Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bercuti ikut kemampuan; ini tips nikmati cuti bajet

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Musim cuti hujung tahun sudah tiba. Ramai yang pasti ingin mengambil kesempatan ini untuk bercuti bersama keluarga atau rakan-rakan. Bagi yang masih sedang mengira wang untuk menentukan destinasi yang ingin dituju, tip-tip berikut pasti dapat membantu.

Menyentuh tentang percutian, selalunya banyak belanja yang diperlukan. Lebih-lebih lagi bagi yang mempunyai keluarga yang besar dan bercadang untuk bercuti ke destinasi yang jauh. Pelbagai perkara yang perlu difikirkan terlebih dahulu, dari kos penginapan, makanan, pengangkutan dan sebagainya.

Tapi, jika bijak memilih destinasi percutian dan melakarkan jadual program, anda masih boleh menikmati percutian mengikut perbelanjaan yang diperuntukkan. Elak daripada berbelanja melebihi kemampuan, bak kata pepatah, perlulah ukur baju di badan sendiri.
Gambar Hiasan: Pexels

Ke mana sahaja destinasi percutian bersama keluarga, tidak mustahil dilakukan dengan bajet masing-masing. Yang penting anda dapat meluangkan masa bermutu bersama keluarga tercinta dan jadikan ia sebagai memori yang indah!

10 CARA CUTI BAJET

1. Buat tinjauan

Elakkan daripada buat perancangan disaat-saat akhir kerana anda mempunyai masa yang suntuk dan pastinya tidak banyak pilihan. Penting untuk membuat tinjauan dan dapatkan seberapa banyak informasi tentang tempat yang ingin dikunjungi.

a

Ia akan membantu anda untuk membuat anggaran wang yang diperlukan. Sekaligus memudahkan untuk senaraikan keperluan lain yang diperlukan. Contohnya penginapan, tempat-tempat menarik yang ingin dikunjungi, tempat makan selain aktiviti dan riadah yang boleh dilakukan bersama.

2. Cari alternatif

Jika ingin menempah penerbangan, buat perbandingan harga terlebih dahulu. Elak daripada membuat tempahan pada saat-saat akhir. Pilih waktu penerbangan yang kurang popular atau kurang sibuk misalnya pada awal pagi.

a

Begitu juga dengan penginapan. Selalunya hotel terkemuka dan ternama pastinya lebih mahal jika dibandingkan dengan penginapan homestay yang juga tidak kurang hebatnya. Apa juga pilihan pastikan untuk membuat perbezaan harga terlebih dahulu.

3. Wang tambahan

Walaupun sudah tetapkan bajet untuk berbelanja, anda juga harus sediakan wang tambahan. Ia penting kerana anda pasti tidak mahu pulang bercuti dengan saku yang kosong atau kehabisan wang.

a

Wang tambahan ini hanya untuk digunakan pada waktu kecemasan atau keadaan darurat. Yang penting, anda harus pastikan untuk tetapkan bajet percutian dan ikut pada jadual yang telah anda tetapkan agar perbelanjaan tidak tersasar kepada perkara-perkara yang tidak ada dalam senarai percutian anda.

4. Pengangkutan

Bagi yang ingin bercuti di negara jiran, jika mempunyai kenderaan bolehlah pandu sendiri. Cara ini juga dapat menjimatkan bajet selain fleksibel kerana anda boleh berhenti di mana-mana lokasi pilihan. Berhenti untuk makan, berehat, solat dan sebagainya. Yang pasti, anda tidak perlu terburu-buru.

a

Bagi yang ingin bercuti dengan menaiki pesawat pula, elakkan daripada membuat tempahan pada saat-saat akhir kerana harga tambang pasti akan lebih mahal. Selain itu, pastikan untuk membawa barang keperluan sahaja supaya tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membayar bagasi yang melebihi had beratnya.

5. Promosi

Tetapkan tarikh untuk bercuti seberapa awal yang boleh kerana ia akan memudahkan anda untuk membuat perancangan. Perhatikan promosi-promosi percutian yang ditawarkan untuk destinasi pilihan anda. Begitu juga dengan promosi tambang penerbangan serta penginapan.

a

6. Sarapan

Apabila ingin membuat tempahan hotel, pilihlah penginapan yang menyediakan sarapan pagi walaupun harganya mungkin mahal sedikit. Jika anda bersarapan pagi dengan sajian seperti sandwic dan sebagainya, ia mengenyangkan dan perut tidak akan rasa lapar dalam masa yang singkat. Secara tidak langsung dapat menjimatkan bajet untuk makan tengahari kerana perut masih kenyang.

a

7. Pertukaran wang

Pastikan untuk memeriksa kadar pertukaran asing sebelum bercuti. Sebaik-baiknya tukar sejumlah wang yang telah diketepikan terlebih dahulu sebelum berangkat. Periksa dulu kadar mata wang yang terbaik. Dengan demikian ia dapat memberi anda lebih nilai dan secara tidak langsung menjimatkan.

a

8. Aktiviti percuma

Bagi yang ingin bercuti bersama anak-anak kecil, buat kajian tentang hotel yang ingin dikunjungi terlebih dahulu. Jika penginapan itu menawarkan aktiviti percuma untuk tetamu terutama kanak-kanak ia merupakan satu bonus kerana ia memudahkan anda untuk sertai dalam pelbagai aktiviti. Jika aktivitinya percuma, sudah pasti ia dapat memberikan penjimatan.

a

9. Berjimat tapi jangan 'over'

Walaupun merancang percutian bajet, elak daripada terlampau berjimat sangat sehinggakan anggota keluarga atau anak-anak berasa tidak gembira bila bercuti kerana banyak sekatan perbelanjaan.
Percutian bersama keluarga merupakan masa yang berharga apabila anda dapat meluangkan masa dan melakukan pelbagai aktiviti yang jarang atau tidak pernah dilakukan bersama. Oleh itu kalau ingin berbajet pun, berpada-pada! Jangan over!

a

10. Cuti dalam negara

Selain ke luar negeri, anda juga boleh pertimbangkan untuk bercuti di dalam negara. Terdapat pelbagai pakej 'staycation' dan tempat-tempat menarik yang mungkin belum sempat anda teroka di kota Singa.

a

Yang pasti, ia dapat menjimatkan kerana anda tidak perlu memikirkan tentang kos perbelanjaan seperti tiket dan cukai penerbangan, bagasi dan sebagainya. Yang penting 'enjoy!'

a
Sumber : BERITA Mediacorp//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan