BERITA+ KOMIKKAN CERITAKU: Peserta hasilkan komik sendiri, dipamerkan di akhir bengkel
Sebuah perpustakaan komik khas telah dibuka di Punggol Coast Mall sejak April 2025, menawarkan lebih 7,000 judul termasuk buku komik, novel grafik dan bahan bertemakan permainan untuk pinjaman awam.
Laporan tinjauan tahunan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) yang dikeluarkan pada 4 April menunjukkan bahawa komik dan novel grafik termasuk dalam tiga bahan bacaan paling popular dalam kalangan pembaca muda.
Seiring kecenderungan ini, sekumpulan penerbit, pelukis dan penulis komik bergabung tenaga menganjurkan siri bengkel Komikkan Ceritaku untuk pelajar berusia 10 hingga 15 tahun, dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC).
Bengkel itu berlangsung dari 24 Mei hingga 20 September, termasuk semasa cuti sekolah bulan Jun, dan bakal menampilkan hasil karya peserta pada penutup program.
Nama Zaki Ragman bukan asing dalam dunia komik tempatan, dengan karya-karya seperti Leftenan Adnan, Elizabeth Choy dan lain-lain.
Minatnya bermula sejak usia lapan tahun, didorong semangat untuk mencabar diri dan memperbaiki mutu lukisan.
"Saya selalu kongsi lukisan komik saya kepada kawan-kawan. Ataupun, saya kadang-kadang pergi ke kedai komik, saya kongsi dengan tauke kedai sambil bertanya jika lukisan cukup bagus. 'Kalau cara lukis ini macam, awak takkan boleh menjadi seorang artis ataupun pelukis komik', jawabnya. Apabila orang cakap saya tidak boleh, saya 24 jam lukis, lukis, lukis sampai boleh! Sampai satu hari itu, tauke kedai buku komik itu cakap, 'Inilah yang kita mahu!'," kongsi seniman pelukis komik, Zaki Ragman kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Tanpa institusi khusus dalam seni komik di Singapura, Zaki banyak belajar melalui pemerhatian, latihan dan pengalaman sendiri.
KEISTIMEWAAN MELUKIS KOMIK UMPAMA TERAPI
Bagi Zaki, melukis bukan sekadar kerjaya tetapi juga terapi.
"Penulis akan beri saya skrip, dan apabila saya baca itu skrip, saya akan memikirkan cerita, macam mana tempatnya terjadi, sehingga kita macam masuk ke alam lain. Jadi kita macam seronok dengan cerita itu dan cuba habiskan dengan bagaimana wajahnya, bagaimana emosi karakternya, bagaimana suasana sekitarnya, macam tempat-tempat - bangunan, sekolah ataupun sungai, bagaimana deras pengaliran air sungainya kita nak harus melukis, bukan?
"Macam saya lukiskan buku kanak-kanak dulu, Badang. Saya fikirkan bagaimana orang yang gagah mengangkat sebuah batu yang sangat besar, selepas itu mengangkatnya, selepas itu fikirkan bagaimana bila dia angkat, ada bayangan di bawah ke tidak, teduh ke tidak? Kalau nampak serpihan-serpihan batu yang jatuh, ia rasa macam berat, bukan? Jadi bila melukis, kita fikirkan pasal itu semua, bagaimana nak buat agar satu imej menceritakan sebuah cerita," ujarnya.
Penulis komik Danny Shah Jalil pula memberi tumpuan kepada genre sejarah seperti Leftenan Adnan, Enrique the Black, dan Panglima Awang.
"Yang kelakarnya sewaktu zaman sekolah dulu, saya tak suka subjek sejarah. Macam kalau Leftenan Adnan zaman dulu pada waktu Perang Dunia Kedua, zaman Jepun. Kita pun bandingkan orang Jepun zaman dulu dengan zaman sekarang pun ada banyak beza juga. Banyak benda yang kita boleh belajar. Kalau cerita Enrique the Black pun kita boleh tenguk dunia dahulu dengan dunia sekarang," ujar Penulis komik, Danny Shah Jalil, kepada wartawan.
Minat Danny terhadap sejarah tercetus apabila beliau menyedari potensinya membuka perspektif baharu, lalu mendorong kajian lebih mendalam untuk penyampaian yang lebih menarik.
"Dua tahun lebih saya tulis buku tentang Panglima Awang. Kajiannya yang buat kerjanya susah. Untuk cari Enrique, saya baca buku Panglima Awang yang asal. Jadi saya fikir apa yang saya boleh buat untuk menjadikannya lebih bagus? Enrique memang wujud dari sejarah kita tetapi susah nak cari buktinya. Selalu dicatit sebagai ‘Enrique the Slave’ atau ‘The Malay Order’, 'The Black'. Dia panggil dia ‘Mulatto’, macam campur-campur (orang) hitam sedikit. Ini buku fiksyen, jadi saya kena fikir apa perasaannya. Versi yang saya ikut adalah bahawa Panglima Awang diambil dari Melaka. Jadi dia pergi berlayar ke Portugal, dia ikut Ferdinand Magellan.
Berbanding novel, komik menawarkan cara penceritaan yang lebih visual, sekali gus mendekatkan kandungan kepada pembaca muda.
"Kalau budak darjah satu, darjah dua, dahulu dia ambil buku, dia tanya, 'Eh, tiada gambar?' Jadi mungkin gambar yang buat budak itu rasa buku itu menarik. Itu satu kelebihan. Jadi yang bezanya adalah pada saya perkataan. Jangan letak terlalu banyak perkataan dalam komik. Novel - kita pakai perkataan untuk melukis gambar dalam minda kita. Tapi buku komik menggunakan gambar untuk bercerita. Jadi gambar itu kena ada banyak isi kalau nak buat komik. Jadi dalam satu muka surat itu, mungkin ada empat hingga lima panel, yang ada pengalirannya.
MEDIUM KOMIK SANGAT BERKUASA MENYAMPAIKAN MESEJ DAN CERITA
Komik terus dimanfaatkan untuk menggalak ekspresi kreatif, khususnya dalam bahasa Melayu.
Zaki, Danny, dan Rosman Senin (Ross Monday) bersama editor Nur-El-Hudaa Jaffar, meneruskan usaha ini susulan kejayaan bengkel ilustrasi komik sempena Pesta Buku Melayu Singapura 2024.
Sayangnya, sambutan tahun ini agak suram meskipun peserta ditawarkan bimbingan lengkap dalam penulisan skrip, pembangunan cerita, papan cerita dan ilustrasi.
Menjelang September, peserta dijangka mampu menghasilkan komik empat halaman mereka sendiri.
“Saya percaya pendedahan ini boleh mencetuskan semangat kanak-kanak untuk berkarya yang berterusan, terutama sekali bila mereka melihat bahawa hasil mereka dapat dihargai dan boleh dinilai secara profesional.
Usaha ke depan, kita seharusnya cuba mendapatkan sokongan dan bekerjasama dengan sekolah dan institusi tempatan untuk menjadikan komik sebagai salah satu medium pelajaran.
Saya yakin dengan bimbingan yang konsisten dan sokongan masyarakat, lebih ramai anak muda akan tampil ke hadapan dan berani berkongsi cerita, berkongsi karya mereka melalui komik,” tambah Rosman.
Dengan memahami proses pembikinan dan teknik lukisan komik, diharap para pelajar akan mendapat inspirasi untuk membentuk generasi karyawan komik yang baharu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.