Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Evolusi RIA 897 dari radio tradisional ke platform digital dinamik

Dunia radio terus berevolusi. Daripada sekadar medium suara tanpa wajah, kini berubah menjadi platform yang menggabungkan elemen rupa, suara, personaliti dan kehadiran di media sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Dunia radio terus berevolusi. Daripada sekadar medium suara tanpa wajah, kini berubah menjadi platform yang menggabungkan elemen rupa, suara, personaliti dan kehadiran di media sosial.

Mediacorp RIA 897 antara stesen radio yang menerajui perubahan ini dengan menampilkan barisan penyampai daripada pelbagai latar belakang yang bukan sahaja menguasai bahasa, tetapi juga mempunyai pengaruh di media sosial.
Farhana M Noor: dari pelakon kepada penyiar. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Farhana M Noor merupakan seorang pelakon berbakat, manakala Zuhairi Idris pula dikenali ramai sebagai pempengaruh media sosial, terutama menerusi wataknya sebagai Mak Temah.

DULU SEKADAR SUARA, KINI PAKEJ LENGKAP PERSONALITI, PENAMPILAN DAN PENGIKUT YANG RAMAI DI MEDIA SOSIAL

"Sebagai seorang pempengaruh ini, saya suka ambil risiko," jelas Zuhairi, mengulas keputusannya untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam dunia penyiaran radio.

Bagi Farhana pula, pendekatan mereka ialah untuk kekal relevan kepada pendengar muda.

"Apa yang anda suka dengar apa selain daripada podcast? Sebab misi kami adalah untuk menambat hati generasi yang akan datang. Kita cuba untuk lakukan apa-apa yang 'trending'," katanya.

Kehadiran mereka di RIA 897 juga mencerminkan perubahan dalam cara penyampai radio mendekati audiens masa kini.

"Kalau dulu pendengar sekadar melihat DJ-DJ di belakang tabir, sekarang ini pakej. Mereka dapat melihat DJ mengendalikan rancangan secara 'LIVE', ujar Penolong Pengarah Program, Radio Mediacorp RIA 897.
Bersama Fadli Kamsani (kiri), Farhana merombak pengisian segmen RIAKRUZ. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Farhana 'disunting' Fadli Kamsani yang dikenalinya sejak sedekad lalu.

Semangatnya untuk mencuba perkara baharu dan keluar dari zon selesa menjadi antara dorongan utama menyertai dunia penyiaran.

Beliau sebelum ini dikenali menerusi lakonannya dalam beberapa siri televisyen seperti Baba Papa the Series (2020), SR115 (2017) dan Kultus (2019).

"Bersyukur sangat sebab hari-hari akan ada perkara baru akan terjadi. Bermaksud kami boleh berbual dengan pendengar. Jadi kita pun gembira bila bekerja. Hari-hari ketawa," ujar Farhana, menggambarkan suasana kerja yang menyeronokkan di konti.

Sejak Mac 2025, Fadli dan Farhana mengendalikan segmen petang RIAKRUZ yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 5 petang hingga 8 malam, membawa kelainan dan keceriaan kepada para pendengar RIA 897.

SENTUHAN KREATIF PELAKON MEROMBAK SYIF WAKTU SIBUK PETANG KE MALAM, RIAKRUZ

Kehadiran Farhana memberikan nafas baharu kepada segmen waktu sibuk petang ke malam stesen radio Mediacorp RIA 897 menerusi RIAKRUZ.

Menerusi pendekatan segar dan interaktif, Farhana memperkenalkan pelbagai segmen baharu yang lebih dekat dengan jiwa pendengar muda.

"Kita sudah rombak RIAKRUZ. Kita memang suka beri orang hadiah. Jadi kita ada segmen 3, 5, 'Permainan 3, 5', di mana penonton akan diberikan 5 saat untuk berikan 3 benda atau perkara mengikut tema yang kita berikan," jelas Farhana.

Segmen-segmen lain turut mengundang penyertaan pendengar untuk berkongsi kisah dan pandangan mereka secara terbuka namun anonim.

"Kedua, kita ada segmen 'Telinga Tak Sumbat, Mulut Tak Rembat'. Pendengar-pendengar akan kongsi dengan kita pengalaman mereka. Salah satu contoh ialah seperti 'Kawan Makan Kawan'. Jadi mereka akan ceritakan ‘Dahulu ada orang ini ambil mata air saya, padahal dia kawan baik saya’. Kita pun takkan beritahu nama mereka. Jadi ia seperti mereka mencurah hati dekat kita."

Farhana juga menekankan perbincangan yang lebih relevan dengan kehidupan pasangan muda masa kini.

"Dan kita ada segmen 'Santai-Santai Aje', di mana kita akan bincang tentang hal-hal kaum Adam dan Wanita. Tetapi dalam sudut pandangan pasangan muda. Mereka yang baru berumahtangga sama seperti kita."

Malah, elemen informasi dan inspirasi turut diselitkan dalam slot-slot khas yang bertujuan mendekatkan pendengar dengan isu semasa dan nilai kehidupan.

"Kita akan bincang tentang perkara-perkara itu dan kita ada juga segmen yang dipanggil 'Apa Cer Gang?' yang kita akan kongsi tentang apa yang terkini di Singapura ataupun di luar negeri. Dan 'Kata Kita' ini kata-kata hikmah yang asli daripada saya, yang mungkin kelakar, mungkin tidak. Tetapi tentang kehidupanlah."

PENGUASAAN BAHASA YANG BAIK DAN JUMLAH PENGIKUT MEDIA SOSIAL DICARI STESEN RADIO RIA

Dalam usaha memperkukuh kedudukan radio di era digital, stesen Mediacorp RIA 897 kini memberi tumpuan bukan sahaja kepada suara yang sedap didengar, tetapi juga kepada penguasaan bahasa Melayu dan pengaruh di media sosial.

"Pempengaruh serta Pemimpin Pandangan Utama atau 'Key Opinion Leaders' (KOL) itu, sekarang merupakan antara yang dicari-cari. Bukan sahaja mereka yang dikenali di platform-platform digital, tetapi penggunaan bahasa Melayu juga memainkan peranan penting. Maka itu kami mengambil pendekatan untuk memperkenalkan Zuhairi Idris bersama dengan Farhana M Noor dalam rancangan kami," jelas Azlin.

Zuhairi Idris bukan nama asing di kalangan pengguna media sosial.

Beliau mula dikenali menerusi duo komedi Lepak One Korner, yang sejak Januari 2014 menghasilkan pelbagai sketsa lucu di YouTube dan media sosial.

Antara watak paling ikonik yang diciptanya ialah Mak Temah, yang menjadi kegemaran ramai dan sering tular dalam kalangan penonton tempatan.

Namun, minat Zuhairi terhadap dunia radio sebenarnya bermula sejak zaman remajanya.

"Banyak saya dengar RIA terutamanya dan di situ minat timbul nak jadi seorang penyiar radio. Cuma itulah, kita tak tahu macam mana nak masuk, kan?" kongsi beliau.

Selain aktif mencipta kandungan digital, Zuhairi turut berkecimpung dalam dunia pementasan. Antara karya popularnya ialah Lepak Live dan Santau Santai, yang sering mendapat sambutan hangat peminat. Edisi terbaru, Santau Santai Vol 5, dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Julai 2025.

Walaupun berpengalaman sebagai pencipta kandungan bebas, peralihan ke dunia radio bukan sesuatu yang mudah bagi Zuhairi.
#2BudakNakal: Zuhairi bersama Nity Baizura (kiri) menyegarkan pagi di RIA dengan keletah bersahaja dan gelak tawa. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Kalau di media sosial, saya bebas nak kata apa, nak buat apa. Tetapi kalau untuk radio, ia membabitkan syarikat besar. Jadi ada banyak peraturan. Apabila baru masuk itu memang agak sukar sedikit sebab tidak terbiasa. Tetapi lama-kelamaan, hasil bimbingan Kak Nity dan semua penyiar 'senior' di RIA ini saya sudah ok dan tahu apa yang saya boleh kata, apa yang saya boleh kongsi di udara dan apa yang saya boleh kongsi di media sosial — itu perbezaannya sangat besar," jelas beliau.

ZUHAIRI SUNTIK KEBERANIAN, UNSUR MEDIA SOSIAL DAN ASMR KE DUNIA RADIO

Pempengaruh serba-boleh, Zuhairi Idris, yang menyertai dunia radio pada 2023, kini mengendalikan segmen pagi #2BudakNakal bersama Nity Baizura setiap Isnin hingga Jumaat, 7 hingga 10 pagi.

Keletah mereka berjaya menceriakan pendengar setiap hari.

"Keberanian saya untuk mencabar pendengar untuk menerima sesuatu yang di luar jangkaan mereka, di luar kotak saya, saya bawa ke dalam radio and because kita nak kena berani nak buat benda baru ini tak semua orang suka. Jadi saya nak kena hadap komen-komen negatif itu. Dan alhamdullilah mereka sudah dapat menerima saya," ujar Zuhairi.
Zuhairi Idris: Pempengaruh jadi penyiar serba boleh (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
Beliau turut menyuntik elemen media sosial ke dalam siaran, termasuk trend ASMR.

"Sebagai Pempengaruh, saya bawa masuk unsur-unsur media sosial. Sekarang ini sedang terkenal ASMR – bunyi-bunyi makan-makan kan? Jadi saya bawa itu ke radio. Setiap hari Rabu itu kita ada cabaran makanan di mana kita buat reviu, makan-makan dan sebagainya. Buat ASMR ini anda nak kena buat bunyi-bunyiannya yang menyelerakan. Lepas itu wadahnya radio. Pendengar tak tahu apa yang kita rasa, pendengar tak dapat melihat ekspresi wajah kita. Jadi cabarannya ialah untuk menerangkan apa yang anda rasa itu melalui percakapan sahaja. Jadi orang yang mendengar itu boleh faham. Mereka boleh menikmati. Sambil mendengar itu mereka boleh membayangkannya. Itu salah satu perkara yang saya rasa amat menarik. Saya masih belajar lagi, dan nak buatkan segmen itu agar lebih menarik," kongsi beliau.

PERUBAHAN YANG MENGUKUHKAN KEDUDUKAN RIA

Stesen Mediacorp RIA membuktikan bahawa perubahan ini mampu mengukuhkan lagi hubungan dengan khalayak pendengar, terutamanya menerusi TikTok.

Hasil usaha konsisten para penyampai dan pasukan media sosial, akaun TikTok Mediacorp RIA kini mencatat hampir 966,000 tanda suka dan mengumpul lebih 60,000 pengikut — satu pencapaian membanggakan dalam era digital.

"Pendengar itu beritahu, ‘Fadli, terima kasih sebab selalu temankan saya bila saya keseorangan’. Wow! Maknanya orang yang keseorangan di rumah, mereka buka radio sahaja. Kita ini jadi peneman mereka. Saya betul-betul berterima kasih kerana diberikan peluang untuk mengalami sesuatu seperti itu," kongsi Farhana.

Dalam landskap media yang kian dipacu teknologi, kehadiran personaliti dari pelbagai latar belakang bukan sahaja mencerminkan kepelbagaian masyarakat, tetapi turut memperkukuh ikatan emosi dengan pendengar, terutamanya menerusi media sosial yang kini menjadi sebahagian besar daripada gaya hidup harian.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan