Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

BERITA+: Alat masak canggih kian popular; alah membeli, menang memakai?

Kalau dahulu, batu lesung menjadi alat penting untuk menyiapkan bahan-bahan sebelum memasak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kalau dahulu, batu lesung menjadi alat penting untuk menyiapkan bahan-bahan sebelum memasak.

Namun kaedah itu mungkin hampir ditelan zaman sekarang dengan adanya pelbagai teknologi baru di luar sana.

Ibu berkerjaya mungkin kesuntukan masa untuk masak, mentelah lagi bila difikirkan kerja-kerja menyiapkan ramuan yang rumit dan perlu membersihkan dapur kemudian.

Namun begitu, air tangan ibu juga banyak manfaatnya kepada keluarga.

Dengan kerencaman alat masak canggih lagi mudah digunakan, membantu ibu bekerja khususnya untuk memasak sambil melakukan kegiatan lain bersama anak.

Contohnya, teknologi 'semua dalam satu' ciptaan Jerman bernama Thermomix yang kini tular penggunaannya di seluruh negara. Sejak menembusi pasaran Singapura sekitar empat tahun lalu, lebih 20,000 isi rumah sudah memilikinya termasuk keluarga Cik Shikin Rahmat.

"Dulu kalau kita masak cara tradisional, kita dapat masak, masak itu sahaja kan? Tidak dapat buat benda-benda, kerja-kerja rumah lain," ujar Cik Shikin.

"Bila kita masak dengan Thermomix, kita dapat memberi masa kepada benda-benda lain seperti tolong anak-anak dengan kerja sekolah sambil kemas-kemas, sambil lipat-lipat baju. Tidak perlu risau tentang kekotoran di dapur, tidak perlu risau bau makanan melekat di baju."

Shikin Rahmat, penasihat Thermomix. 

Maka tidak hairanlah, Cik Shikin kemudian menjadi penasihat alat masak canggih itu, dengan pelanggannya bukan sahaja suri rumah dan ibu bekerja, menarik lagi, lelaki bujang serta golongan berusia lebih 60 tahun.

"Semua beri alasan yang sama. Mereka cakap penat mengemas dapur selepas memasak walaupun mereka ingin memasak untuk keluarga," kongsi beliau.

Cik Shikin Rahmat bersama para pelanggan yang menempah Thermomix melaluinya. (Gambar: Shikin Rahmat)

(Cik Shikin Rahmat bersama para pelanggan yang menempah Thermomix melaluinya. Gambar: Shikin Rahmat)

Cengkaman COVID-19 pula menjadikan teknologi seumpama itu semakin popular - secara purata, 1,500 unit mendiami dapur baru setiap bulan - sedang ramai berusaha untuk mengimbangi antara kerja dengan keluarga di rumah.

Jadi, apakah kehebatan mesin itu sehingga semakin menarik perhatian ramai untuk mahu memilikinya?

"Ia mempunyai lebih 20 fungsi di dalam mesin itu dan ia juga mempunyai lebih 70,000 resipi dari seluruh dunia dari negara-negara seperti Sepanyol, Mexico, Amerika Syarikat, Itali, Perancis," terang Cik Shikin.

Secara umumnya, mesin itu mampu melakukan empat kategori utama kerja dapur berikut:

  • Masak, rebus, kukus, didih dan seumpamanya
  • Hancur, potong, cincang dan fungsi seperti mengisar
  • Uli atau mencampur sebati adunan seperti ketika mahu membuat kek atau roti
  • Timbang bahan mengikut sukatan yang tepat bagi masakan

Jika ada fungsi yang tidak mampu dilakukan menggunakan Thermomix, ia adalah menggoreng kerana mesin itu menerapkan cara masakan yang sihat.

Menurut Cik Shikin, hampir sesiapa sahaja boleh menggunakan mesin itu selagi mereka tahu membaca kerana langkah demi langkah disediakan bagi menyiapkan juadah pilihan.

SETANDING HARGA; DIANGGAP SATU PELABURAN

Maka, boleh dikatakan, nilai teknologi tersebut setimpal dengan harganya yang mencecah S$2,400.

Cik Khadijah Ali, peniaga dari rumah yang mengendalikan Kat's Bakes.

Memang mahal tetapi bagi Cik Siti Khadijah Mohd Ali, seorang peniaga dari rumah (HBB), ia dianggap sebagai satu pelaburan berbaloi.

Bahkan beliau mempunyai dua mesin memasak jenis canggih ini dari dua jenama berbeza - satu lagi adalah Ninja - kerana menganggapnya saling melengkapi, terutama bagi perniagaan beliau.

"Ninja Foodi, ia mempunyai fungsi-fungsi yang lain daripada Thermomix seperti periuk tekanan (pressure cook) dan alatnya lebih besar. Jadi kalau saya perlukan masakan yang lebih, saya lebih senang untuk menggunakan (Ninja) Foodi dan menggabungkannya dengan Thermomix," terang Cik Khadijah.

Manakala Thermomix pula ibarat “pembantu” di dalam dapur, kata beliau.

"Ia mempercepatkan proses persiapan makanan itu dan jika macam masa untuk memasak sesuatu masakan mengambil masa dalam satu atau dua jam, saya boleh memotongkan masa dalam 50 peratus ke 70 peratus," ujarnya.

"Saya boleh tinggalkan perkakas itu untuk memasak dan pergi balik ke perniagaan saya, membuat pencuci mulut, tanpa risau kalau makanan itu hangus ke terkering ke fasal ia adalah sebuah mesin masak jitu (precision cooker)," tambahnya.

Sejak memiliki kedua-dua mesin tersebut, beliau kini lebih kerap memasak untuk keluarganya dan kurang bergantung pada khidmat penghantaran makanan.

"Memang pada dasarnya, bila kita lihat harganya, 'wah macam mahal' tapi bila kita fikir panjang, ia menjimatkan waktu, menjimatkan wang juga. Fasal apa, kita tidak payah hendak pergi pesan penghantaran makanan dan makanan yang kita sediakan dari rumah lebih sihat. Kita tahu apa yang kita letak dalam makanan itu," ungkapnya.

Bagi sesetengah pengguna pula, teknologi tersebut juga sumber mata pencarian mereka. Jika tidak menjadi penasihat yang mempromosikan produk itu kepada kemungkinan bakal pengguna lain, mereka akan berjinak-jinak dalam bidang perniagaan dengan menawarkan jualan hasil daripada resipi-resipi yang tersimpan di dalamnya.

Kecanggihan peralatan memasak terbukti tidak boleh disangkalkan.

Namun dengan teknologi yang berkembang pesat, adakah alat serba boleh seperti itu akhirnya nanti akan duduk tersadai sahaja di dapur dan sekadar mengumpul habuk? 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan