BERITA+: Ambil langkah proaktif pelihara kucing
Cik Rima Melissa Mahmud bersama dua ekor kucing peliharaannya, Simba (kiri) dan Nala (kanan), yang berbaka 'domestic shorthair'. Beliau telah memelihara kedua-duanya selama kira-kira 12 tahun. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
Walaupun sudah sekitar 12 tahun memelihara kedua-dua kucing itu, Cik Rima Melissa Mahmud tidak pernah mengambil mudah soal keselamatan mereka.
Sikap lebih berhati-hati itu lahir daripada pengalaman pahit beberapa tahun lalu, yang meragut nyawa seekor kucing peliharaannya, Pelangi.
Mengenang kembali kejadian yang berlaku lebih sedekad lalu, Cik Rima, 32 tahun, berkata kucing berbaka 'domestic shorthair' itu gemar berkeliaran di sekitar kawasan rumahnya dan lazimnya akan menunggu di hadapan pintu rumah untuk dibenarkan masuk semula.
Namun pada satu malam, rutin itu berubah.
“Bila malam, dia (Pelangi) mahu balik dan cuba melompat masuk melalui tingkap. Pelangi terjatuh dari tingkat tiga dan lumpuh kakinya. Pelangi pun sudah putus asa untuk hidup jadi kami terpaksa tidurkan dia," kongsinya.
Pengalaman itu menyedarkan Cik Rima bahawa perkara yang tidak dijangka boleh berlaku kepada mana-mana haiwan peliharaan.
PASANG CIP MIKRO PADA KUCING-KUCING
Perkara mudah seperti keluar masuk rumah lantas tidak lagi dipandang remeh oleh Cik Rima.
Oleh itu, beliau mengambil banyak langkah berjaga-jaga hari ini.
Ia termasuk memasang cip mikro pada kededua edkor kucingnya sekarang.
Kucing-kucingnya itu juga sudah dilesenkan.
Bagi Cik Rima, cip mikro bukan sekadar memenuhi syarat di bawah Rangka Kerja Pengurusan Kucing, malah ia merupakan satu langkah berjaga-jaga.
Sejak dimulakan pada 2024, kadar pelesenan di bawah rangka kerja itu agak tinggi.
Dalam tahun pertamanya sahaja, lebih 24,000 ekor kucing peliharaan telah dilesenkan.
Selain memasang cip mikro pada kucing-kucingnya, Cik Rima juga memastikan bahawa tingkap rumah empat biliknya dipasang jaring keselamatan.
SALAH TANGGAPAN DALAM KALANGAN PEMILIK HAIWAN PELIHARAAN
Meski Nala dan Simba dibela sepenuhnya di dalam rumah, pengalaman lalu mengajar Cik Rima bahawa perkara yang tidak dijangka tidak mengenal sempadan.
Namun, tidak semua pemilik berkongsi pandangan yang sama.
Semasa ditemui BERITA Mediacorp di AVS, Pengarah Kumpulan Pengurusan Haiwan Masyarakat, Agensi Kesihatan Haiwan dan Veterinar (AVS), Dr Anna Wong, berkata: "Ramai pemilik beranggapan kucing yang dibela di dalam rumah tidak memerlukan cip mikro kerana mereka yakin haiwan itu tidak akan hilang."
Hakikatnya, apabila seekor kucing tanpa cip mikro ditemui, proses mengenal pasti pemilik menjadi jauh lebih rumit.
"Jika seekor kucing tanpa cip mikro ditemui, kami perlu memuat naik gambarnya, mendapatkan bantuan kumpulan pencinta haiwan dan menunggu pemilik tampil mencarinya.
"Proses itu boleh mengambil masa, walhal pemilik mungkin sedang panik mencari kucing mereka," jelas Dr Wong.
Sebaliknya, cip mikro yang saiznya disifatkan sebutir beras, mengandungi nombor pengenalan unik bagi setiap haiwan, ujar Dr Wong.
Apabila dipadankan dengan rekod pelesenan, ia membolehkan pemilik dikenal pasti dengan pantas sekiranya kucing ditemui.
Menegaskan lagi kepentingan memasang cip mikro, Dr Wong berkata: "Bukan sahaja untuk tujuan mengesan sekiranya berlaku wabak penyakit, malah sekiranya suatu hari nanti kucing hilang, sesiapa yang menemuinya boleh membawanya ke AVS untuk diimbas dan pemilik dapat dihubungi."
Pada 2024 dan 2025, AVS berjaya menyatukan semula sekitar 140 ekor kucing yang hilang dengan pemilik atau penjaganya pada setiap tahun.
KESEDARAN SEMAKIN MENINGKAT DALAM KALANGAN PEMILIK KUCING PELIHARAAN
Di sebuah acara pemasangan cip mikro percuma anjuran AVS baru-baru ini di Kelab Masyarakat Lengkok Bahru, BERITA Mediacorp bertemu beberapa pemilik yang mengambil peluang memasang cip mikro sebelum tamatnya tempoh peralihan pada 31 Ogos.
Bagi Encik Sahil Humeidy Usman, keputusan memasang cip mikro bukan sekadar untuk mematuhi keperluan pelesenan.
Malah, ia mencerminkan tanggungjawab sebagai pemilik haiwan peliharaan.
"Kalau betul sayang kucing, kenapa tidak ambil peluang ini? Ia juga untuk manfaat kita sendiri (sebagai pemilik)," katanya yang memelihara lima ekor kucing.
Pandangan itu turut dikongsi Cik Viviana Aisya Suhaini, yang menganggap satu-satu kucing peliharaannya sebagai ahli keluarganya sendiri.
"Kucing ialah haiwan dan sifatnya sukar dijangka. Kita tidak boleh mengharapkan mereka sentiasa patuh atau berkelakuan baik. Memandangkan mereka dibela di dalam rumah, kita tidak akan tahu sekiranya satu hari nanti mereka terlepas keluar," ujarnya.
SIKAP KUCING YANG SUKAR DIJANGKA PERLU DIAMBIL KIRA
Lebih-lebih lagi dengan pengalaman kehilangan Pelangi lebih sedekad lalu, ia mengubah sepenuhnya cara beliau melihat tanggungjawab sebagai pemilik haiwan peliharaan.
Menyifatkan Simba sebagai seekor kucing yang agak pendiam, Cik Rima berkata: "Kalau dia (Simba) di luar, suaranya agak perlahan dan sukar didengari. Jadi, kalau dia keluar, agak merisaukan."
"Saya tidak mahu ambil risiko. Apa sahaja langkah yang boleh saya ambil untuk lindungi mereka, saya akan lakukan," ujar beliau lagi.
Lebih-lebih lagi selepas berpindah ke rumah baharu di Canberra pada Mei lalu, Cik Rima tidak mahu mengambil sebarang risiko memandangkan persekitaran itu masih asing bagi Nala dan Simba.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.