Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Ladang bandar S'pura giat diluaskan dek permintaan rancak hasil tanaman tempatan

Dengan sebilangan syarikat menyaksikan permintaan makanan dari 'ladang ke meja makan' (farm-to-table) menjulang sekitar 30 peratus hingga 40 peratus sejak lima tahun lalu, ladang-ladang bandar di Singapura kini berusaha meluaskan lagi atau membuka ladang-ladang baru.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan sebilangan syarikat menyaksikan permintaan makanan dari 'ladang ke meja makan' (farm-to-table) menjulang sekitar 30 peratus hingga 40 peratus sejak lima tahun lalu, ladang-ladang bandar di Singapura kini berusaha meluaskan lagi atau membuka ladang-ladang baru.

Langkah-langkah peluasan sebegitu juga sekali gus menyokong wawasan '30 menjelang 30' - iaitu Singapura menghasilkan sendiri 30 peratus keperluan makanannya menjelang 2030.

BERITA+ kali ini menjenguk usaha yang dilakukan tiga syarikat ladang bandar berbeza di Singapura.

EDIBLE GARDEN CITY - PEMBEKAL SAYUR KE 70 RESTORAN

Edible Garden City merupakan antara syarikat ladang bandar di sini. Seluas 8,000 meter persegi, ladangnya yang terletak di kawasan Queenstown membekalkan hasil tanaman kepada sekitar 70 restoran dan lebih 30 keluarga seminggu.

edible garden city

Bagi terus membekalkan hasil tanamannya ke lebih banyak restoran, Edible Garden City kini giat meluaskan kawasan ladangnya, selain membantu membina ladang kecil di premis restoran dan rumah-rumah bagi kegunaan peribadi.

Ketua Pemasaran Edible Garden City, Cik Sarah Rodriguez berkongsi: "Sejak setahun lalu, sebenarnya kami meluaskan kawasan sebanyak sekitar 50 peratus bagi memenuhi permintaan restoran-restoran untuk mendapatkan lebih banyak hasil tanaman tempatan daripada kami. Jadi tentu sekali kami menyaksikan peningkatan dari segi sokongan restoran bagi mendapatkan hasil tanaman tempatan."

sarah rodriguez

Menurut beliau lagi, semestinya populariti konsep 'ladang ke meja makan' memainkan peranan yang besar kepada peningkatan tersebut.

"Pemerintah juga banyak menyentuh tentang daya tahan makanan dan wawasan '30 menjelang 30'. Saya rasa disebabkan itu, kesedaran orang ramai tentang ladang bandar jelas meningkat," ujar beliau lagi.

sayur manis

Menariknya, Edible Garden City bukan sahaja memenuhi permintaan herba popular seperti oregano Cuba, ia juga menggalak perkongsian sejarah dan budaya hasil tanaman tempatan menerusi sayuran seperti sayur manis dan ulam raja.

ARTISAN GREEN - LADANG DALAM BANGUNAN

Sebenarnya di Singapura juga ada ladang di dalam bangunan.

Ladang-ladang ini dikawal dengan cukup rapi dengan memastikan kebersihan dan keselamatannya terjaga.

Semasa BERITA+ berkunjung ke ladang ini, kru kami perlu memakai baju khas dan but, seolah-olah memasuki sebuah makmal.

Sekecil 200 meter persegi sahaja, ladang Artisan Green di Kallang ini menggunakan sistem hidroponik.

artisan green

Namun demikian, ladang bandar ini mampu membekalkan lebih lima jenis sayur-mayur ke sekitar 40 cawangan pasar raya.

Kaedah hidroponik yang digunakan untuk menanam sayur membolehkan sayur-sayuran seperti bayam kecil dapat dituai dengan tempoh lebih pantas.

artisan green

Secara keseluruhannya, sebanyak 200 kilogram hasil tanaman dituai di ladang Artisan Green itu setiap minggu.

Antara sayur-mayur lain termasuk 'kale' kecil, daun ketumbar, daun kucai dan 'dill'.

Kini Artisan Green merancang membina ladang bandar lebih besar lagi bagi memenuhi permintaan yang terus meningkat.

jaime tan

Sebagaimana Cik Sarah Rodriguez, Pengurus Besar Artisan Green, Jaime Tan juga akur bahawa minat terhadap konsep 'farm-to-table' semakin meningkat disebabkan pacuan '30 menjelang 30'.

"Kini selepas kami mengetahui apa yang berkesan dan apa yang kami mahukan, kami mempunyai rancangan untuk mencari sebidang tanah bagi membina ladang selanjutnya.

"Jadi ia akan menjadi sekitar 60 kali lebih tinggi daripada kemampuan pengeluaran yang kami ada sekarang," dedah Encik Jaime.

Sistem hidroponik bagi menanam sayur-sayuran di ladang Artisan Green juga disokong oleh penggunaan lampu-lampu LED.

Misalnya, demi menangani kos tenaga elektrik yang kian meningkat, Artisan Green menggantikan lampu-lampu yang digunakannya dari 28 watt ke 20 watt, sekali gus mengurangkan penggunaan elektrik sebanyak 30 peratus.

artisan green

Yakin bahawa mutu hasil tanaman tempatan dapat bersaing dengan tanaman import, Artisan Green turut berhasrat menjadikan produknya lebih dimampui dengan menggunakan lebih banyak automasi demi mengurangkan kos keseluruhan.

METRO FARM - TANAM 34,000 BATANG SAYUR, TUAI 1,000 KG SAYUR SEMINGGU

Yang jelas, begitulah masa depan ladang-ladang bandar di hutan konkrit Singapura - ke arah automasi sambil memanfaatkan ruang terbatas yang sedia ada.

Automasi juga menjadi kaedah yang digunakan ladang akuaponik di sebuah bumbung bangunan di kawasan Bendemeer kendalian Metro Farm.

metro farm


Ladang ini menternak ikan dan sekali gus menanam sayuran tanpa menggunakan tanah. Di sini, sebuah sistem automatik akan menyalurkan 'baja ikan' dari tangki-tangki ikan ke menara-menara tanaman untuk diserap sayur-sayuran.

Dengan bantuan sistem automasi itu juga, ladang bandar seluas 1,100 meter persegi ini hanya perlu dikendalikan satu dua peladang sahaja.

Rakan Pendidikan Metro Farm, Eugene Lim berkata: "Ia menggunakan metrik IoT (Internet of Things) yang canggih di mana kami mengukur kelajuan angin, jumlah air hujan dan intensiti matahari.

eugene lim

"Dengan menggunakan 'Internet of Things' serta teknologi 3G dan sistem pemantauan 4G, buat masa ini ia membolehkan kami memantau dan mengurus sembilan ladang pada satu-satu masa."

metro farm

Hasil kecekapan sistem automasi, Metro Farm dapat menanam 34,000 batang sayur pada satu-satu masa dan menuai lebih 1,000 kilogram hasil tanaman seminggu. Ia kemudian dibekalkan ke tujuh buah restoran, kumpulan syarikat katering dan perkhidmatan online ke rumah-rumah.

Metro Farm antara syarikat yang menikmati lonjakan permintaan sehingga 40 peratus sejak lima tahun lalu dan bakal membuka ladang bandarnya yang ke-10 dalam masa sebulan dua ini. Ladang baru itu terletak di bumbung tempat letak kereta bertingkat Downtown East.

metro farm

Ladang baru itu juga 1.5 kali lebih besar berbanding ladang Metro Farm sekarang yang seluas 2,700 meter persegi.

Yang pasti, tidak kira di luar, di dalam mahupun di bumbung bangunan, ladang-ladang bandar di Singapura giat menyahut wawasan '30 menjelang 30' - sekali gus memenuhi permintaan rancak 'ladang ke meja makan'.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan