Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Berapa kerap cuci jeans dan bagaimana caranya?

Jeans atau denim merupakan pakaian popular yang mudah digayakan dengan apa sahaja dan digemari ramai. Ia memberikan gaya yang versatil kepada si pemakai, tidak kira lelaki mahupun wanita.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jeans atau denim merupakan pakaian popular yang mudah digayakan dengan apa sahaja dan digemari ramai. Ia memberikan gaya yang versatil kepada si pemakai, tidak kira lelaki mahupun wanita.
  
Terdapat pelbagai potongan dan jenis jeans di pasaran. Harganya juga berbeza-beza, bergantung kepada mutu dan jenama. Setiap daripada kita mempunyai sekurang-kurangnya satu seluar jeans kegemaran yang boleh digayakan berulang kali.

Jeans yang bermutu atau berjenama merupakan denim yang tebal, lebih lasak dan boleh tahan lama. 

Selalunya jeans jenis ini semakin lama dipakai ia akan menjadi lebih selesa dan cantik. Tidak perlu digosok, seluar jeans mudah dipadankan dengan pelbagai warna blaus, kemeja T, kemeja dan sebagainya.

Namun ramai penggemar jeans tidak peka tentang cara penjagaannya. Agar seluar jeans anda dapat kekal dalam keadaan yang baik dan warnanya tidak luntur dengan mudah, ia memerlukan penjagaan yang rapi. 

Dengan mengamalkan cara pencucian yang tepat, jeans boleh tahan bertahun lama tanpa menjejas penampilannya. 

Yang ideal, jeans dikatakan hanya perlu dicuci selepas lima hingga 10 kali memakainya. Tapi, ada juga yang sampai lebih setahun tidak mencucinya kerana tidak mahu ia kelihatan luntur.

Sementara golongan majoriti pula selalunya akan mencuci jeans selepas dua hingga tiga kali pakai untuk mengelakkannya daripada berbau kurang enak selain ingin menanggalkan kotoran yang melekat.

Untuk mengelakkan jeans kegemaran anda cepat pudar, terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan sebelum dan semasa mencucinya. Terdapat pelbagai pandangan yang berbeza-beza tentang cara menjaga dan mencuci jenas. 

Menurut pendapat ketua pegawai eksekutif Levis, Charles V Bergh, beliau tidak menyarankan untuk mencuci jeans dengan menggunakan mesin pencuci. Tapi, jika perlu menggunakan mesih pencuci pastikan diterbalikkan terlebih dahulu jeans sebelum memasukkannya ke dalam mesin pencuci. Dengan cara ini, sedikit sebanyak ia dapat membantu untuk mengelakkan warnanya dari cepat luntur. 

Sebagai alternatif, anda juga digalakkan untuk mencuci jeans dengan tangan. Proses ini tidak sukar. Anda harus merendam jeans dengan campuran air sejuk dan sedikit sabun pencuci. Elakkan daripada mengguna terlalu banyak sabun kerana ia menjejas warna asal jeans.

Kemudian gosok jeans dengan tangan untuk menanggalkan kesan kotoran jika ada. Bilas, perah dan jemur segara.

HINDARI BAKTERIA DAN BAU

Menurut satu kajian, selepas sekali pakai jeans, bakteria, peluh, sel kulit, habuk dan kotoran akan melekat padanya.

Contohnya, jika anda duduk di atas bangku atau permukaan kotor, pastinya kotoran itu akan melekat. Walaupun bakteria ini tidak mendatangkan mudarat dan tidak berbahaya, jika anda tidak mencuci jeans ia pasti berbau tengik dan akan membuat anda tidak selesa untuk menggayakannya. 

Sebagai alternatif pakar denim memberi saranan untuk meletakkan jeans dalam peti ais bahagian beku atau 'freezer'. Bakteria dipercayai tidak boleh hidup dalam suhu yang sejuk beku. Namun, ramai yang tidak setuju dan tidak akan meletakkan seluar jeans kegemaran di dalam peti sejuk beku di rumah. Lagipun, suhu peti sejuk di rumah tidak cukup kuat untuk membunuh bakteria yang melekat pada jeans. 

Selain itu, ia juga tidak dapat menanggalkan kesan peluh atau minyak serta sel kulit mati yang melekat di celah seluar anda. 

Sebagai alternatif, anda digalakkan untuk mencuci jeans menggunakan tangan. Walaupun ia tidak akan menyingkirkan kotoran secara 100 peratus, ia sudah cukup memadai. 

Tapi, berapa kerap harus anda cuci jeans kesayangan agar penampilannya tidak terjejas?

Tepuk dada tanya selera.

Ramai dalam kalangan kita yang mementingkan kebersihan dan inginkan pakaian yang bebas daripada bakteria selain bau yang tidak diingini. Jadi, cucilah bila anda rasa sudah tiba masanya dan bila perlu. 

Walaupun warnanya akan cepat luntur, ia tetap kekal cantik. Untuk mengelakkannya daripada cepat luntur, pastikan ia diterbalikkan bila mencucinya.
 
CARA CUCI JEANS

Jangan rendam lama

Seluar jeans yang direndam terlalu lama dengan sabun akan menjejas warnanya. Ia akan mudah luntur dan membuat fabriknya reput.

Pastikan untuk tidak membiarkan jeans direndam semalaman atau sampai berhari-hari dengan harapan ia dapat membunuh kuman.  

Elak mencuci setiap hari

Mereka yang gemar pada gaya denim pasti tahu tentang kesannya jika ia dicuci secara kerap. Teksturnya akan berubah dan menjadi lusuh.

Jika jeans kotor atau berbau, pastikan untuk menggunakan teknik mencuci yang tepat dengan merendamnya bersama sedikit sabun yang sudah dilarutkan dan elakkan daripada mencampurnya dengan pakaian lain. 

Suhu air

Fabrik jenis denim ini sangat sensitif dengan suhu yang panas. Oleh itu, pastikan untuk menggunakan air suhu biasa atau suam bila mencuci jeans. Elakkan daripada menggunakan air yang terlalu sejuk atau panas kerana ia akan menghalang kotoran daripada tertanggal sehingga sukar untuk dibersihkan.

Jangan lipat

Cuba elakkan daripada melipat seluar jeans, tidak kira basah atau kering. Sebaliknya jeans harus digantung agar ia tidak renyuk. Jika seluar jeans dilipat terlalu lama, garisan warna lunturnya akan jelas kelihatan. 

Elak matahari

Agar warna jeans kegemaran anda kekal utuh dan tidak berlapuk atau pudar, pastikan untuk tidak menjemurnya di bawah matahari yang terik. Walaupun jeans akan cepat kering, dalam jangka panjang ia boleh membuat fabrik mudah rosak.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan