BERITA+ Kumpulan Zelotones buktikan kekurangan upaya bukan penghalang hasilkan muzik bermutu
"Betul-betul saya tak sangka saya akan hilang penglihatan sebab doktor dari awal bilang saya, dia akan tolong saya, sembuhkan mata saya.
"Tapi pada saat terakhir dia bilang 'maaf Zahier saya tidak boleh bantu anda lagi."
Demikian cerita Muhammad Zahier Samad apabila ditanya BERITA Mediacorp mengenai bagaimana dia hilang daya penglihatannya.
Suatu realiti pahit yang sukar ditelan.
Mentelah lagi ia berlaku semasa Zahier baru berusia 19 tahun.
Penglihatan tidak dapat dipulihkan setelah retina matanya terputus.
Walaupun dunia Zahier menjadi gelap dalam sekelip mata, dia tidak membiarkan keadaan itu mengheretnya ke dalam kegelapan.
Zahier mencari cahayanya yang tersendiri bagi dunia serba menduga itu.
Jadi, dengan azam enggan berputus asa atau menyerah, Zahier akhirnya menjadi seorang "pejuang".
Pejuang yang berharap dapat mengubah pandangan masyarakat terhadap golongan kurang upaya.
Hasilnya, pada 2017, Zahier mengorak langkah berani dengan menubuhkan sebuah band, yang pada mulanya dikenali sebagai SeeSaw, dan kemudiannya dikenali sebagai Zelotones.
Isteri Zahier, Euis Widawati Nurhasanah semestinya orang yang paling tahu apa yang ditempuhinya itu.
Namun terpancar rasa bangga di hatinya apabila melihat bagaimana suaminya bangkit melawan arus.
"Ya, saya tahu kerana dia sudah memang ada kekurangan.
"Tapi ternyata dia ada sesuatu yang membanggakan iaitu dari dalam dirinya. Ada macam harapan, ada sesuatu yang ingin dia tunjukkan dan itu bagi saya sangat membahagiakan," cerita Cik Widawati.
ZELOTONES DIANGGOTAI 4 PEMUZIK BERKEPERLUAN KHAS
Zahier dan tiga anggota lain kumpulan Zelotones berlatih sekurang-kurangnya dua kali seminggu.
Dua anggota lain - Nuraziana Mohamed Said dan Mohamed Iskandar Misran - juga menghadapi masalah penglihatan.
Manakala anggota terakhir, Benjamin Chong mempunyai cabaran fizikal dan kognitif.
Kumpulan Zelotones ini membuktikan bahawa berbeza keupayaan bukanlah halangan untuk mereka menceburi bidang muzik.
Menerusi penghafalan dan pendengaran, mereka boleh mendengar setiap nota yang dimainkan oleh setiap anggota.
"Dari segi mainan instrumen, kami banyak belajar daripada satu sama lain. Seperti pemain papan nada kami.
"Dia (Zahier) sangat-sangat tajam dari segi mendapatkan chord lagu dan sebagainya. Begitu juga dengan Zahier selaku ketua kumpulan.
Menurut Iskandar pula, memandangkan mereka bertiga tidak dapat melihat nota muzik itu, mereka menggunakan hafalan.
Hanya setelah mendapat lembaran nota muzik sepenuhnya barulah mereka berlatih bersama.
"Samalah kalau macam ada buat kesilapan, kita akan ulang-ulang hingga semuanya sempurna," ujar Iskandar lagi.
Bagi Benjamin pula, kelebihan yang para anggota Zelotone miliki adalah faktor keserasian.
"Mereka sahabat baik saya. Kami serasi bersama, genre muzik dan cara kami meluahkan muzik juga sama. Walaupun kami unik, kami amat serasi," tekan Benjamin.
ZELOTONES PERNAH BUAT PERSEMBAHAN DI ISTANA
Hakikatnya, bakat anggota Zelotones ini bukan sekadar untuk menghibur sahaja.
Tetapi juga mahu memberi inspirasi kepada masyarakat dengan sering mengadakan persembahan di pelbagai lokasi awam.
Bakat dan keunikan Zelotones malah pernah diiktiraf di ruang tertinggi negara, apabila diberi kesempatan mempamerkan bakat mereka di Istana, sempena perasmian Tahun Guaman 2023.
"Itulah saya ingat itu yang dapat kita buat persembahan di Istana di depan Presiden Halimah. Itu rasa macam bangga dapat persembahan di di tempat yang berprestij," kongsi Zahier lagi.
ZELOTONES LANCAR LAGU SINGLE PERTAMA - 'MERAJUK'
Baru-baru ini, Zelotones melancarkan single pertama mereka yang berjudul 'Merajuk'.
Lagu ini menggabungkan sindiran jenaka tentang dinamika percintaan, khususnya apabila berhadapan dengan pasangan yang sering dipengaruhi perasaan.
Bukan setakat sebuah 'single' sahaja, kumpulan Zelotones malah berharap bakat mereka akan terus dihargai dalam industri muzik.
Mereka ingin membuktikan bahawa 'kurang upaya' bukan bermakna 'tidak berupaya'.
Zelotones mahu terus mengibarkan bendera perjuangan demi menghasilkan dan mempersembahkan muzik berkualiti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.