BERITA+: 300+ judul Melayu disokong Pas Budaya SG, jualan buku tempatan terus meningkat
Lebih 300 judul buku Bahasa Melayu tempatan kini disokong Pas Budaya SG, sejak skim kredit Pas Budaya SG diluaskan kepada pembelian buku sastera tempatan, mulai Mac 2026.
This audio is generated by an AI tool.
Demikian menurut Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dalam satu kenyataan sebagai menjawab pertanyaan wartawan Roslinda Rahmat.
"Melalui Pas Budaya SG, MCCY berharap lebih ramai Rakyat Singapura melangkah masuk ke kedai buku untuk meneroka kepelbagaian suara dan cerita Singapura yang kaya, merentasi pelbagai bahasa, sambil mengukuhkan penghargaan terhadap budaya, warisan dan identiti bersama kita," kata jurucakap MCCY.
PAS BUDAYA SG TINGKAT JUALAN BUKU TEMPATAN, TARIK KELUARGA MEMBACA
Cik Sharifah Mohammad Kassim sering mengisi waktu lapangnya dalam alam cerita.
Genre paling diminatinya - keluarga dan budaya Singapura, khususnya oleh para penulis tempatan.
Mujur bagi pengasas pusat tuisyen itu, beliau boleh memanfaatkan nilai kredit S$100 menerusi Pas Budaya SG, untuk membeli buku-buku kegemarannya.
"Saya sudah membeli dua buku ini. Harganya baru S$32.70 dan saya masih ada S$67.30 untuk membeli buku-buku yang lain," kata Cik Sharifah.
Menurutnya, Pas Budaya SG bukan sahaja memudahkan pembelian buku yang mencerminkan budaya dan jati diri masyarakat setempat, malah memberi peluang kepada orang ramai untuk membina perpustakaan peribadi di rumah.
Beliau menambah, bahawa inisiatif itu penting dalam memastikan suara dan karya Singapura terus diwariskan kepada generasi akan datang.
"Yang paling mustahak adalah, ia membolehkan suara Singapura terus lancar kedengaran untuk generasi yang akan datang,"ujar pembeli buku dengan menggunakan Pas Budaya SG buat kali pertama, Cik Sharifah kepada wartawan Roslinda Rahmat.
BUKU TERBITAN PUSTAKA NASIONAL DIRANGKUMKAN DALAM PAS BUDAYA SG
Lebih 2,600 judul sastera tempatan boleh dibeli dengan menggunakan Pas Budaya SG.
Antaranya adalah buku-buku terbitan Pustaka Nasional.
Pengalaman positif menyertai skim 'Beli Baucar SingLit' oleh Majlis Seni Kebangsaan (NAC) pada awal 2016 telah mendorong penjualannya naik sebanyak 15%.
Lantas, ia memberi keyakinan kepada Pustaka Nasional untuk menyertai skim Pas Budaya SG bagi buku sastera tempatan kali ini.
"Dari segi laporan awal oleh MCCY, sebanyak S$500,000 sudah digunakan untuk pembelian buku keseluruhannya. Ia barangkali peningkatan dalam 15% hingga 20%. Itu laporan awal. Kita tunggulah laporan setengah tahun, baru kita akan nampak impaknya bagaimana," ujar Pengarah, Pustaka Nasional, Encik Syed Ali Semait.
PEMBACA MANFAAT KREDIT S$100, PENERBIT CATAT PERMINTAAN KUKUH
Unggun Creative pula baharu mengambil bahagian kira-kira sebulan yang lalu.
Pemilik bersamanya pada awalnya mengambil sikap berjaga-jaga dengan peluang meletakkan buku di lebih banyak kedai seperti POPULAR yang mempunyai 27 cawangan serata Singapura.
"Pada kitaran yang pertama, sebab kita pun ada semacam keraguan - boleh terjual tak? Jadi, kita hanya memasarkan lapan judul, yang mana enam judul adalah buku kanak-kanak. Satu adalah novel grafik dan satu adalah antologi cerpen yang melibatkan para penulis Singapura dan juga penulis luar yang mana karya-karya ini ialah karya-karya yang memenangi Sayembara Penulisan dalam majalah sastera kami, Majalah Kayu Api," ujar Dr Noridah Kamari.
"Jadi kami pun menambah lagi judul-judul buku. Bagi kitaran kedua program ini, kami menambah empat novel dan enam antologi cerpen. Tiga daripada antologi tersebut diselenggarakan oleh Cikgu Johan A. Rahman, termasuk Tuai Padi Antara Masak, Intai Kami Antara Nampak dan Kias: Antologi Certot. Karya-karya yang berasaskan peribahasa ini ditulis oleh guru-guru Bahasa Melayu di Singapura dan dihasilkan khusus untuk pembacaan murid sekolah, dengan mengetengahkan isu-isu yang relevan serta penggunaan bahasa Melayu yang baik."
Dr Noridah berkata, pihaknya berharap karya-karya yang lahir daripada ilham para guru itu bukan sahaja mendapat sambutan murid-murid, malah turut diterima baik oleh ibu bapa dan masyarakat umum.
Menurut Encik Syed Ali pula, pada awal Mac, beliau hanya menempatkan buku-buku terbitannya di lima cawangan rangkaian kedai buku POPULAR.
Namun, menjelang awal April, kesemua buku itu telah habis dijual, sekali gus mendorong pihak rangkaian tersebut meminta tambahan 10 judul lagi.
Beliau berkata, "Setakat ini, 10 judul buku bahasa Melayu telah habis dijual di kedai-kedai rangkaian POPULAR." Pihaknya kini sedang mengusahakan cetakan semula bagi tiga judul lagi, demi memastikan bekalan mencukupi di cawangan yang mencatat permintaan tinggi terhadap buku-buku bahasa Melayu.
Sambutan baik ini mungkin didorong mudahnya proses membeli menggunakan Pas Budaya, seperti yang dikongsi Cik Sharifah melalui percubaan sulungnya.
"Oh sangat mudah! Sebenarnya dengan telefon bimbit anda, pergi ke kedai buku, masuk ke lelaman 'SG Culture Pass', dan lepas itu bila kita sudah pilih buku yang kita nak dan tahu berapa harganya, kita sekadar harus letakkan harga ke dalam laman itu dan tunjuk kepada juruwang," luah Cik Sharifah.
Dr Noridah pula berkata: "Sebab apabila kita berkarya, secara tidak langsung, juga kita menyisipkan budaya kita, identiti kita dalam karya-karya kita melalui watak dan perwatakan, melalui tema-tema dalam cerita-cerita kita. Jadi, kita mengharapkan masyarakat dapat menggarap elemen-elemen ini dalam karya-karya kita.
"Pas Budaya ini - ia adalah skim yang banyak membantu ekosistem sastera Melayu di Singapura. Ia dapat melicinkan pengedaran buku kerana kita mengharapkan bahawa para pembaca itu dia tidak fikir dua kali untuk mencapai dan membeli buku kita kerana ada Pas Budaya ini. Ia juga menunjukkan keyakinan pemerintah terhadap produk seni tempatan. Bahawa produk seni kita ada nilainya, ada harganya dan layak berdiri setanding dengan produk-produk seni antarabangsa yang lain," tambah beliau lagi.
Kredit Pas Budaya SG mesti ditebus sebelum penghujung tahun 2028.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.