BERITA+: Buku At The Same Table - 55 Resipi, 55 Cerita Pekerja Hijrahan
BERITA+ edisi ini menyorot usaha sekumpulan sukarelawan mengumpulkan 55 resipi yang disumbangkan oleh 55 pembantu rumah yang juga berkongsi pengalaman suka-duka yang merentas sempadan negara.
Semuanya terakam dalam buku berjudul 'At the Same Table' hasil usaha para sukarelawan dari Sekolah Amerika Singapura bersama Humanitarian Organization for Migration Economics (HOME), yang menyokong hak para pekerja hijrahan.
HASIL PENJUALAN BUAT KUMPUL DANA KESEJAHTERAAN PEMBANTU RUMAH
Makanan, hasil seni kulinari yang menyatukan manusia, tidak kira sempadan negara mahupun latar belakang.
Sepanjang sembilan bulan, sebanyak 55 resipi dari pelbagai negara dikumpulkan oleh para sukarelawan untuk dibukukan, disumbangkan oleh para pembantu rumah di sini.
Bukan sekadar resipi, mereka juga berkongsi cerita dan kenangan.
"Buku ini namanya At the Same Table. Kami dari HOME bekerjasama dengan Sekolah Amerika Singapura untuk menciptakan buku yang berisi 55 resepi dari berbagai negara, pekerja dari berbagai negara," ujar Pengarah HOME Academy dan Program Sisi Sukiato.
Di sebalik resipi yang dikongsikan, tersemat matlamat agar kisah, budaya dan pengalaman mereka bekerja di Singapura turut didengarkan.
"Tujuan kita menciptakan buku yang menarik ini adalah untuk menyambung, mewujudkan cinta kasih juga di antara pekerja hijrahan dan tempatan. Juga keinginan kita untuk mengumpul dana dan agar mereka memahami apa yang dilakukan HOME untuk kesejahteraan dan untuk memenuhi keperluan para pekerja hijrahan yang telah menyumbang kepada masyarakat Singapura setiap hari. Buku ini adalah untuk mengerti, kerana di dalam buku ini ada cerita mereka yang bekerja jauh dari rumah. Yang menginginkan mereka itu ingat bahwa 'Oh ini makanan khas dari negara asal mereka,' Dan dari Singapuranya, supaya mereka itu juga dikenali hasil jerih-payah mereka setiap hari dan mengenalkan kebudayaan mereka melalui makanan," jelas Cik Sisi.
NASI GORENG KENCUR, RENDANG, SATE LILIT MENYIMPAN CERITA
Contohnya, pembantu rumah dari Cilacap Jawa Tengah - Sammi atau nama sebenarnya Sampen Mulyawikarta, yang menyimpan memori indah di sebalik resipi yang dikongsinya.
"Resepi yang saya bawakan adalah Nasi Goreng Kencur. Pada tahun 2003, pertama kali saya mengenali suami saya yang berasal dari Bandung. Beliau memasakkan Nasi Goreng Kencur buat saya. Waktu itu, kita masih dalam masa-masa pendekatan, perkenalan dan beliau memasak Nasi Goreng Kencur ini dan kemudian saya disuruh cuba merasa. Ternyata, saya jatuh cinta, kerana sebenarnya Nasi Goreng Kencur ini salah satu bahannya adalah kencur," jelas Sammi.
55 pengongsi resipi itu perlu melalui proses saringan yang ketat.
Jelas Cik Sisi, "Iya. Ini memerlukan jangka waktu yang lama ya. Jadi mereka itu kita cari yang dari Indonesia, Filipina dan India, agar mereka itu boleh berkongsi resepinya. Dan kita mengadakan menguji resipi makanan itu berkali-kali sebelum kita menyertakannya ke dalam buku. Dan sesudah itu, murid-murid Sekolah Amerika Singapura juga mencuba di rumah masing-masing, sebelum mencetak buku ini."
Penyumbang resipi dari Jawa Tengah, Nasikha pula tidak sengaja menimba kemahiran seni kulinari yang berasal dari Pulau Dewata, Bali.
"Saya berkongsi resepi sate lilit. Pertama saya cuba memasaknya waktu saya bekerja di Jakarta. Majikan saya membawanya langsung dari Bali. Itu rasanya 'Oh, enak sekali!' Sehingga membuat saya ingin mencuba memasaknya sendiri," kongsi Nasikha.
"Terus sate lilit saya menjadi makanan kegemaran kalau ada pesta, atau misalnya untuk teman mereka yang datang, yang cuma sekedar mahu minum-minum sahaja di rumah, nah sate lilit saya itu menjadi teman minum mereka," tambahnya lagi kepada wartawan.
Bagi Cik Zahira Wartiningsih pula, keupayaannya memasak rendang yang menepati citarasa majikannya merupakan faktor penentu beliau diambil bekerja oleh majikan-majikannya, walaupun beliau tidak pandai berbahasa Inggeris.
"Itu sangat-sangat bererti bagi saya. Dua kali saya mendapat majikan ekspatriat, dengan penguasaan Bahasa Inggeris saya yang terbatas. Disebabkan oleh lauk rendang ini. Yang pertama, majikan orang Australia mencari pekerja yang boleh memasak rendang. Dengan keterbatasan waktu itu, bahasa Inggeris saya yang masih kurang baik - daripada empat calon pembantu rumah yang memohon, saya yang akhirnya terpilih, hanya kerana pandai memasak rendang. Dan begitu mereka mencoba, 'Ýa saya betul-betul tidak salah pilih kamu sebagai pekerja saya,' kata majikan saya itu. Rendang masakan saya itu menjadi hidangan favorit dalam keluarga Australia tersebut.
"Setelah 8 tahun, mereka pulang ke Australia dan saya mencari majikan baharu. Juga sama ceritanya. Dia bilang cari pekerja dari Indonesia yang boleh memasak rendang, kerana kebanyakan kerabat bisnes mereka itu dari Asia dan mereka juga datang ke Singapura ingin menikmati masakan yang istimewa, bukan yang dari Eropah. Nah, jadi kerana rendang saya ini juga, mereka akhirnya memilih saya," cerita Cik Zahira.
BUKTI PERANAN LEBIH BESAR YANG DIBAWA SAMA PEKERJA HIJRAHAN
Cerita-cerita ini menjadi bukti, bahawa para pembantu rumah punya peranan lebih besar, selain menyokong keluarga-keluarga tempatan Singapura.
"Supaya kita boleh membuka mata dunia bahwa kita sebagai pembantu rumahtangga pun boleh mengharumkan nama Indonesia khususnya. Masyarakat Singapura boleh menghormati adanya pekerja hijrahan Indonesia. Mereka menghargai apa yang kita lakukan, mereka menghormati apa yang kita buat. Apa lagi dengan hal-hal positif seperti apa yang teman-teman sekerja saya dari Indonesia lakukan khususnya, seperti mengambil bahagian di dalam penerbitan buku resepi ini," kongsi Sammi.
Sekelumit kisah perjalanan hidup sebenar di sebalik resipi para pembantu rumah di Singapura ini diharap dapat meningkatkan penghargaan dan penghayatan masyarakat tempatan terhadap kerencaman seni kulinari yang mereka bawa bersama ketika datang bekerja di Singapura.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.