Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Berkayak sambil kutip sampah - antara cara menarik untuk sumbang kepada alam sekitar

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sambil menyelam, minum air dan ada pula yang sambil berkayak, kutip sampah.

Itulah yang dilakukan segolongan belia menerusi sebuah inisiatif dipanggil Kayak 'N' Klean. 

Dilengkapi dengan tong, bakul, jaket keselamatan, serta kayak, para belia dari Rangkaian Belia Boon Lay bersedia untuk menjalankan satu misi iaitu untuk memulihara alam sekitar.

Bezanya, cara yang mereka pilih cukup unik, iaitu berkayak sambil mengutip sampah di kawasan perairan Taman Tasik Jurong, menerusi sesi Kayak 'N' Klean, sebuah program Project Blue Wave anjuran PAssion Wave.

Antara peserta yang menyertai kegiatan itu ialah Lee Yinn Yi, 21 tahun.

"Ini adalah satu pengalaman yang menarik bagaimana kita boleh berkayak dan mengutip sampah pada masa yang sama. Dari situ, saya boleh mempelajari tentang alam sekitar dan juga sampah yang kita kutip," kongsi mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) itu.

"Ini membuat saya memikirkan tentang diri saya, bagaimana setiap kali saya membuang sampah sebegini, ia akan kembali kepada alam sekitar dan bagaimana ia (boleh) menjadi suatu pencemaran," tambah beliau. 

Meski ini bukan kali pertama Yinn Yi menyertai kegiatan tersebut namun, semangat untuk membersihkan kawasan perairan di Taman Tasik Jurong ini tetap membara.

"Saya rasa sebelum ini, apabila kami melakukan kegiatan ini, kami jarang melihat banyak pelitup dan alat-alat berkaitan dengan COVID-19," ujar Yinn Yi. 

"Namun, kali ini apabila saya berkayak, saya mengutip banyak kit ujian pantas antigen (ART). Jadi saya rasa ini merupakan perubahan pada alam sekitar yang bergantung kepada apa yang kita menggunakan dalam kehidupan seharian kita," tambahnya lagi. 

Bagi Yinn Yi juga, kegiatan sebegini baik untuk masyarakat kerana ia memberi peluang kepada mereka memainkan peranan dalam membersihkan kawasan perairan.

TAK JANGKA DAPAT SELAMATKAN KURA-KURA AIR 

Bagi Yinn Yi dan rakan-rakannya, apa yang kelihatan seperti hari biasa sahaja, terus berubah menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Sedang para belia itu sibuk mencari sampah, ada sesuatu yang menarik perhatian salah seorang daripada mereka.

Kira-kira jam 3.00 petang, Nafil Zuhair, 23 tahun, terjumpa seekor kura-kura air yang berada dalam keadaan sukar bergerak.

"Ada sebuah cangkuk yang terikat pada mulut kura-kura itu dan kami tidak dapat menanggalkannya. Cangkuk ini tersimpul dengan beberapa tanaman air dan kami tidak dapat mengeluarkannya daripada kura-kura air itu sepenuhnya."

"Jadi apa yang kami lakukan adalah kami menyelamatkan kura-kura air bersama tanaman itu dan menyerahkannya kepada pasukan PAssion Wave untuk mencari pihak-pihak relevan untuk membantu," tambah beliau lagi.

Bagi Nafil, ini satu pengalaman yang sukar dilupakan kerana beliau berjaya menyelamatkan kura-kura air tersebut, sesuatu yang tidak pernah dialaminya. 

PEMBUANGAN SAMPAH DI LAUT TERUS JADI ISU DI SINGAPURA

Namun, ini juga melahirkan satu kebimbangan tentang pembuangan sampah di laut yang terus menjadi satu isu di Singapura.

Misalnya, plastik dilaporkan membentuk sisa marin yang paling lazim ditemui di Singapura, iaitu 57 peratus pada 2019. 

Lantaran itu, menjaga alam sekitar termasuk kawasan perairan amat penting.

"Pada penghujungnya, kesemua sampah-sampah dalam perairan kita akan terkumpul di takungan. Ini akan menjejas sumber air utama yang kami menggunakan," kongsi Jurulatih kayak untuk program PAssion Wave ini, Joy Joyce Teo. 

"Jadi kami perlu memainkan peranan untuk menjaga kebersihan alam sekitar jadi semua akan ada tempat yang bersih untuk digunakan pada akhirnya," tambah beliau lagi. 

Lantaran itu, program Kayak 'N' Klean, yang dilancarkan pada 2014, merupakan antara cara untuk melibatkan masyarakat dalam menjaga kebersihan kawasan perairan Singapura.

(Gambar: PAssion Wave)  

Misalnya, pada 2020, hampir setiap bulan, kira-kira 100 kilogram sampah dikutip oleh para peserta menerusi program itu. Berat sampah itu sama seperti berat seekor anak gajah! 

"Sejak pelancaran program ini, ada permulaan yang baik dan saya dapat lihat para peserta sering datang kembali selepas sesi mereka, dan menyewa kayak dan juga memulakan sendiri," ujar Cik Teo. 

PESERTA KUMPUL 30 KG SAMPAH DALAM DUA JAM 

Bagi para peserta dari Rangkaian Belia Boon Lay itu pula, dalam kira-kira dua jam sahaja, mereka sudah mengumpul hampir 30 kilogram sampah daripada 19 buah bakul. 
 
"Hanya dalam jangka masa pendek iaitu dua jam, 19 anggota kami bersama-sama mengutip hampir 30 kilogram sampah jadi ini amat memberi kesan," kongsi salah seorang peserta Lee Sen Wei. 

"Kesan kecil ini akan menjadi lebih bermakna jika seluruh rakyat Singapura bersama-sama menjayakan inisiatif ini. Bayangkan jumlah sampah yang boleh kita kutip," tambah mahasiswa Tahun 1 NUS ini, yang mendapati banyak straw dibuang di perairan Taman Tasik Jurong itu, selain plastik. 

"Apabila anda membawa dan mengumpulkan masyarakat bersama untuk memainkan peranan dalam menjaga alam sekitar dan kawasan perairan kita, apabila mereka kembali nanti, kawasan perairan itu akan menjadi lebih bersih untuk digunakan oleh semua," luah Cik Teo. 

Di sini, satu mesej yang penting yang disampaikan ialah tidak kira usia atau latar belakang, semua lapisan masyarakat memainkan peranan yang sama penting dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

Bagi orang awam yang berminat untuk melakukan kegiatan Kayak 'N' Klean ini, mereka boleh menghantar email kepada cawangan-cawangan PAssion Wave.

Bagi tempahan yang dilakukan menerusi PAssion Wave pada harga bermula dari S$22 untuk anggota PAssion dan S$24 untuk mereka yang bukan anggota PAssion. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan