Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+ KEGIATAN BULAN BAHASA 2025: Teater dan pertandingan mengarang, bercerita dan berpidato antara usaha galak penggunaan bahasa

Usaha menghidupkan penggunaan bahasa Melayu menerusi pertandingan mengarang, bercerita dan berpidato; dan usaha menghidupkan penggunaan bahasa menerusi pendekatan teater, merupakan dua usaha yang menyokong inisiatif tahunan Bulan Bahasa 2025.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Usaha menghidupkan penggunaan bahasa Melayu menerusi pertandingan mengarang, bercerita dan berpidato; dan usaha menghidupkan penggunaan bahasa menerusi pendekatan teater, merupakan dua usaha yang menyokong inisiatif tahunan Bulan Bahasa 2025. Kedua-dua usaha dari badan swasta dan kemasyarakatan ini mendapat sorotan Berita+ edisi ini.

DUNIA SARUNG AJAIB TAWAN PERHATIAN KANAK-KANAK UNTUK BERBAHASA MELAYU

Pada suatu petang hari Sabtu, Wisma Geylang Serai menyaksikan kanak-kanak dari enam hingga 12 tahun berseronok menyertai usaha menghidupkan penggunaan bahasa Melayu menerusi teater.
Kanak-kanak berusia 6-12 tahun terpegun belajar menggunakan bahasa Melayu dalam bengkel yang dikelolakan Teater Kami untuk Wisma Geylang Serai. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Ia sebahagian daripada usaha sulung Wisma Geylang Serai menjalankan kegiatan Bulan Bahasa sepanjang tiga bulan.

Pelakon Dalifah Shahril merupakan antara lima anggota Teater Kami yang menjadi fasilitator bengkel berjudul 'Dunia Sarung Ajaib'.

"Bengkel ini dapat berikan ruang untuk peserta mempelajari tentang perkataan-perkataan baru, tentang budaya masyarakat Melayu kita sendiri dan sedikit sejarah tentang beberapa tempat di Singapura," ujarnya kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Sebahagian peserta kanak-kanak yang mengaku banyak mempelajari penggunaan bahasa Melayu menerusi bengkel Dunia Sarung Ajaib. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Usaha yang dijalankan Teater Kami ini mengajak penonton cilik menemui keajaiban yang tersembunyi dalam kain sarung tradisional yang mempunyai pelbagai kegunaan.

"Para peserta dapat gunakan kreativiti mereka, apakah benda-benda lain yang mereka boleh gunakan selain daripada memakai kain sarung di pinggang ataupun memakai di kepala? Jadi anak-anak ini dapat menggunakan daya kreatif mereka untuk mencipta sesuatu yang baharu juga. Serta menggunakan kain sarung ini untuk mengenali identiti dan memperkayakan lagi bahasa Melayu mereka," jelas Cik Dalifah.

Pelbagai kegiatan seperti sketsa, mewarna dan kegiatan aktif bukan sahaja memukau perhatian, tetapi menggalak penggunaan bahasa sambil menyentuh pengajaran sejarah, budaya dan nilai.

Di ruang belakang dewan bengkel, seorang ibu, Cik Nazirul Husna Mohammad Ikhsan, tersenyum sendiri memerhatikan gelagat anaknya yang baru berusia enam tahun, seronok mengikuti kegiatan dalam bengkel teater itu, "Sangat bangga sebab dia berani mencuba. Saya juga merasa lega dan berterima kasih kepada pihak penganjur sebab ada program begini yang melazimkan bicara bahasa Melayu itu melalui teater yang menyeronokkan. Belajar dengan berpengalaman, peluang berinteraksi dan berlakon, memainkan peranan. Jadi bukan sahaja berbahasa Melayu tetapi mereka juga dapat mengalami nuansa bahasa Melayu itu sendiri," luahnya kepada wartawan.

Di penghujung bengkel, para peserta ditanya apakah perkataan baharu yang mereka pelajari.

"Terlalu banyak, seperti 'ajaib', 'dayung', 'adiwira'.. Memang kami mencari program-program sebegini yang dalam bahasa Melayu bukan sahaja dalam pendidikan bahasa Melayu tetapi menggunakan bahasa Melayu secara langsung. Dalam teater, dalam nyanyian, dalam penulisan, dalam mengekspresi diri. Dan anak saya juga suka menyertainya. Itu yang seronok, lah," ujar Cik Nazirul Husna.

Sementara itu, anaknya, Nazhifah Husna Mohamad Riduan, 6 tahun, meluahkan, "Saya berani cakap Melayu lepas bengkel ini."

Menurut fasilitator Cik Dalifah, "Apabila kita mulakan, ada di antara mereka yang kurang fasih dalam bahasa Melayu ataupun dalam beberapa perkataan yang kita gunakan. Dan semasa dalam program ini sendiri, kita dapat lihat mereka pelajari perkataan-perkataan baru seperti apakah itu 'watermelon' dan mereka jawab dalam bahasa Melayu, 'tembikai' ataupun 'semangka'. Satu lagi perkataan adalah 'sampan' atau 'bot'. Jadi kita gunakan dwibahasa untuk mereka memahami apa yang dalam bahasa Inggeris dan cuba menterjemahkannya kepada bahasa Melayu," ujarnya.

PERTANDINGAN MENULIS, BERCERITA & PIDATO BAHASA MELAYU ANTARA SEKOLAH

Intonasi dan sebutan yang sempurna, ayat-ayat tersusun, diperkukuh dengan fakta.
Juara (Menengah Rendah) Pertandingan Pidato anjuran Pusat Bahasa Nusa, Davin Matthew Shanaz. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Begitulah penyampaian pidato oleh Davin Matthew Shanaz, pelajar menengah satu dari Institusi St Joseph yang menjuarai peraduan pidato peringkat menengah rendah, anjuran Pusat Bahasa Nusa oleh Edufront.

Dan, Davin bukan satu-satunya Juara bukan-Melayu dalam Pertandingan Menulis, Bercerita dan Pidato Bahasa Melayu Antara Sekolah Peringkat Kebangsaan 2025 yang dianjurkan sempena Bulan Bahasa.

"Jika saya boleh fikir tentang seorang tokoh sebagai peran contoh, beliau adalah Zubir Said kerana beliau menggunakan kosa kata yang amat baik di dalam lagu-lagunya. Daripada pertandingan ini, saya belajar peribahasa 'Kecil, jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa'. Dan juga kosa-kosa kata yang baharu seperti sifat patriotisme," kongsi Davin kepada wartawan.

Pengarah Pusat Bahasa Nusa, Edufront, Cik Hayati Abdullah menjelaskan, "Sebenarnya, walaupun peribahasa tidak lagi diuji di dalam peperiksaan di peringkat menengah, tetapi ia tetap diajar dalam bentuk nilai. Jadi peribahasa yang diajar itu menunjukkan pelajar nilai-nilai yang masyarakat kita ada, pegang, masih relevan hingga ke hari ini dan peribahasa itu diajar berdasarkan konteks isu semasa. Dalam kami memberikan soalan-soalan berdasarkan peribahasa, kami sebenarnya menyokong langkah yang diambil oleh pihak kementerian, oleh Jabatan Bahasa Melayu untuk sebenarnya mengajar pelajar menggunakan peribahasa itu dalam ruang yang lebih kreatif," ujarnya kepada wartawan.

"Sebagai seorang guru, saya dapati cabaran utama ialah, pelajar tidak mempunyai kosa kata yang, yang banyak. Jadi itu yang menghalang mereka untuk menikmati mata pelajaran atau menggunakan bahasa ini. Kerana mereka tidak tahu kerana itu mereka tidak suka. Tapi kalau mereka sudah tahu, kita dapat lihat mereka akan seronok belajar tentang budaya dan bahasa," dedah Cik Hayati.

Peraduan ini meraikan para pelajar yang menampilkan keyakinan diri dan kreativiti dalam penulisan spontan, penceritaan secara langsung, serta pidato - kemahiran yang semakin penting dalam era kecerdasan buatan (AI).

"Sebenarnya kami juga ingin mengasah kreativiti dan juga untuk mengetengahkan bakat pelajar-pelajar kita yang sangat hebat terutamanya kini dengan adanya AI, teknologi dan sebagainya. Ramai yang menyangka pelajar-pelajar kini mungkin menghasilkan karya yang baik kerana bantuan teknologi dan sebagainya. Tapi dengan adanya pertandingan yang berbentuk penulisan spontan, penyampaian pidato secara spontan dan juga pertandingan cerita secara spontan, jadi semua ini menunjukkan bahawa mereka memang benar-benar berbakat dan hasil karya mereka itu hebat atas hasil kreativiti sendiri," jelas Cik Hayati.

Kesedaran dan kecintaan terhadap bahasa pula memperkasa juara pidato bagi peringkat menengah atas ini, yang juga dari Institusi St Joseph, untuk mengambil tindakan.
Rafiq Rizky Jefri dari SJI, Juara (Menengah Atas) Pertandingan Pidato. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Menurut Rafiq Rizky Jefri, "Walaupun kita orang Melayu di Singapura, kita selalu gunakan bahasa Inggeris. Jadi saya takut satu hari nanti, bahasa Melayu ini akan hilang. Jadi melalui pertandingan seperti ini, kita dapat menggalakkan dan meningkatkan penggunaan bahasa Melayu di hidupan seharian. Pidato saya tentang kita sebagai rakyat Singapura mengimbas kembali sejarah Singapura dan daripada sejarah Singapura, kita belajar daripada kesilapan masa lalu demi supaya kita dapat membina negara yang lebih maju dan makmur. Semasa persiapan untuk pertandingan ini, saya membuat banyak kajian dalam bahasa Melayu, banyak latihan dalam bahasa Melayu dan kita di Singapura banyak penggunaan bahasa Inggeris, so apabila semuanya perlu dibuat dalam bahasa Melayu agak sukar," ujar Rafiq.

Usaha seperti ini perlu disokong ibu bapa sebagai guru pertama di rumah. Ini semakin genting, memandangkan menurut data Jabatan Perangkaan (DOS), hanya 60% keluarga Melayu menggunakan bahasa Melayu di rumah pada 2020, satu kemerosotan berbanding lebih 80% yang melakukan demikian pada 2010.

"Waktu pergi ke rumah nenek dan datuk dia, dia akan berbahasa Melayulah. Jadi dari situ kedua nenek dan juga datuk sudah belajar Inggeris jadi saling bertukar bahasa lah. Saya lebih suka kepada tanya 'Perkataan ini dalam bahasa Inggeris apa?' Ataupun, 'Dalam bahasa Melayu, apa?' Jadi dari situ daripada macam terasa macam nak belajar sahaja, dia rasa macam sedang berseronok. Jadi dari situ saya rasa minat datang. Jadi kita tidak memaksa. Dari perkataan-perkataan yang senang-senang nanti perlahan-lahan baru kita buat ayat-ayat sempurna," kongsi bapa kepada Rafiq Rizky, Encik Jefri Alias.

Bulan Bahasa 2025 dengan pelbagai kegiatannya, komited bagi melestari penggunaan bahasa.

Berlangsung sehingga 12 Oktober, ia menekankan aspirasi masyarakat, penghargaan terhadap keindahan bahasa dan budaya, serta semangat mencintai bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita