Bergelut dengan penyakit kulit yang teruk, wanita Malaysia ini kuatkan tekad genggam ijazah sarjana sambil besarkan empat anak

Gambar: Yuzlina Yaacob
Sedang usia kandungannya mencecah dua bulan pada Oktober 2015, Cik Yuzlina mendapati beliau menghidap psoriasis pustular umum (GPP), sejenis penyakit kulit yang jarang ditemui dan tiada penawarnya. Ia juga merupakan gangguan autoimun.
Cik Yuzlina mula mengesan simptom kulit melepuh dan benjolan kecil yang mempunyai nanah pada paha kanannya. Ia kemudian merebak ke tangan kanannya.
"Ia berlaku pada tahun pertama perkahwinan saya, jadi saya rasa agak malu untuk memberitahu suami saya. Saya mengunci diri di dalam bilik dan cuba merawatnya sendiri," ujar warga Malaysia itu, yang kini tinggal di Kelantan.
Benjolan itu kelihatan seperti jerawat, lantas beliau mencucuknya dengan jarum untuk mengeluarkan nanah yang berbau busuk. Beliau seterusnya menyapu minyak tradisional Melayu di bahagian tersebut.
Namun, benjolan itu timbul semula beberapa hari kemudian. Malah, ia bertambah besar dan lebih menyakitkan.
Cik Yuzlina memutuskan untuk memberitahu suaminya dan juga mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Johor Bahru, di mana beliau tinggal ketika itu.
Beliau disahkan menghidap psoriasis pustular umum (GPP), sejenis penyakit kulit yang teruk tetapi tidak berjangkit, di mana penghidapnya mengalami radang dengan benjolan dan mempunyai nanah. Ia malah, mungkin bertambah teruk disebabkan kehamilan, bagi sesetengah kes.
Khuatir ubat yang perlu dimakannya boleh menjejaskan bayi dalam kandungan, doktor Cik Yuzlina hanya memberinya ubat seperti syampu dan krim.
Keadaan Cik Yuzlina dengan cepat menjadi semakin teruk sedang kandungannya mula membesar. Tidak lama kemudian, benjolan bernanah merebak ke seluruh tubuhnya , termasuk wajah, kulit kepala, telinga dan juga bahagian dalam hidungnya.

Selepas didiagnos penyakit tersebut, Cik Yuzlina tidak dapat terus bekerja dan terpaksa meletak jawatan sebagai eksekutif pemasaran. Keadaan bertambah buruk ketika mengandung tiga bulan, di mana beliau terlantar sakit di katil.
Suaminya yang menjadi penyara tunggal keluarga turut melakukan kerja-kerja rumah dan menjaga beliau termasuk membersihkan dirinya.
CABARAN KETIKA HAMIL DAN MENJADI IBU
Setiap kali beliau ke temu janji doktor, Cik Yuzlina perlu berkerusi roda. "Saya tidak dapat berjalan kerana terdapat benjolan di tapak kaki saya. Saya tidak dapat pakai kasut dan hanya berselipar."
"(Keadaan kulit saya) sangat teruk sehingga saya fikir saya akan mati," luahnya.

MENANGANI KEADAAN KULIT YANG SAKIT
Sebaik sahaja melahirkan, Cik Yuzlina mula mengambil ubat secara oral dan keadaannya bertambah baik dalam dua bulan. Benjolannya semakin mengecil kecil dan hanya berlaku di beberapa bahagian tertentu.
Beliau belajar untuk meneruskan kehidupan dengan GPP dan pada 2007, mendaftarkan diri bagi ijazah sarjana dalam sumber manusia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru.

Sejurus menyertai sekolah tersebut, beliau mendapati dirinya hamil lagi.
Penyakit yang dideritainya kembali memburuk dan beliau perlu berhenti mengambil ubat. Ketika itu seluruh tubuhnya mula dipenuhi benjolan sekalipun kali iniia tidak muncul di wajahnya.
Sungguhpun demikian, Cik Yuzlina meneruskan kehamilannya hingga cukup bulan dan melahirkan bayi lelaki yang sihat pada Februari 2008. Dua minggu kemudian, beliau kembali ke sekolah.
MEMBINA KELUARGA LEBIH BESAR
Cik Yuzlina sedar bahawa kehamilan merupakan faktor besar yang mencetuskan GPP. Namun, ia tidak sekalipun menghalangnya daripada meneruskan hasrat untuk mempunyai lebih banyak cahaya mata.
Cik Yuzlina, yang kini berusia 44 tahun, bekerja separuh masa sebagai ejen hartanah. Beliau dikurniakan empat cahaya mata, yang berusia 17 dan 15 tahun serta sepasang kembar berusia lapan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.