia merupakan pokok-pokok eksotik yang khususnya terangkum dalam jenis pokok Aroid dan diimport dari negara-negara lain seperti Amerika Selatan dan Indonesia.

"Ada banyak faktor yang membuat ia menarik untuk menjaga pokok-pokok eksotik ini. Salah satunya adalah teksturnya, ada yang seperti kulit buaya dan ada juga uratnya sangat menonjol," kata Encik Khairi kepada BERITAmediacorp.

Bagi Encik Khairi, penjagaan pokok-pokok eksotik meskipun lebih mencabar, memberi kepuasan kepada dirinya.

"Pada awalnya saya mula jaga pokok-pokok yang lebih senang untuk dijaga, seperti philodendron, white wizard, monstera.

"Selepas itu saya ingin mencabar diri saya untuk menjaga pokok-pokok eksotik dari atmosfera lain, dari negeri lain.

"Walaupun mahal, pokok ini boleh tumbuh dan bila dia tumbuh saya boleh jadikannya sebagai baka melalui keratan tunasnya dan buat satu lagi tanaman," kata Encik Khairi, 32 tahun.

Sejauh ini, beliau sudah membelanjakan lebih S$15,000 untuk membiayai hobinya.

Walaupun kosnya tinggi, hobi menjaga pokok-pokok eksotik tersebut tetap berbaloi kerana pulangannya yang lumayan.

Dari sebuah hobi, ia kini menjadi satu sumber pendapatan baginya.

Setiap dedaun yang dijual boleh mencecah harga S$400 hingga S$1,000 bergantung pada saiznya.

Disebabkan koleksinya semakin bertambah, Encik Khairi juga kini menyewa sebuah tapak semaian di Seletar. 

Malah di Seletar, terdapat banyak tapak semaian yang diusahakan oleh anak-anak muda yang bergelar "usahawan hijau" seperti Encik Khairi.

JUAL POKOK HIBRID, DAPAT JANA PENDAPATAN BULANAN SEHINGGA S$8,000

Salah seorang daripadanya ialah Cik Rachael Elizabeth David, yang mengusahakan tapak semaian bernama 'Wild Botanicals'.

Selain pokok-pokok eksotik, Cik Rachael turut menanam pokok-pokok jenis hibrid daripada kacukan dua pokok eksotik.

"Setelah mengumpul banyak pokok eksotik, saya ingin mencuba sesuatu yang baru iaitu dengan menghasilkan pokok-pokok jenis hibrid.

"Saya berjaya menghasilkan pokok hibrid yang pertama sekitar tiga tahun lalu. Dan kini saya mempunyai sekitar lima hingga enam jenis pokok hibrid. Setahu saya, saya mungkin satu-satunya di Singapura yang berjaya mencipta jenis pokok-pokok hibrid ini," kata Cik Rachael, 29 tahun.

Menurut Cik Rachael, daripada 100 benih pokok hibrid yang ditanam, hanya 20 yang berhasil menjadi tanaman.

Setiap pokok hibrid yang dihasilkan dijual pada harga antara S$60 dengan S$800.

Dalam sebulan, Cik Rachael boleh meraih pendapatan sehingga S$8,000.

"Perkara paling memuaskan adalah apabila orang ramai datang untuk beli pokok-pokok hibrid kami dan hubungi kami khususnya untuk mendapatkan pokok-pokok hibrid kami.

"Jadi kami tahu pokok-pokok hibrid kami sangat cantik kerana terdapat permintaan untuknya," kata Cik Rachael.

Anak-anak muda yang menjadi usahawan hijau di kawasan Seletar mempunyai hubungan yang akrab.

Selain memajukan tapak semaian masing-masing, mereka juga saling berkongsi pengetahuan mengenai tumbuh-tumbuhan.

Ia juga cara mereka memastikan hobi itu sesuatu yang mampan dan ada pulangan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan