Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Berapa langkah sehari harus anda lakukan demi kekal sihat cergas?

Anggaran Waktu Membaca:

NEW YORK: Perlukah anda berjalan 10,000 tapak setiap hari untuk kekal cergas dan sihat?

Meskipun angka ajaib itu sering disebut sebagai jumlah yang 'ideal', ia sebenarnya tidak dipetik berdasarkan data saintifik. 

Maka itu, para penyelidik meneliti persoalan tersebut dan menentukan jumlah langkah yang dianggap paling sesuai untuk diambil pada setiap hari, bergantung kepada usia anda.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) lebih cenderung untuk mengesyorkan jumlah waktu yang diluangkan bagi melakukan kegiatan fizikal pada setiap minggu. Khususnya, antara dua setengah jam dengan lima jam daya ketahanan sederhana bagi individu berumur 18 hingga 64 tahun. 

"Jumlah langkah yang diperlukan setiap hari boleh diukur dengan mudah mengikut kegiatan fizikal," ETX Studio menukil kata-kata penyelidik yang mengkaji subjek tersebut.

Hasil kajian mereka diterbitkan dalam jurnal Lancet Public Health.

Untuk menjalankan penyelidikan mereka, para saintis itu menganalisa hasil daripada 15 kajian yang dijalankan di seluruh dunia yang menyatakan kesan berjalan kaki terhadap kesihatan.

Dalam analisis meta itu, seramai 47,000 peserta dibahagikan kepada empat kategori - peserta yang berjalan 3,500 langkah sehari, mereka yang berjalan 5,800 langkah sehari, individu yang berjalan 7,800 langkah sehari serta terakhir sekali, mereka yang mencatatkan 10,900 langkah sehari. 

HASILNYA

Kajian itu mendapati jika individu berusia sehingga 60 tahun berjalan antara 8,000 hingga 10,000 langkah setiap hari, mereka menghadapi "risiko kematian yang semakin rendah, terbit ETX Studio.

Bagi individu berusia lebih 60 tahun pula, berjalan antara 6,000 hingga 8,000 langkah sehari sudah mencukupi.

Untuk merasakan kesannya, anda tidak seharusnya berjalan terlalu pantas. 

Para penyelidik menarik perhatian bahawa kegiatan fizikal boleh membantu melawan penyakit kronik serta kencing manis jenis 2, penyakit kardiovaskular dan sesetengah penyakit barah. 

"Memantau langkah yang diambil setiap hari adalah lebih mudah dilaksanakan bagi masyarakat umum kerana penjejak kecergasan dan peralatan mudah alih sudah menjadi semakin popular," tambah penyelidik. 

Sumber : Agensi berita/FZ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan