BERITA+: Ekosistem diwujudkan bagi lestarikan gendang Melayu buat generasi mendatang di Singapura
Gendang Melayu begitu penting dalam budaya masyarakat sehingga ia dimainkan bukan sahaja untuk meraikan 'raja sehari' tetapi juga bagi acara rasmi nasional dan menyambut orang kenamaan.
SINGAPURA: Gendang Melayu begitu penting dalam budaya masyarakat sehingga ia dimainkan bukan sahaja untuk meraikan 'raja sehari' tetapi juga bagi acara rasmi nasional dan menyambut orang kenamaan.
Seni Melayu itu bukan setakat terus bertahan, malah anak-anak Kota Singa terus berjuang untuk melestarikannya bagi generasi mendatang.
Antara pejuang dan generasi pelapis bagi genderang Melayu di Singapura sekarang ini ialah Riduan Zalani.

Pemenang Anugerah Artis Muda 2015 itu menyifatkan keindahan dan keistimewaan bunyi gendang Melayu itu sendiri yang membuatkan alat muzik itu cukup dikenali dan sering dimainkan di negara ini.
"Bunyi ini adalah sinonim dengan halwa telinga orang Melayu. Kita suka dengan permainan rebana kompang, rebana hadrah atau rebana asli," kongsi Riduan.
Menurut beliau lagi, bunyi alat sungguh dekat dengan hati masyarakat Melayu dari dulu lagi, kerana selalu kedengaran dalam senandung, lagu-lagu asli serta dondang sayang.
"Dengan peredaran era dan zaman, ada banyak perubahan tetapi rebana itu tetap berdiri kukuh dan teguh dalam sajian muzik Melayu," kupas Riduan.

Mengenai bunyi yang boleh dihasilkan pula, Riduan menerangkan bahawa pada dasarnya, setiap gendang boleh memainkan dua nada, iaitu nada rendah dan nada yang tinggi.
Nada yang unik kepada permainan rebana asli pula merupakan nada gong dan akhir sekali, nada sepak.
FALSAFAH DAN KIASAN DALAM PERMAINAN REBANA
Bukan sekadar menghasilkan bunyi sahaja, permainan gendang Melayu sebenarnya turut bersalut falsafah tertentu - sesuatu yang ramai tidak tahu.
"Sebagai contoh, bersatu teguh bercerai roboh, di situ kita diajar tentang kesatuan, berapa teguhnya semangat perpaduan yang harus dilahirkan dalam kalangan pemuzik yang disampaikan melalui permainan muzik itu," menurut Pengasas bersama dan Pengarah Artistik Nadi Singapura ini.
Selain itu, beliau turut berpegang kepada falsafah di mana manusia dicipta hidup berpasang-pasangan dan ini dapat dilihat jelas dalam permainan rebana.

"Kalau kita (pemain) ada dua, kita bermain rebana satu atau rebana dua. Ada yang memanggilnya ibu dan anak dan istilah itu selalu mendampingi dalam minda kita apabila kita bermain supaya kita tidak bermain di luar kepompong itu," jelas beliau.
Demi cintanya kepada seni gendang dan mahu berkongsi ilmu, Riduan sudah menghasilkan DVD tunjuk cara dan nota bermain rebana, iaitu yang pertama seumpamanya di rantau ini.

Selain itu, Riduan yang juga pernah menerima Anugerah Belia Singapura dan Anugerah Belia Asia 2013, turut berkongsi suasana dan gambaran yang beliau cuba bayangkan setiap kali bermain rebana.
"Apabila saya memainkan rebana itu, saya selalu terpandang akan bayang-bayangan orang Melayu dahulu kala. Mereka mungkin daripada masyarakat purba atau masyarakat kampung yang tinggal berdepan dengan sungai di samping bukit-bukit dan gunung, tumbuh-tumbuhan di suasana kampung, bersama ayam yang berkokok dan kambing mengembek," kongsi Riduan.
BELAJAR BAIKI GENDANG DEMI PASTIKAN BUNYI GENDANG YANG INDAH TERUS BERKUMANDANG
Seorang lagi pakar gendang di Singapura ialah Yaziz Hassan, Pengasas bersama dan Pengarah Urusan Nadi Singapura.

Ketika ditanya apakah definisi 'sedap' dalam bunyi gendang, ini jawapan beliau:
"Definisi sedap itu terpulang kepada diri masing-masing. Ada orang yang lebih muda suka bunyi yang lebih tinggi, yang lebih berumur mungkin lebih suka yang rendah."
Selain itu, Encik Yaziz juga turut berkongsi bahawa bunyi sedap itu bermakna tiada bunyian "meraung" atau gema yang tidak berpanjangan.
"Sedap itu maksudnya sedap di halwa telinga untuk semua oranglah. Ia tidak membingitkan," tambahnya lagi.

Bagi Encik Yaziz, untuk memastikan bunyi gendang yang indah didengar terus berkumandang di Singapura, perlu ada orang yang pandai membaiki gendang.
Itulah peranan yang dipikulnya sejak lebih 20 tahun lalu.
Selain membaiki, beliau juga kini mungkin satu-satunya pembuat rebana asli tradisional di Singapura dan sudahpun menurunkan ilmu kepada sekitar 15 anak Melayu demi memastikan kemahiran itu terus wujud di Singapura.
Ini penting baginya agar seni ini tidak luput ditelan zaman.

"Saya rasa ia merupakan satu keperluan. Di Singapura ini, ramai pemain gendang hanya tahu bermain gendang atau menjaganya tetapi tidak tahu memperbaikinya," ujar Encik Yaziz.
"Bagi saya, setiap orang yang memainkan gendang itu perlu tahu bagaimana hendak memperbaikinya. Jadi dari situ saya mengajar dan Alhamdulillah, mereka mula berminat," tambahnya lagi.
Prinsip ini menurutnya diturunkan oleh guru-guru yang mengajar beliau bermain rebana dahulu.
Bagi memastikan bunyi gendang itu sentiasa merdu, Encik Yaziz menambah bahawa gurunya sering memberitahunya bahawa seorang pemain rebana itu perlu tahu menjaga dan apabila rebana itu rosak, ia perlu diperbaiki agar bunyinya akan sentiasa indah didengar.

Kini, Encik Yaziz sudah menghasilkan lebih 150 alat gendang Melayu asli termasuk 15 rebana asli.
Alat gendang Melayu lain pula yang sudah dihasilkannya termasuk marwas, jidur dan beduk.
PEMBEKAL GENDANG MELAYU MUDAHKAN UNTUK DAPATKAN ALAT MUZIK JARANG DITEMUI
Menerusi kedai onlinenya Genbano, Encik Idham Taal pula adalah antara pembekal gendang Melayu.
"Untuk mendapatkan alat-alat muzik tradisional seperti rebana, gendang, genderang-genderang Melayu ini amat sukar di Singapura. Dari situ, tercetuslah idea saya untuk menjadi pembekal tetap," kongsi Encik Idham.

Antara pelanggan utama beliau adalah sekolah-sekolah dan juga kumpulan seperti dikir barat dan orkestra.
Para pelanggannya juga diberikan peluang untuk mencuba dan memilih sendiri alat gendang Melayu bersesuaian dengan mereka.

Rebana dikir barat dan kompang dari Genbano
Proses ini baginya penting kerana bunyi gendang itu adalah kriteria utama yang diambil kira semasa pemilihan gendang Melayu.
"Biasanya kriteria pertama sekali ialah bunyi. Mereka perlu bunyi yang nyaring dan sedap," kongsi Encik Idham mengenai pemilihan alat gendang seperti rebana.
Antara alat gendang Melayu yang ditawarkannya termasuk rebana, kompang, gendang silat, dan juga gong.

Dengan platform yang disediakan ini, Encik Idham berharap ia dapat mencetus minat bagi para penggiat seni terutama sekali anak-anak muda.
"Bila ada kemudahan, ada rasa minat dan ini akan memberikan mereka semangat untuk bermain kerana alat-alat muzik itu senang didapati," ujar Encik Idham.
"Jadi dengan alat-alat ini, ia dapat menarik minat anak-anak muda sebab golongan ini akan memberikan pengaruh kepada yang lain. Dari situ, akan ada kesinambungannya di mana alat seni muzik ini akan sentiasa berkembang," tambahnya lagi.
KEMAHIRAN DIPERLUKAN BAGI MENERUSKAN BUDAYA
Dari pemain, pembekal sehinggalah tukang untuk memperbaiki gendang - ada semacam ekosistem untuk melestarikan seni gendang Melayu di Singapura.
Yang diperlukan sekarang ialah kemahiran untuk terus menghasilkan keindahan bunyi gendang Melayu.

"Kita tidak ada formula atau 'blueprint' untuk membuatkan benda ini (alat gendang Melayu) menjadi satu benda yang akan dikejar-kejar oleh anak generasi era ini tetapi ini adalah satu benda yang kita harus fikirkan," ujar Riduan.
Riduan turut menambah bahawa budaya dan kesenian itu dapat terus wujud dan berkembang seiringan dengan kemajuan walaupun hidup dalam keadaan serba moden di Singapura.

"Walaupun hidup di Singapura, ia tidak bermakna budaya dan kesenian itu tidak ada. Sebenarnya kita ada dan kita perlu raikannya. Kita perlu sama-sama membimbing dan mendorong supaya lebih ramai yang ke depan, ingin tahu dan ingin mendekatkan diri," tambahnya lagi.
Selain media, Encik Riduan turut berpendapat bahawa ibu bapa di rumah memainkan peranan yang penting dan boleh mendorong anak-anak muda untuk mengenali dan mengambil tahu tentang seni dan budaya Melayu ini dengan membawa mereka ke persembahan seni dan budaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.