Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Beli barangan berjenama sambil hulur derma kepada jualan amal Pasar Glamour & HuntStreet

Barangan berjenama seperti Chanel, Hermes dan Gucci adalah antara yang boleh anda beli sambil menyokong usaha membantu kaum wanita, pekerja hijrahan dan khidmat kesihatan mental.

Anggaran Waktu Membaca:
Beli barangan berjenama sambil hulur derma kepada jualan amal Pasar Glamour & HuntStreet

Para pengasas Pasar Glamour (Gambar: Instagram/Pasar Glamour)

Diterbitkan : 23 Nov 2021 10:10AM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 10:16AM

SINGAPURA: 'Segarkan' almari pakaian anda sambil menghulurkan bantuan kepada golongan yang paling terjejas akibat pandemik COVID-19.

Jualan amal ini adalah bagi mengumpul dana melalui Pasar Glamour, yang kali ini diusahakan bersama dengan wadah pasaran mewah online HuntStreet.

Jualan amal The Pasar Glamour x HuntStreet akan menampilkan dua acara – satu acara bertiket secara fizikal di bilik pameran HuntStreet (#04-01 Apex@Henderson, 201 Henderson Road) pada 4 dan 5 Disember dan acara online dari 6 hingga 17 Disember.

Tiket untuk slot kunjungan awal selama 45 minit antara 10.00 pagi hingga 1.00 tengah hari pada 4 Dis berharga S$50 setiap satu, manakala tiket untuk slot umum selama 45 minit antara 2.00 hingga 6.00 petang berharga S$20. Anda juga boleh membeli tiket untuk slot umum selama 45 minit pada 5 Disember berharga S$20.

Setiap tiket untuk satu pelanggan saja dan harganya boleh ditebus semula semasa daftar keluar. Slot terakhir yang boleh ditempah ialah pada 5.00 petang dan langkah pengurusan selamat sedia ada akan dilaksanakan di lokasi jualan, menurut pihak penganjur.

Tiket laris dijual setakat pagi 23 Nov, dengan slot untuk 4 Dis dilaporkan habis dijual sepenuhnya. Anda masih boleh menempah slot untuk 5 Dis melalui Eventbrite.

Para pembeli-belah boleh menjangkakan barangan jenama mewah yang diidam-idamkan seperti Chanel, Hermes, Gucci dan Prada, serta barangan berjenama terpakai yang disumbangkan oleh selebriti seperti Glenda Chong, Kym Ng dan Rebecca Lim, menurut Pam Oei, yang mengasaskan Pasar Glamour pada 2017 bersama rakan artis Janice Koh dan Petrina Kow.

Kutipan dana daripada acara itu akan didermakan kepada tiga pertubuhan bukan untuk meraih keuntungan.

Di AWARE, dana itu akan disalurkan kepada kempen Hope in the Dark, yang bertujuan untuk mencegah dan menangani keganasan seksual sambil menghulurkan sokongan kepada para mangsa.

Dana itu juga akan digunakan bagi usaha HOME menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat pekerja hijrahan di Singapura, khususnya dalam menyediakan barangan keperluan asas, penjagaan kesihatan, perumahan, sokongan kewangan kecemasan, sokongan kes dan bantuan perubatan.

Selain itu, dana tersebut juga akan disalurkan kepada Limitless sedang ia berusaha untuk menggajikan lebih ramai kaunselor, pekerja sosial dan pakar psikologi untuk menyediakan kidmat kesihatan mental kepada belia.

HuntStreet juga akan mendermakan 10 peratus daripada kutipannya sendiri dari 6 hingga 17 Dis kepada usaha pengumpulan dana itu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan