Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: 'Art jamming' kian unik... boleh simbah cat, guna sains ataupun ditemani kucing!

Pandai melukis atau tidak, 'art jamming' versi terbaru lagi unik ini satu kegiatan yang harus anda cuba bersama keluarga atau rakan-rakan.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: 'Art jamming' bukanlah sesuatu yang baru. Sejak lebih sedekad lalu, kegiatan melukis secara beramai-ramai dalam suasana yang santai ini, sering kali dianjurkan di studio-studio seni mahupun kafe.

Pesertanya pula tidak semestinya orang seni. Ia suatu aktiviti yang boleh dinikmati sesiapa sahaja dan dilakukan bersama seisi keluarga atau rakan-rakan.

Namun kebelakangan ini, muncul versi-versi baru 'art jamming'. Misalnya, ada studio yang membolehkan para pesertanya bebas menyimbah cat pada kanvas mahupun dinding-dinding studio. Ada juga studio yang bereksperimen dengan konsep sains agar para pesertanya dapat menghasilkan lukisan yang cantik.

Kini malah ada sebuah studio menjadi yang pertama di Singapura untuk menganjurkan sesi melukis sambil ditemani kucing-kucing.

Dalam laporan BERITA+ ini kami tampilkan tiga daripada kegiatan 'art jamming' yang unik lagi baru itu.

(Gambar: @consider.the.wild.flowers/Instagram)

1. MELUKIS BERSAMA KUCING

Awal tahun lalu, Cik Amanda Cho, 38 tahun, memberanikan diri untuk menawarkan sesi melukis di flat HDBnya di Yishun walaupun beliau bukanlah seorang yang mempelajari seni di sekolah. Ibu dua orang anak itu sebenarnya bukan seorang karyawan seni, tetapi bertugas dalam sektor pendidikan swasta.

Sungguhpun demikian, Cik Amanda menjadi yakin untuk menganjurkan sesi 'art jamming' setelah beliau melukis buku kanak-kanak untuk jualan amal.

Dengan sokongan suaminya, Encik Darius, maka tertubuhlah studio seni bernama Wildflower Studio.

Cik Amanda bersama dua ekor kucingnya. (Gambar: @consider.the.wild.flowers/Instagram) 

Sesi 'art jamming' yang ditawarkan Wildflower Studio cukup unik. Para pesertanya ditemani empat ekor kucing yang begitu comel.

"Ideanya datang begitu sahaja kerana saya suka seni dan kami mempunyai kucing-kucing yang sungguh jinak. Saya fikir menggabungkan seni dan kucing adalah satu idea yang baik, ia boleh menjadi popular," cerita Cik Amanda kepada BERITAmediacorp.

Disebabkan keadaan pandemik dan beliau bekerja pada hari biasa, Cik Amanda hanya dapat menganjurkan bengkel seninya itu pada hujung minggu dan menerima hingga lima pelanggan bagi setiap sesi.

Sambutannya sangat menggalakkan sehingga beliau dan suami akhirnya memutuskan untuk menyewa sebuah rumah kedai di 56A Niven Road, yang terletak tidak jauh dari stesen MRT Little India. Mereka berpindah ke tempat itu kira-kira tiga bulan lalu.

Dengan ruang yang lebih luas, mereka dapat menerima sehingga 12 pelanggan pada satu-satu masa.

Cik Amanda dan suami di studio baru mereka. (Gambar: BERITAmediacorp)

Begini 'art jamming' di Wildflower Studio yang berlangsung selama dua setengah jam setiap sesi:

Pertama sekali, para pelanggan diajak mengenali dan bermain dengan empat ekor kucing mereka yang bernama Sundae, Saffron, Soba dan Sesame. Dalam sesi ini juga, para peserta dapat memilih jenis karya seni yang ingin dihasilkan, iaitu lukisan pada kanvas, patung, beg 'tote' ataupun papan berbentuk bulat.

Mereka kemudian akan dibimbing untuk melukis.

Sepanjang sesi melukis pula, kucing-kucing gebu Cik Amanda akan terus menemani para peserta. Jadi kalau mereka ingin berehat seketika daripada melukis, mereka juga bolehlah bermain-main dengan kucing-kucing tersebut.

"Berdasarkan apa yang dikatakan pelanggan, ramai yang menggunakan perkataan 'terapeutik'. Saya rasa ini kerana suasana studio yang sangat tenang. Pastinya, sebagai pencinta kucing seperti kebanyakan peserta di sini, mereka dapati membelai kucing dan sekadar meluangkan masa dengannya sudah cukup terapeutik," kata Cik Amanda.

(Gambar: @consider.the.wild.flowers/Instagram)

Beliau menambah, sesi anjurannya juga sudah disertai sekitar lima kanak-kanak berkeperluan khas sejauh ini.

"Memang kebetulan mereka datang dan saya perasan atau ibu bapa mereka memberitahu saya (anaknya) dalam spektrum autistik, contohnya. Memang saya ada harapan untuk berganding bahu dengan pertubuhan atau pakar terapi seni untuk mengatur sesi yang sesuai," ujar Cik Amanda.

Harga sesi art jamming di Wildflower Studio boleh dikatakan berpatutan - S$40 seorang dan harga ini termasuk karya seni yang boleh anda bawa pulang. Maka tidak hairanlah, studio itu mendapat sambutan luar biasa. Sepanjang tahun lalu, Cik Amanda dan Encik Darius menerima lebih 1,100 pendaftaran.

Mereka kini menaruh harapan untuk menjalin kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan amal agar sesi terapeutik ini dapat dinikmati golongan kurang bernasib baik atau berkeperluan khas.

2. 'MOTION ART SPACE' - KONSEP SAINS DALAM SENI

Pada April tahun lalu pula, sebuah studio dibuka dua anak muda di 36A Arab St. Studio yang dinamakan Motion Art Space itu menerapkan konsep sains dalam sesi 'art jamming' yang dianjurkannya.

Lebih tepat lagi, para pesertanya berpeluang menghasilkan lukisan dengan menggunakan kaedah pendulum.

(Gambar: @motionartspace/Instagram)

"Dengan pendulum, ada beberapa aspek sains. Jadi ada daya graviti dan pergerakan. Biasanya pergerakan semula jadi seperti ini hasilnya cantik ibarat alam semula jadi, ada kecantikannya bukan?" kata pengasas bersama Motion Art Space, Encik Adriel Ho.

Dalam erti kata lain, tidak kiralah jika anda pandai melukis ataupun tidak, lukisan anda pasti 'menjadi'.

(Gambar: @motionartspace/Instagram)

BERITAmediacorp sempat mencuba sesi melukis di studio ini dan berikut beberapa tips untuk anda sekiranya anda ingin mencuba 'art jamming' di Motion Art Space:

- Sebelum anda mula menggunakan cat, pastikan anda cuba menggambarkan lukisan yang ingin dihasilkan. Ini boleh dilakukan dengan menggantung botol atau bekas kecil pada pendulum yang tersedia di studio ini.

(Gambar: @motionartspace/Instagram)

- Hidupkan suis meja agar ia berpusing semasa anda berkarya. 'Coretan' anda akan menjadi lebih halus dan cantik.

- Lepaskan, dan bukan hayun, botol atau bekas kecil pada pendulum supaya pendulum itu bergerak dengan lancar.

- Sebaik sahaja anda selesai melukis, anda boleh menambah kesan percikan cat pada karya anda dengan menggunakan berus yang disediakan.

Inilah lukisan yang dapat wartawan BERITAmediacorp hasilkan daripada sesi itu. ✌️

Motion Art Space sudahpun mula menganjurkan bengkel di luar studionya. Pada bulan lalu, ia bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk memberi peluang kepada orang ramai mencuba 'art jamming' menggunakan sains di ION Orchard.

"Pada masa akan datang, kami mungkin ingin bekerjasama dengan sekolah-sekolah pula supaya para pelajar dan kanak-kanak dan mencuba dan bermain dengan cat," kongsi Encik Adriel.

Pakej di studio ini bermula dari harga sekitar S$70 seorang. Harga ini termasuk 4 tab cat, semua peralatan seperti berus lukis dan botol yang boleh digantung pada pendulum, serta kanvas lukisan yang boleh anda bawa pulang.

3. MENYIMBAH CAT DALAM GELAP

Splat Paint House di 207a Upper Thomson Rd pula menawarkan sesi bermain dan menyimbah cat di dalam gelap!

Dalam setiap sesi yang dipanggil 'UV Party' itu, para peserta bebas melakukan apa sahaja dengan cat berasaskan fosfor (phosphor) yang disediakan.

(Gambar : BERITAmediacorp)

Anda boleh lukis di dinding-dinding studio atau menyimbah cat pada kanvas yang disediakan. Kalau anda mahu, anda juga boleh menyapu cat pada muka dan menyimbah cat ke arah rakan-rakan anda.

"Jenis cat yang digunakan adalah 'poster paint' dan ia larut air. Jadi katakan pelanggan bimbang ia terkena baju dan sebagainya, jangan bimbang, ia mudah dicuci," jelas seorang kru Splat Paint House, Cik Catherine.

"Ia juga selamat untuk kanak-kanak. Jadi jika anak ada termakan dan sebagainya, mereka tidak akan dalam keadaan bahaya," tambah beliau.

(Gambar: @splatpainthouse/Instagram) 

Yang pasti sesi di Splat Paint House juga boleh menjadi satu cara untuk menghilangkan stres. Apatah lagi kerana anda bebas berekspresi dalam suasana yang berlatarkan muzik dengan genre R&B dan 'hip-hop' yang digemari anak-anak muda sekarang.

Menurut syarikat yang sudah lebih 2 tahun beroperasi ini, sesi 'UV Party' mereka begitu popular dalam kalangan milenial dan juga, Gen Z. Splat Paint House hanya menganjurkan kira-kira dua sesi setiap bulan dan kesemua 12 slot yang ditawarkan biasanya habis ditempah, terutama sekali pada musim cuti sekolah.

Harga mengikuti sesi bermain cat dalam gelap berharga sekitar S$70 seorang.

Pada hari biasa, studio ini turut menganjurkan sesi melukis biasa di mana anda juga boleh menyimbah cat, tapi bukan dalam gelap.

Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan