Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+ HASIL TINJAUAN RADIO: FM ke TikTok - Radio Mediacorp Kuasai Gelombang & Dunia Digital

Rangkaian audio Mediacorp mencatat pencapaian tertinggi dengan 3.94 juta pendengar setiap minggu.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+ HASIL TINJAUAN RADIO: FM ke TikTok - Radio Mediacorp Kuasai Gelombang & Dunia Digital

WARNA 942 stesen radio yang meraih tempoh pendengaran yang paling lama. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: Rangkaian audio Mediacorp mencatat pencapaian tertinggi dengan 3.94 juta pendengar setiap minggu.

Purata tempoh mendengar bagi lapan stesen radio paling popular Mediacorp juga naik kepada lebih 10 jam seminggu, dengan stesen Melayu WARNA 942 menjadi stesen radio paling lama didengar iaitu melebihi 13 jam.

Sementara itu, stesen RIA 897 mencatat lonjakan lebih 97 peratus interaksi di platform TikTok.

WARNA RADIO PALING LAMA DIDENGAR, 13.7 JAM SEMINGGU

Menurut Tinjauan Radio Nielsen yang dijalankan dari Mac hingga Mei 2025, melibatkan 2,021 responden berumur 15 tahun ke atas, WARNA 94.2 kekal sebagai stesen paling lama didengar — 13.7 jam seminggu, naik 3.6 jam berbanding tempoh sebelumnya.
Morniyati Tukimin, Pengarah Program, Radio Mediacorp WARNA 942. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Setinggi-tinggi terima kasih kepada para pendengar tegar dan setia kami yang tidak putus-putus memberi sokongan penuh untuk mengikuti siaran radio WARNA 942, sama ada menerusi platform FM ataupun digital di melisten. Dan syukur dengan peningkatan tempoh mendengar yang telah meningkat kali ini dan yang tertinggi berbanding dengan stesen-stesen radio lain di Singapura, " ujar Pengarah Program WARNA 942, Morniyati Tukimin kepada wartawan Roslinda Rahmat di konti WARNA.

Menyajikan berita, informasi serta lagu-lagu kegemaran dari era 1960-an hingga 1990-an, WARNA berada di tempat kelima dalam senarai lapan stesen paling popular.

Berikut adalah senarai lapan stesen radio paling popular:

(1) YES 933
(2) LOVE 972
(3) CLASS 95
(4) CAPITAL 958
(5) WARNA 942
(6) 987
(7) GOLD 905
(8) OLI 968

Secara keseluruhan, stesen-stesen ini mencatat purata tempoh mendengar 10.3 jam seminggu — naik 0.3 jam, mengukuhkan kedudukan Mediacorp sebagai peneraju industri radio.

WARNA 942 juga mencatat jumlah rekod 611,000 pendengar — tambahan 64,000 berbanding sebelum ini.

Cik Morniyati menegaskan kunci kejayaan adalah perancangan tepat dan interaksi bermutu antara DJ dengan pendengar.

"Yang penting, rancangan dan informasi yang kami hidangkan menepati citarasa para pendengar beserta senarai lagu-lagu beraneka tempo dan genre yang memikat, hadiah-hadiah istimewa yang kami tawarkan dan juga keakraban DJ dan pendengar di udara. Para DJ kami saya rasa merupakan aset. Para pendengar bukan hanya dapat menghubungi bilik siaran menerusi telefon. Kini, mereka menyapa para DJ menerusi wadah WhatsApp yang ringkas dan juga nota suara yang semakin popular," tambah Cik Morniyati.

Permainan interaktif turut menjadi tarikan, termasuk ‘Lagu Apa Tu’ yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai $20,000 — tertinggi setakat ini.

"Permainan seperti Tun Teja dan Mat Kilau juga menarik minat para pendengar kami... Juga kami tampilkan para pendengar luar negara seperti dari Kanada, Australia yang menyambut puasa dan lebaran dalam segmen istimewa kami iaitu WARNA di Rantauan," kata Cik Morniyati.

RIA CATAT LONJAKAN 97.5% PENGLIBATAN DI TIKTOK

Bagi RIA 89.7, stesen untuk golongan muda itu menambah 34,000 pendengar, menjadikan jumlahnya 115,000 setiap minggu.

Lebih menyerlah, interaksi di TikTok melonjak 97.5% hasil kandungan dinamik seperti penstriman langsung interaktif, mikrodrama dan siri kandungan pendek.

"Pertama sekali saya ingin berikan 'kudos'... Tahun 2024, itulah detik yang mana kami tingkatkan jumlah TikTok dalam sekitar 12 seminggu. Dan pada tahun 2025 pula, kami terus lanjutkan ke 17 seminggu. Jadi dari masa ke semasa itu kami senantiasa memantau bagaimana perkembangan kandungan-kandungan yang diminati oleh golongan belia dan kami bergerak ke arah itu," kata Penolong Pengarah Program RIA 897 Azlin Ali.
Reviu makanan di TikTok oleh #2budaknakal RIA 897 menarik purata 100,000 Likes. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Segmen #2budaknakal, misalnya, meraih purata 100,000 tanda suka, termasuk reviu makanan yang mendapat sambutan hangat.

"Kita perlu berada di platform yang mana para belia itu berada. Maksudnya kalau detik ini memerlukan kami untuk melangkah ke arah media sosial, maka itulah pendekatan yang perlu kita ambil selain daripada berada di radio medium tradisional," tambah Cik Azlin.

Selain itu, konten yang tepat serta rencam juga yang turut menarik pendengar, meningkatkan penglibatan dan diyakini menyumbang kepada perangkaan yang diraih.

"Konten yang mendapat sambutan merupakan WASSUP LOVE yang mana pendengar berkongsi masalah yang mereka ingin luahkan tetapi dengan pendekatan tanpa menggunakan nama sebenar. Jadi dengan ini, mereka membina satu komuniti yang membantu antara satu sama lain," luah Cik Azlin.

Dapatan Nielsen juga menunjukkan, bagi stesen radio yang fokus kepada pendengar usia mapan seperti WARNA, interaksi di Facebook dan Instagram meningkat 22.4% berbanding tahun lalu.
Sesi FB LIVE WARNA memaparkan tamu undangan bidang kulinari. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Trend kini semakin ke arah platform digital... FB LIVE yang mendapat sambutan hangat daripada para pendengar dan inilah kaedah yang ingin terus kami lanjutkan bagi mendekatkan lagi para DJ dan pendengar. Ini juga peluang untuk kami beri ruang dan peluang pendengar mapan untuk terus berjinak-jinak dengan alam maya. Mereka juga sebenarnya proaktif dalam memberikan komen-komen bernas dan membina," tambah Cik Morniyati.

Pencapaian ini mengukuhkan radio sebagai teman setia rakyat Singapura, dengan kandungan yang dekat di hati dan personaliti penyampai seumpama rakan sendiri.

Seiring perubahan tabiat pendengar, Mediacorp komited mengekalkan kehadiran di radio, penstriman digital dan media sosial.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita