Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Berbuka puasa di atas bot, tarikan baru di sebuah taman rekreasi air M'sia

Berbuka puasa di atas bot pedal merupakan tarikan baharu di Taman Rekreasi Air Seremban yang menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung untuk meneroka keindahan di tasik itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Berbuka puasa di atas bot, tarikan baru di sebuah taman rekreasi air M'sia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 26 Apr 2021 03:02PM Dikemas Kini : 26 Apr 2021 03:04PM

SEREMBAN: Berbuka puasa di atas bot pedal merupakan tarikan baharu di Taman Rekreasi Air Seremban yang menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung untuk meneroka keindahan di tasik itu.

Tampil dengan ‘wajah baharu’, taman berkenaan yang dibuka sejak Oktober tahun lepas, sudah mula menjadi tumpuan orang awam selain turut menjadi lokasi menarik untuk bergambar.

Pengurus Komunikasi dan Media Taman Rekreasi Air Seremban Puteri Idayu Raja Samsudin berkata pengunjung berpeluang menikmati juadah berbuka puasa di atas tasik dengan menaiki bot yang telah disediakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Selain berbuka di atas bot, pengunjung boleh berbuka puasa secara santai di tepi tasik yang disediakan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tasik berkenaan menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka setiap hujung minggu.

Cik Puteri Idayu berkata walaupun berdepan pandemik COVID-19, kira-kira 20,000 pengunjung sudah memanfaatkan kemudahan disediakan di sini.

Beliau berkata pakej berbuka puasa di taman berkenaan yang boleh memuatkan seramai 50 hingga 60 orang pengunjung pada satu-satu masa, adalah RM25 (S$8) bagi dewasa dan RM15 (S$4.90) untuk kanak-kanak iaitu termasuk menaiki bot, set makanan, minuman, kuih dan buah.

Sementara itu, pekerja swasta Encik Amysah Mohd Daiyan, 29, berkata pengalaman pertama berbuka puasa di atas bot adalah pengalaman menarik di negeri itu memandangkan dirinya berasal dari Sabah selain harga yang ditawarkan juga berpatutan.

Seorang lagi pengunjung Cik Nur Amelia Sahid, 32, berkata beliau ingin mencuba sesuatu kelainan pada tahun ini dengan berbuka puasa bersama keluarga di atas bot dan juadah makanan yang disediakan juga enak.

Taman berkenaan yang beroperasi pada Isnin hingga Jumaat mulai 4 petang hingga 10.00 malam manakala Sabtu, Ahad dan cuti umum dibuka pada 9.00 pagi hingga 10.00 malam, menawarkan 12 buah bot pedal, dua 'water bike double', tiga 'water becha', dua kayak 'single' dan dua kayak 'double' bagi aktiviti riadah.  

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan