BERITA+ BIZ@rumah: Ruang kediaman jadi lubuk rezeki
Bagi kebanyakan orang, rumah merupakan tempat untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
- In Singapore, Firzana Kamal has turned part of her home into a Zazeekreate showroom since 2023, spending about S$50,000. This saves on rent and helps customers visualise designs and build trust.
- Nisyah Abdat has run FM Salon from home since 2018 to ease the pressure of rental costs and organise her routine as a mother. Customers, including women who wear headscarves, have a more private setting without pressure to buy additional services.
- Nur Danisyah Razimansah offers cat-sitting in the homes of owners who are travelling, starting at S$20 per cat, so the animals can stay in familiar surroundings and receive primary care and updates.
- The HDB scheme allows small businesses to operate from home without HDB approval, but the residence must remain a home, neighbours must not be disturbed, authority requirements must be followed, and large-scale operations and advertising are prohibited.
- Di Singapura, Firzana Kamal mengubah sebahagian rumahnya menjadi bilik pameran Zazeekreate sejak 2023 dengan belanja kira-kira S$50,000, sekali gus menjimatkan sewa dan membantu pelanggan membayangkan rekaan serta membina kepercayaan.
- Nisyah Abdat mengendalikan FM Salon dari rumah sejak 2018 untuk mengurangkan tekanan kos sewa dan mengatur rutin sebagai ibu; pelanggan, termasuk wanita bertudung, mendapat suasana lebih tertutup tanpa desakan membeli khidmat tambahan.
- Nur Danisyah Razimansah menawarkan penjagaan kucing di rumah pemilik yang melancong, bermula S$20 seekor, bagi memastikan haiwan kekal dalam persekitaran biasa dan menerima penjagaan asas serta kemas kini.
- Skim HDB membenarkan perniagaan kecil dari rumah tanpa kelulusan HDB, tetapi kediaman mesti kekal sebagai rumah, jiran tidak boleh terganggu, syarat pihak berkuasa dipatuhi dan operasi besar serta iklan dilarang.
SINGAPURA: Bagi kebanyakan orang, rumah merupakan tempat untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
Namun bagi sesetengah individu pula, rumah mereka juga boleh menjadi ruang untuk membina perniagaan sendiri.
Bukan sahaja dapat menjimatkan kos sewa, perniagaan dari rumah (HBB) juga menawarkan lebih fleksibiliti kepada pengusaha serta pengalaman yang lebih peribadi buat pelanggan.
Malah, dengan pendekatan yang kreatif, ruang rumah yang terhad juga mampu membuka peluang perniagaan tanpa perlu bergantung kepada premis komersial.
SYARIKAT UBAH ELOK RUMAH BUKA 'SHOWROOM' DI RUMAH SENDIRI
Sebaik sahaja melangkah masuk ke rumah Cik Firzana Kamal, pengunjung mungkin menyangka mereka sedang berada di sebuah bilik pameran rekaan dalaman yang profesional.
Daripada pelbagai pilihan bahan, warna hingga kepada contoh rekaan dan kemasan, semuanya tersedia untuk memberi gambaran lebih jelas kepada pelanggan tentang ruang kediaman idaman mereka.
Sejak 2023, Pengarah Zazeekreate Pte Ltd itu sudah membelanjakan sekitar S$50,000 untuk mengubah elok sebahagian rumahnya menjadi sebuah bilik pameran atau 'showroom' bagi perniagaannya.
Langkah itu bukan sahaja membolehkannya menjimatkan kos menyewa ruang komersial, malah membuka peluang untuk membina hubungan yang lebih rapat dengan pelanggan.
"Kita bermula secara HBB kerana ia mudah dan dia berkesan kos dan juga saya mahu hubungan dengan pelanggan saya supaya mereka dapat membina kepercayaan terhadap saya dengan mudah sebab ini rumah sendiri," kata Cik Firzana kepada BERITA Mediacorp.
Pendekatan itu menurutnya amat membantu, khususnya bagi pelanggan yang sukar membayangkan hasil akhir sesuatu rekaan hanya berdasarkan gambar atau lakaran.
"Jadi rumah ini adalah unit jumbo. Jadi kerana dalam bilik jumbo ini kita ada fleksibiliti memiliki banyak bilik. Jadi untuk saya, saya buat ini sebagai pejabat saya. Saya rasa untuk klien yang muda, senang untuk mereka bayangkan sesebuah itu. Untuk yang berumur sikit mungkin mereka perlukan benda itu fizikal, di situ, jadi mereka lebih cenderung kepada 'showroom'," jelas Cik Firzana.
'SALON' DARI RUMAH TAWAR PENGALAMAN KURANG TEKANAN
Berniaga dari rumah juga menawarkan lebih fleksibiliti dan kurang tekanan bagi sesetengah pemilik perniagaan.
Tekanan itu khususnya dirasai oleh Cik Nisyah Abdat yang menawarkan khidmat 'salon' rambut dari rumah sejak 2018.
Ini lebih-lebih lagi dengan pasang surut yang cukup biasa dalam bidang itu.
Pengasas FM Salon itu berkata: "Perniagaan dari rumah memang lebih membantu, terutamanya dari segi sewa, kerana selepas COVID, saya rasa kos sewa sekarang semuanya sudah meningkat. Kalau berniaga di luar, kita perlu risau untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan dan memastikan ada aliran pelanggan yang mencukupi."
"Tapi kalau dari rumah, lebih-lebih lagi saya seorang ibu dan saya juga bersenam, jadi saya perlu mengatur masa dengan baik untuk menerima pelanggan sambil menguruskan rutin harian sebagai seorang ibu," kongsi Cik Nisyah lagi.
Perniagaannya itu juga bukan sekadar lebih selesa baginya. Namun, ia juga bagi ramai pelanggannya yang memerlukan ruang yang lebih tertutup seperti bagi wanita yang bertudung.
Ia lengkap dengan kemudahan seperti di 'salon' biasa, sekali gus dapat menawarkan khidmat yang setaraf dan bermutu.
"Kadang-kadang kalau kita pergi ke salon di luar hanya untuk potong rambut, mereka akan cuba menawarkan perkhidmatan tambahan atau menggalakkan pelanggan buat perkara yang sebenarnya tidak diperlukan. Jadi, pelanggan mungkin rasa sedikit tertekan."
"Di sini, saya biasanya akan buat cadangan mengikut bajet dan keperluan mereka sahaja. Jadi, mereka tidak rasa tertekan, lebih selesa dan relaks," jelas Cik Nisyah.
'CAT-SITTING' BANTU PEMILIK YANG INGIN BERCUTI
Sementara itu, Nur Danisyah Razimansah, 22 tahun pula memanfaatkan pengalamannya sebagai seorang penjaga kucing di hotel kucing untuk mengusahakan perkhidmatan 'cat-sitting'.
Khidmat oleh Petite Purrs SG itu khas bagi para pemilik kucing yang ingin pergi melancong dan meninggalkan kucing-kucing mereka di rumah bersendirian.
"Perkhidmatan ini sebenarnya ada permintaan yang sangat tinggi kerana ramai pemilik kucing lebih gemar menggunakan khidmat penjaga kucing di rumah berbanding menghantar kucing mereka ke hotel kucing."
"Apabila kucing berada di rumah sendiri, mereka lebih biasa dengan persekitaran, jadi mereka tidak mudah berasa tertekan. Selain itu, kalau dihantar ke pusat penjagaan, mereka lebih mudah terdedah kepada penyakit kerana berada bersama kucing-kucing lain," kata Danisyah.
Melakukan perkhidmatannya itu sendiri, Danisyah menawarkan khidmatnya pada harga yang berpatutan serta lengkap dengan memastikan setiap keperluan 'si bulus' terjaga.
Kadar bayarannya bermula daripada S$20 untuk setiap kucing.
Danisyah berkata: "Dalam satu hari saya boleh pergi dari 6 hingga 11 rumah. Selalunya bila mereka (pemilik kucing) pergi melancong, saya akan melakukan yang paling asas seperti mengemas pasir najis kucing, memberikan makanan, temankan kucing-kucing, main bersama dan memberikan kemas kini kepada para pemilik."
Meskipun menawarkan perkhidmatan yang berbeza, perniagaan dari rumah perlu pertimbangkan beberapa perkara sebelum memulakannya.
PERLU IKUTI BEBERAPA PERATURAN UNTUK KENDALIKAN HBB
Di bawah Skim Perniagaan Dari Rumah HDB, para peniaga boleh menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah tanpa memerlukan kelulusan daripada HDB.
Namun, ada beberapa peraturan juga yang perlu dipatuhi setiap pemilik perniagaan.
Peraturan yang perlu dipatuhi oleh perniagaan dari rumah:
- Rumah harus kekal sebagai tempat kediaman
- Tidak menyebabkan gangguan kepada jiran
- Pastikan perniagaan patuhi syarat HDB dan pihak berkuasa
- Jangan papar iklan, papan tanda atau poster di dalam atau di luar rumah
- Elakkan aktiviti komersial berskala besar
Panduan-panduan terkini mengenai perniagaan dari rumah juga boleh didapati di laman web HDB.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.