Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+: Menjejaki zon pasang surut untuk lihat hidupan laut dengan lebih dekat lagi

Tahukah anda, Singapura mempunyai beberapa kawasan pantai di mana sebahagian dasar laut menjadi terdedah ketika air surut?

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda, Singapura mempunyai beberapa kawasan pantai di mana sebahagian dasar laut menjadi terdedah ketika air surut?

Kawasan-kawasan seperti ini dipanggil 'intertidal zones' atau zon pasang surut.

Apabila air pasang, zon tersebut ditenggelami air sepenuhnya. Namun, apabila air laut surut, dasar laut di zon tersebut menjadi terdedah sehingga kita boleh melihat dengan lebih dekat pelbagai hidupan marin seperti tapak sulaiman, ketam dan gamat.

Inilah yang menarik kian ramai penduduk Singapura berkunjung ke kawasan seperti itu untuk melakukan 'intertidal walk' atau 'jejak zon pasang surut'. Menurut Lembaga Taman Negara (NParks), kegiatan tersebut sememangnya kian menarik perhatian ramai sejak kebelakangan ini.

Badan berkanun itu malah mendapati jumlah pengunjung di zon pasang surut Changi khususnya, melonjak tinggi pada tahun ini.

DI MANA ANDA BOLEH MENGIKUTI KEGIATAN INI?

Menurut Pengarah Pusat Biodiversiti Nasional NParks, Dr Karenne Tun, zon pasang surut selalunya terletak di pinggir laut merata Singapura.

Sungguhpun begitu, hanya ada beberapa zon yang mudah diakses dan sudahpun menarik ramai pengunjung.

Ini termasuk di kawasan Tempat Letak Kereta 6 dan 7 Pantai Changi, kawasan dekat dengan Tempat Letak Kereta A dan E Taman Pasir Ris serta Taman Sembawang.

Dr Karenne mendedahkan, zon pasang surut juga boleh didapati di Sungei Buloh dan Sentosa. Sebelum pandemik, NParks turut giat mengadakan lawatan berpandu di Pulau Subar Laut dan Chek Jawa yang mengajak orang ramai mengenali pelbagai hidupan laut ketika air surut di kawasan perairan pulau-pulau itu.

Bagaimanapun, berjalan di zon-zon itu bukan seperti berjalan di tepi pantai dan ini nasihat Dr Karenne untuk mereka yang mahu mencuba menjejaki kawasan pasang surut:

"Pastikan anda memakai kasut yang sesuai. Tempat seperti ini berpasir dan berlumut. Anda tidak mahu terpijak sesuatu yang boleh mencederakan anda ataupun menjejas hidupan laut yang ditemui di zon seperti itu."

Apabila menemukan sebarang haiwan yang tidak pernah dilihat pula, orang ramai dinasihati supaya tidak memegangnya kerana ia mungkin sahaja jenis spesies berbisa.

MACAM MANA NAK TAHU AIR LAUT SURUT?

Memandangkan anda akan hanya dapat menjejaki 'intertidal zones' ketika air surut, anda perlu mencari tahu dahulu tentang paras air laut sebelum membuat sebarang perancangan untuk melakukan kegiatan itu.

Bacaan paras air laut tersedia di laman rasmi NParks dan banyak lagi laman lain seperti Wisuki.

Maklumat yang tersedia di laman-laman sebegini akan menggariskan masa di mana paras air laut diramalkan paling tinggi atau rendah setiap hari.

Jadi kalau anda merujuk kepada maklumat di atas ini, pada 19 Nov, air laut akan surut kepada paras 0.3 meter pada jam 5.30 petang. Bolehlah anda membuat rancangan untuk ke pantai kerana 'intertidal walk' boleh anda lakukan asalkan paras air laut di bawah 0.4 meter.

Semasa kunjungan BERITAmediacorp ke Pantai Changi minggu lalu, walaupun hujan, ia ternyata tidak menjejas paras air laut yang serendah 0.3 meter waktu itu.

Kami dapat berjalan kira-kira 20 meter ke tengah laut sehingga menemukan beberapa spesies menarik termasuk ikan yu!

ANTARA SPESIES MENARIK YANG BOLEH ANDA TEMUI

"Belum dapat dipastikan (bangkai) ikan yu ini tergolong di bawah spesies yang mana. Kami perlu periksa dahulu tetapi penemuan ini satu tanda baik bahawa ekosistem ini sihat," kata Pengurus Pusat Biodiversiti Nasional, Encik Jonathan Tan, semasa menemani kami melakukan jejak zon pasang surut di Pantai Changi.

"Ikan yu ini jenis haiwan pemangsa dan untuk hidup, perlu ada ikan mencukupi dan padang rumput laut yang cukup sihat untuk menyokong hidupan laut yang menjadi sumber makanan ikan yu."

Hakikatnya, Singapura memang kaya dengan spesies marin. Ada lebih 250 spesies terumbu karang dan lebih 120 spesies ikan dalam ekosistem perairan Singapura.

Perairan kita juga mempunyai 12 spesies rumput laut, iaitu lebih separuh daripada jenis yang dicatatkan di seluruh rantau Indo-Pasifik.

Semua itu belum lagi merangkumi rumpai laut yang mudah didapati di pantai-pantai Singapura. Ini satu trivia tentang rumpai laut yang mungkin tidak diketahui ramai:

"Zaman dahulu beberapa spesies rumpai laut sebenarnya digunakan untuk buat agar-agar. Dan hingga ke hari ini, agar-agar yang kita makan, agar-agar yang digunakan dalam kajian di makmal dan bermacam lagi makanan seperti aiskrim diperbuat daripada rumpai laut," terang Encik Jonathan.

(Gambar-gambar: NParks, Warren Sim, Seawei Ying, Sharon Koh & Spencer Li/Facebook)

(Gambar-gambar: NParks, Warren Sim, Seawei Ying, Sharon Koh & Spencer Li/Facebook)

'Penemuan' para pengunjung yang melakukan 'intertidal walk' acap kali dikongsikan di media sosial. Antara hidupan laut menarik yang mereka temui termasuklah tapak sulaiman. Dari yang berwarna kelabu hinggalah jingga, melihat gambarnya sahaja membuat sesiapa sahaja ingin cuba mencari hidupan laut itu.

Semasa penggambaran kami, kami beruntung untuk menemukan 'biscuit starfish' - sejenis bintang laut yang kelihatan seperti biskut.

Encik Jonathan juga berkongsi beberapa tip untuk mencari tapak sulaiman ketika melakukan kegiatan jejak zon pasang-surut:

"Kalau anda ingin mencari tapak sulaiman, nasihat kami, cuba lihat dengan lebih dekat di kawasan yang ada rumput laut. Ia kadang-kadang ditutupi rumput, jadi perlu lihat dengan teliti."

PENCINTA ALAM MARAH PENGUNJUNG KUTIP HIDUPAN LAUT

Malangnya, sedang 'intertidal walk' kian popular, timbul pula kebimbangan dalam kalangan pencinta alam.

Ramai pengunjung dikatakan suka mengutip hidupan laut menggunakan penyepit lalu memasukkannya ke dalam baldi seperti ini.

(Gambar: Daphne Ting/Facebook) 

(Gambar: Daphne Ting/Facebook)

Tindakan sebegini sekali gus mencetuskan kemarahan para pencinta alam yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab kerana ia akan memusnahkan ekosistem pantai kita.

Ini jugalah yang mendorong NParks untuk melakukan lebih banyak rondaan di zon-zon pasang surut dengan bantuan 80 sukarelawan terlatih untuk mendidik orang ramai tentang pentingnya memelihara dan melindungi ekosistem laut.

"Anda disarankan tidak mengutip hidupan laut kerana anda akan mengganggunya daripada habitat semula jadi. Anda tidak akan tahu sama ada anda melukainya atau bila ia dilepaskan semula, adakah ia akan hidup," kata Dr Karenne.

Ditanya BERITAmediacorp sekiranya tindakan penguatkuasaan pernah diambil terhadap pengunjung yang berkelakuan sedemikian, Dr Karenne berkata NParks lebih tertumpu kepada mendidik masyarakat buat masa ini.

(Gambar: Dasreena Kaur/Facebook)

(Gambar: Dasreena Kaur/Facebook)

"Pendekatan yang diambil sekarang adalah untuk menjelaskan kepada mereka supaya mereka tahu (tentang kesan tindakan masing-masing) dan daripada pengalaman kami, orang ramai berfikiran terbuka. Bila mereka mendapat tahu perbuatan itu salah, mereka berjanji tidak akan mengutip tapak sulaiman atau timun laut dan sebagainya," jawab Dr Karenne.

Pada akhirnya, kegiatan 'jejak zon pasang surut' ini memang masih bermanfaat dan menyeronokkan untuk mendekatkan kita kepada alam semula jadi.

Dengan kesedaran tentang alam sekitar terus meningkat, berjalan di tanah laut sebegini juga dijangka terus mendapat perhatian. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita