Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Hobi berlumba kereta Tamiya kembali popular, ada sekitar 200 penggiat tegar di SG

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Para peminat animasi Jepun, atau anime mungkin ingat lagi siri Dash! Yonkuro di awal tahun 1990.

Siri popular itu mencetuskan minat terhadap kereta Tamiya Mini 4WD.

Setelah kian lama menyepi, enjin-enjin kereta Tamiya kembali 'mengaum'.

Ia kini kian diminati golongan milenial seperti Syed Syafiq Syed Hussain, 32 tahun.

"Memori mulakan hobi ini adalah dengan bapa saya, dahulu mana-mana boleh dapat. Saya ingat kereta pertama yang saya beli adalah di 7 Eleven," kata Encik Syafiq.

"Dulu bila bermain kereta Tamiya, duit tidak begitu banyak, jadi kalau nak simpan duit untuk beli satu komponen kit itu, agak lama, perlu simpan duit sekolah untuk satu dua minggu untuk membeli satu komponen sahaja," tambah beliau lagi.

Menurut beliau, permainan itu sudah melalui evolusi.

Kereta-kereta lumba yang digunakan pada masa lalu agak asas tetapi penggemar masa kini sanggup berbelanja lebih untuk mengubahsuai kit-kit kereta mereka seperti kereta sebenar.

Ia bukan setakat menjadikannya lebih menarik dan bergaya tetapi meningkatkan kelajuan semasa berlumba.

Encik Syafiq berkata: "Sekarang dengan teknologi yang lebih canggih, banyak perkembangan dalam hobi ini. Sudah gunakan mesin untuk potong komponen kereta. Dan perincian lebih tepat. Boleh katakan hobi ini bukan untuk budak-budak sebab perlu ada kemahiran teknikal lebih sikit untuk menikmati hobi ini dengan lebih."

DUA LITAR LUMBA RASMI TAMIYA DI SG

Pada masa ini hanya ada dua syarikat tempatan yang mempunyai litar-litar rasmi.

Salah satu daripadanya ialah syarikat MF11 Mini 4WD yang terletak di Woodlands, manakala yang lagi satu adalah The Playground di Henderson Road yang ditubuhkan pada permulaan pandemik COVID-19.

Pengurus The Playground, Encik Ian Goh De Bao berkata: "Minat terhadap hobi berlumba kereta Tamiya pada mulanya agak berkurangan. Para penggiat yang ada hanyalah mereka yang sudah bermain sejak 10 tahun lalu. Para penggiat baru hampir tiada."

Namun, arena perlumbaan kereta Tamiya jauh berbeza sekarang ini.

"Peningkatannya sekitar tiga kali ganda sejak pandemik berakhir. Pada mulanya, perlumbaan diadakan dua bulan sekali kerana tidak ada ramai peserta. Tetapi sekarang kita boleh adakannya setiap minggu. Kita adakan perlumbaan mini pada malam Sabtu dan perlumbaan besar-besaran setiap bulan," kata Encik Ian.

Antara daya tarikan yang ditawarkan di The Playground termasuklah litar yang sama mutunya dengan litar-litar di Jepun - negara asal buatan kereta Tamiya.

"Di sini, kita sediakan litar yang mempunyai lima lorong, sama dengan litar yang digunakan di kejuaraan-kejuaraan dunia. Litar lima lorong adalah untuk para pemain yang lebih maju dan teknikal. Jadi, mereka yang akan bertanding di kejuaraan luar negara selalunya akan datang ke sini untuk 'berlatih',' kata Encik Ian.

Menurut Encik Ian, sekitar 30 hingga 40 penggiat perlumbaan kereta Tamiya akan datang ke kedainya setiap hujung minggu.

PENGGEMAR ADA KOLEKSI LEBIH 300 KERETA TAMIYA

Bukan semua penggemar Tamiya yang menyertai perlumbaan.

Ada penggemar seperti Muhammad Noor Farhan Rahman yang mengumpul kereta-kereta Tamiya.

Encik Farhan berkata beliau pada mulanya mahu mengumpul 100 jenis model kereta Tamiya sahaja.

Diam tak diam, beliau kini memiliki lebih 300 model kit kereta Tamiya lama dan baru dan nilai koleksinya kini dianggarkan bernilai sekitar $10,000.

Encik Farhan berkata: "Dulu, memang saya tidak fikir untuk kumpul kereta pun. Tetapi beberapa tahun lepas, saya terjumpa kereta-kereta mainan saya dan itu yang membuat saya mulakan hobi mengumpul kereta Tamiya."

Beliau mengatakan bahawa daripada keseluruhan jumlah kereta Tamiya dalam koleksinya, sekitar 50 daripadanya adalah kereta-kereta yang beliau miliki sejak kecil lagi.

Ini termasuk kereta model Avante yang dibuat pada 1988.

Menurut Encik Farhan, permintaan bagi model kereta Tamiya yang lama juga hangat di pasaran.

Encik Farhan berkata: "Nilainya tinggi sekarang. Apabila saya perhatikan pasaran di Jepun, ada permintaannya untuk kereta-kereta ini."

"Pada 2006, saya beli satu set lima kit kereta. Pada waktu itu ia berharga S$49. Sekarang, harganya sudah mencecah S$500 hingga S$600. Untuk koleksi itu, ada lima set, dan saya ada kesemua lima set kereta. Jadi kita boleh lihat inflasi permintaan kereta-kereta ini," tambah beliau.

Kenaikan harga dek permintaan tinggi untuk model-model kereta Tamiya juga membakar minat Encik Farhan untuk terus menambah koleksi keretanya.

"Kalau kit-kit lama, memang agak lambat untuk saya beli sebab harganya sudah agak mahal. Jadi sekarang saya sasarkan kit-kit baru. Jadi kita beli murah, nanti lima hingga 10 tahun, harganya akan naik?" kata Encik Farhan.

Sejak pandemik tiga tahun lalu, Encik Farhan sudah membelanjakan kira-kira S$4,000 untuk membeli kit-kit kereta Tamiya.

Harga model kit kereta adalah di antara S$25 hingga S$50.

Menurut Encik Farhan, setiap satu daripadanya ada nilai tersendiri bergantung kepada keistimewaannya.

Dalam hobi ini, beliau banyak mengumpul model-model kereta edisi terhad. Hampir separuh daripada koleksinya merupakan model kereta yang jarang ditemui.

Sekitar 30 peratus kereta-kereta Tamiya dalam koleksi diperolehi daripada luar negara.

"Kebanyakan kereta Tamiya saya beli daripada luar negara, termasuk dari Korea Selatan, Jepun, dan Indonesia.

Saya akan beli kit yang tak akan ada di Singapura atau tidak ada lagi di Singapura," ujar ayah dua orang anak itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan