Skip to main content

Gaya Hidup

BERITA+: Dua gadis, satu misi; menghidupkan semula warisan tradisi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 25 Jan 2026 10:09PM Dikemas Kini : 15 Feb 2026 10:45AM
SINGAPURA: Memartabatkan pusaka warisan supaya lebih ramai orang dapat meraih manfaat daripadanya.

Perkara itu bukan dilakukan oleh generasi lama, tetapi oleh dua orang gadis muda yang memulakan perniagaan menjual produk-produk seperti bedak sejuk dan jamu.

Mereka malah membuktikan bahawa usia muda bukan halangan untuk melangkah ke dunia perniagaan.

HADAPI MASALAH KULIT, IBU PERKENALKAN BEDAK SEJUK

Nur' Alya Roziz, 19 tahun, menubuhkan jenama bedak sejuk tempatan, Lycheeco, pada Jun lalu.

Ini selepas masalah kulit mudah berjerawat dan sensitif sering membelenggu dirinya beberapa tahun lalu.

Biasanya, para remaja lain seperti Alya akan memilih produk-produk kecantikan muka yang popular untuk merawatnya.

Kalau yang tahu, mungkin jenama Skintific, atau Estee Lauder.

Namun, pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) itu menyimpan rahsia warisan untuk menjaga mukanya agar kondisi kulit tidak memburuk, iaitu dengan menggunakan 'bedak sejuk'.
Related article image
Nur' Alya Roziz, 19 tahun, seorang usahawan dan pelajar sepenuh masa. (Gambar: BERITA Mediacorp)
Produk turun-temurun berasaskan beras itu pastinya agak janggal buat Alya pada mulanya.

Malah, kali pertama Alya mendengar tentang produk itu adalah menerusi ibunya.

"Pada asalnya saya tidak mahu menggunakan bedak sejuk itu sebab saya tidak tahu fungsinya. Tetapi kerana saya sudah nampak muka saya sudah mula berjerawat, saya rasa mengapa tidak saya cuba sahaja? Jerawat saya pun mula turun. Ia mula menghilang, " kongsi Alya kepada wartawan ini.

NUR' ALYA ROZIZ PASARKAN PRODUK WARISAN DI TIKTOK

Selepas pengalaman menggunakan bedak sejuk untuk merawat mukanya yang berjerawat, Alya mula tertarik untuk memasarkan produk itu kepada khalayak ramai.

Malah, dia tidak segan mencipta kandungan video di hadapan lebih 58,000 pengikut di akaun TikToknya.

Cara bersahaja Alya memakai bedak sejuk di mukanya mendapat perhatian ramai dengan lebih 200,000 tontonan sehingga produk yang digunakannya pada waktu itu habis terjual di kedai online.
Alya berkata: "Ramai pengikut saya yang bertanya apa benda putih di muka saya!"

APABILA PERMINTAAN MEMBUKA PELUANG

Menyedari kurangnya pilihan bedak sejuk di pasaran, pereka kandungan itu melihat ada peluang perniagaan di Singapura.

Beliau lantas mula bekerja rapat dengan pengasas perniagaan SGFR Store, Mohamed Haikkel Firdaus untuk menjayakan idea perniagaannya.

"Saya tahu bukan saya seorang yang sedang mengalami masalah kulit seperti banyak jerawat atau kulit mudah berjerawat. Haikkel cadangkan kepada saya mengapa tidak kami buat perniagaan sendiri. Saya setuju, itulah apabila kami cari pembekal," kata Alya.

Di situlah timbul produk jenama Lycheeco.

Alya giat menggunakan platform digital seperti TikTok bagi memasarkan produknya itu.

Hasilnya, dalam enam bulan sahaja, lebih 5,000 botol Lycheeco sudah terjual.
 
Related article image
Alya bersama ibunya. (Gambar: Nur' Alya Roziz)

Sebagai seorang pelajar sepenuh masa, sambutan ini mencabar daya keupayaannya dalam menguruskan sebuah perniagaan.

"Pada mulanya hanya ibu saya yang akan bantu saya membungkus produk-produk ini sehingga kami tidak dapat tidur. Tetapi, saya rasa seperti kesuntukan masa kerana saya masih bersekolah, kerja sambilan dan balik sahaja saya harus bungkus tempahan ini. Kadangkala ia rasa mencabar," luah usahawan muda itu.

Beliau menambah: "Apabila saya melancarkan Lycheeco bedak sejuk buat kali pertama, Alhamdulillah, sambutannya bukan sahaja daripada pelanggan di Singapura, malah juga dari Malaysia. Hingga kini, masih ada pelanggan dari Malaysia yang bertanya bila lagi saya akan membawa masuk bedak sejuk ini."

Kini, Alya sudah mendapatkan stok baharu untuk memenuhi permintaan pelanggan dan pengikutnya di media sosial.

Alya berkata: "Apabila saya melancarkan Lycheeco bedak sejuk buat kali pertama, Alhamdulillah, sambutannya bukan sahaja daripada pelanggan di Singapura, malah juga dari Malaysia. Hingga kini, masih ada pelanggan dari Malaysia yang bertanya bila lagi saya akan membawa masuk bedak sejuk ini."

Kini, Alya sudah mendapatkan stok baharu untuk memenuhi permintaan pelanggan dan pengikutnya di media sosial.

"Untuk kumpulan produk kali ini, kami membawa masuk sekitar 8,000 botol. Sebelum ini pula, stok yang sampai sekitar 4,000 botol. Ini merupakan kali ketiga Lycheeco bedak sejuk dibawa masuk ke Singapura."

Bagi meluaskan lagi rangkaian jualannya, Alya juga melanjutkan bekerjasama dengan SGFR untuk memasarkan produknya di kedai-kedai fizikal.

Encik Firdaus, 24 tahun, berkata: "Daripada pengalaman saya, sokongan terhadap usahawan tempatan amat penting. Memandangkan sasaran kami juga terdiri daripada golongan muda, ini menjadi satu cara untuk memperkenalkan semula produk warisan ini kepada generasi sekarang, agar mereka turut berpeluang menggunakannya."

CHUMS BREW, PERNIAGAAN JAMU KAMELIA KENCHANA

Selain bedak sejuk, lagi satu produk warisan yang kian mendapat perhatian anak muda ialah jamu.

Related article image
Kamelia Kenchana di sebuah tempat tanaman di Surakarta, Jawa Tengah. (Gambar: Kamelia Kenchana)
Produk jenama Chums Brew milik Kamelia Kenchana mula dipasarkan kepada khalayak ramai sejak dua tahun lalu.

Kamelia membekalkan resipi jamu neneknya - menyatukan khasiat alam dan tradisi lama yang tidak pernah lapuk ditelan zaman.

Pada mulanya, Kamelia mempunyai tanggapan bahawa jamu pahit bagi cita rasanya.

Namun, resipi neneknya sesuai bagi mereka yang mahu mencuba kerana katanya ia tidak terlalu pekat.

LEBIH DARI SEKADAR PERNIAGAAN

"Biasanya, bapa saya berkongsi tentang jamu di acara-acara kebudayaan atau pop-up di sekolah, dan di situlah kebanyakan pelanggan menyatakan minat terhadap jamu yang saya hasilkan. Disebabkan itu, bapa saya mencadangkan agar saya mencubanya secara sambilan. " kongsi Kamelia.
Related article image
Kamelia Kenchana di sebelah ayahnya pada sebuah acara 'pop-up'. (Gambar: Kamelia Kenchana)
Dalam usaha memelihara tradisi ini, Kamelia tidak hanya memfokuskan kepada penjualan jamu semata-mata.

Malah, dia turut mengangkatnya ke pentas seni ketika menuntut di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA) dalam bidang seni halus.

Kamelia berkata: "Amalan seni persembahan saya yang berjudul JOM JAMAH JAMU memberi tumpuan kepada usaha memelihara warisan budaya serta menghidupkan semula ritual-ritual tradisi yang berperanan dalam proses penyembuhan. Saya menghasilkan sebuah persembahan yang mempamerkan proses pembuatan jamu. Mereka bukan sahaja dapat melihat, malah juga menghidu dan merasakan jamu tersebut."

Bagi memperkukuhkan lagi perniagaan jamu, Kamelia sanggup menjalankan kajian di beberapa kawasan di Indonesia.

Kamelia berkata: "Apabila saya ke Indonesia dan berbual bersama makcik-makcik 'jamu gendong', mereka meluahkan bahawa cucu dan cicit mereka tidak mahu meneruskan warisan ini. Mereka sudah hadapi cabaran untuk mempertahankan warisan turun-temurun ini."
Related article image
Pertunjukan seni 'JOM JAMAH JAMU'.
"Sekiranya penyelidikan tentang jamu ini diteruskan dan dilakukan dengan betul, jamu juga berpotensi untuk mencapai kejayaan seperti perubatan tradisional Cina," tambah Kamelia.
Sumber : BERITA Mediacorp/SF/sf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita