BERITA+ Komuniti penggemar 'fingerboard' kian berkembang, buka peluang perniagaan, pertandingan
Di samping komuniti pemain sukan papan selaju, ada juga kumpulan peminat 'fingerboard' yang kian berkembang di Singapura.
Encik Muhammad Emmireen, 30 tahun menubuhkan perniagaannya Southpop untuk masyarakat 'fingerboard' di Singapura. (Gambar: Muhammad Emmireen)
- Komuniti fingerboard di Singapura semakin berkembang, dengan Encik Muhammad Emmireen Norman, 30 tahun, antara penggerak yang meminatinya sejak sekolah rendah.
- Beliau menubuhkan Southpop Fingerboard Supply awal tahun ini kerana peminat sukar mendapatkan alat ganti, selain menawarkan fingerboard tersuai mengikut cita rasa pelanggan.
- Sambutan terhadap Southpop menggalakkan, termasuk tempahan 400 fingerboard sekali gus dan pelanggan yang membelanjakan ribuan dolar kerana minat terhadap hobi ini.
- Encik Emmireen turut menganjurkan pertandingan untuk pelbagai usia, termasuk peserta 10 tahun Ghazy Anaqi, bagi membina komuniti yang inklusif dan mengeratkan hubungan.
Dengan hanya menggunakan jari jemari, pemain 'fingerboarding' boleh melakukan pelbagai aksi papan selaju dalam bentuk miniatur.
Antara peminat tegar permainan ini ialah Encik Muhammad Emmireen Norman, 30 tahun.
Minatnya terhadap permainan 'fingerboarding' bermula sejak beliau sekolah rendah lagi.
Meskipun tidak melibatkan aksi berani seperti dalam permainan papan selaju, teras pergerakan dalam 'fingerboarding' serupa dan ada cabarannya tersendiri.
"Papan selaju dan 'fingerboard' hampir serupa sehinggakan apa sahaja yang anda lakukan, apa yang boleh dibuat dengan papan selaju, trik papan selaju, juga boleh dilakukan pada 'fingerboard' juga. Seperti apa-apa sahaja 'trick' yang anda panggil. 'Kickflip', 'tre flip', semua 'trick' papan selaju itu, anda boleh melakukannya pada fingerboard juga dan itu sangat mengujakan saya sebab apabila nampak orang cuba meniru trik papan selaju dan anda melakukannya pada miniatur, ia sangat menarik. Rasanya seperti saya sedang menonton pertunjukan silap mata," kata Encik Emmireen kepada wartawan Danish Aiman.
LANCAR JENAMA SENDIRI UNTUK MEMBANTU KOMUNITI 'FINGERBOARD' DI SINGAPURA
Meskipun permainan itu boleh dilakukan di mana sahaja, satu kesukaran yang dihadapi peminat 'fingerboard' ialah susah untuk dapatkan bahagian-bahagian gantiannya.
Oleh itu, mula tercetus satu idea perniagaan untuk Encik Emmireen.
Beliau memulakan perniagaan Southpop bagi masyarakat penggemar 'fingerboarding' di Singapura.
Namun minatnya terhadap 'fingerboard' ini tidak terhenti di situ sahaja.
Setiap penyesuaian yang dilakukan oleh Encik Emmireen juga mengambil masa kerana perlu dilakukan dengan penuh teliti.
"Kalau buat satu mungkin dalam satu setengah hari dan untuk saya, saya melakukan lebih daripada satu pada satu masa, jadi saya boleh katakan dalam kurang daripada 15 ('fingerboard') yang saya siapkan sekaligus dan biasanya ia akan diselesaikan dalam masa 2 sehingga 3 hari," jelas Encik Emmireen yang juga Pengasas Southpop Fingerboard Supply.
Sejak memulakan perniagaannya awal tahun ini, sambutan yang diterimanya amat menggalakkan.
Beliau pernah menerima tempahan sebanyak 400 'fingerboard' sekaligus dan ada pelanggannya juga yang sanggup mengeluarkan belanja ribuan dolar.
"Saya rasa salah satu bahagian paling menarik adalah melihat orang-orang dalam masyarakat yang menyokong Southpop dan juga melihat mereka sangat berminat dengan hobi ini, mereka telah membelanjakan jumlah yang agak besar. Saya rasa salah seorang pelanggan saya, sejak hari pertama, dia telah membelanjakan lebih daripada S$3,000 hingga S$4,000 di antara jumlah itu dan ia sangat menarik untuk dapat berjumpa dengan mereka dan kemudian dapat beramah mesra dan melihat mereka sangat bersemangat dengan hobi ini. Bukan hanya sekadar 'fingerboard' sahaja tetapi sebagai sebuah masyarakat secara keseluruhan," kata Encik Emmireen.
ANJUR PERTANDINGAN 'FINGERBOARD'
Selain itu, Encik Emmireen turut menganjurkan beberapa pertandingan 'fingerboarding', di mana para peserta perlu melakukan beberapa aksi menggunakan 'fingerboard' dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Pertandingan yang dianjurkan Encik Emmireen itu merupakan satu wadah bagi komuniti 'fingerboard' Singapura, tidak kira usia untuk menyerlahkan bakat mereka.
Salah seorang peserta pertandingan 'fingerboarding' itu merupakan Ghazy Anaqi yang berusia 10 tahun.
"Saya teruja kerana saya dapat pergi ke acara 'fingerboard' ini. Saya mahu menang tempat pertama," kata Ghazy dengan penuh ghairah.
HARAPAN UNTUK KEMBANGKAN KOMUNITI 'FINGERBOARD' DI SINGAPURA
Encik Emmireen juga berharap usahanya untuk mengadakan pertandingan seperti itu dapat mengembangkan lagi komuniti 'fingerboard' di Singapura.
Bagi Encik Emmireen juga, sukan 'fingerboard' itu lebih inklusif dan terbuka kepada semua dan boleh dijadikan wadah untuk eratkan hubungan sesama anggota keluarga mahupun kawan-kawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.