Berdoa di warung ini, dapat soto percuma sepanjang Ramadan
Tuliskan doa anda pada sekeping kertas, dan dapatkan hidangan soto dan jus secara percuma.
Warung Soto Kauman Express. (Gambar: Merdeka.com)
MERDEKA.COM: Tuliskan doa anda pada sekeping kertas, dan dapatkan hidangan soto dan jus secara percuma.
Itulah promosi unik yang ditawarkan warung Soto Kauman Express di Depok, Jawa Barat sepanjang Ramadan ini.
Encik Ubaidilah, pemilik Soto Kauman Express berkata, sesiapaun dipersilakan datang ke warungnya untuk makan soto dan membuat 'bayaran' dengan berdoa.
Cara untuk mendapatkan soto percuma ini cukup mudah. Pelanggan hanya perlu ke kaunter restoran untuk mendapatkan sekeping kertas dan tuliskan doa sesuai dengan kemahuan pelanggan.
Kemudian kertas itu akan ditukar dengan satu set makanan untuk berbuka, terdiri daripada soto, cemilan berupa roti atau gorengan, kurma dan jus belimbing.
Promosi itu, kata beliau, sudah dijalankan selama tiga tahun. Sebab ia diadakan ringkas - Encik Ubaidilah ingin bersedekah kepada mereka yang sedang berpuasa, kerana ia merupakan satu ibadah.
Beliau juga ingin mendapatkan doa daripada pelanggan yang berbuka di warungnya.
Namun, promosi itu dihadkan kepada pukul 6.00 petang hingga 6.40 petang setiap hari sepanjang Ramadan.
Promosi tersebut ternyata menarik minat ramai di kalangan masyarakat, dan setiap hari menjelang waktu berbuka, warung itu selalu penuh dengan pelanggan.
(Gambar-gambar: Merdeka.com)
Para pelanggan rasa senang hati dengan adanya promosi bayar pakai doa itu.
"Ya, tidak perlu keluarkan duit sih. Cuma diganti doa saja bayarnya," kata Encik Rizki, salah seorang pelanggan.
Menurutnya, meskipun percuma, mutu hidangan soto yang diberikan tetap dikekalkan. "Saya fikir mungkin rasanya dikurangkan kerana ini promosi percuma. Tapi rasanya tetap enak," kata beliau.
Encik Rizki berkata ia pertama kali beliau ke warung itu. "Tadi saya berdoa supaya semakin banyak tempat makan mengamalkan konsep ini. Supaya berkat juga untuk pemiliknya," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.