Bekas tapak Celestial Resort di Pulau Ubin dirobohkan; buka makmal selidik alam sekitar
Sebuah tempat penginapan di Pulau Ubin yang sudah ditutup selama bertahun-tahun dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah makmal penyelidikan alam sekitar.
SINGAPURA: Sebuah tempat penginapan di Pulau Ubin yang sudah ditutup selama bertahun-tahun dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan sebuah makmal penyelidikan alam sekitar.
'Ubin Living Lab', yang dibuka pada 2016, adalah sebuah kemudahan bersepadu bagi kajian lapangan, pendidikan persekitaran, penyelidikan serta pendampingan masyarakat.
Ia kini menduduki bekas tapak Celestial Resort seluas 2.1 hektar. Apabila siap kelak, keluasan makmal tersebut akan menjangkaui 5.4 hektar.
Apabila Mediacorp mengunjungi tempat itu pada Rabu (9 Jun), satu bahagian tapak itu ditandakan dengan 'Ubin Living Lab'. Kawasan lain tidak lagi digunakan dan kelihatan pada peringkat awal ia dirobohkan.
Sebilangan besar bangunan yang tinggal masih lagi berdiri meskipun beberapa pintu dan tingkap sudah ditanggalkan. Sebahagian tapak itu diruntuhkan oleh sebuah kren dan tiga penggali.
Terletak di bahagian barat daya Pulau Ubin, Celestial Resort sebelum ini menempatkan pelawat yang mahu bermalam di pulau tersebut. Kali terakhir ia memuat naik catatan di Facebooknya adalah pada 2012.
Makmal tersebut kali pertama diumumkan pada November 2014 sebagai salah satu daripada inisiatif Lembaga Taman Negara (NParks), yang bertujuan untuk melestarikan persekitaran alam semula jadi, biodiversiti dan warisan pulau itu.
Menurut lelaman NParks, blok utama Ubin Living Lab menempatkan sebuah makmal kajian lapangan, bilik-bilik mesyuarat dan seminar serta dua dormitori. Terdapat juga sebuah pejabat NParks dan bilik bantuan kecemasan bagi pelawat yang memerlukan bantuan.
Satu lagi bangunan, dinamakan 'Hall Block', mempunyai sebuah dewan serbaguna bagi kegiatan berkumpulan dan juga sebuah ruang khas dengan peralatan kerja kayu dan meja-meja kerja bagi menyokong pemuliharaan rumah kampung oleh masyarakat.
Tapak perkhemahan Endut Senin boleh menampung sehingga 100 orang manakala arboretum bakau mempamerkan koleksi hidup spesies tanaman bakau yang berasal dari Singapura.
“Kemudahan baru ini akan menjadi pemangkin bagi penyertaan masyarakat dalam memulihara kepelbagaian biologi dan warisan pulau itu selain mempromosikan kemampanan melalui program sains penduduk, perkhemahan luar serta penyelidikan saintifik," menurut NParks pada 2016.
Tiga tahun kemudian, ia mengumumkan kerja-kerja bagi menambah baik akses termasuk jeti pontun terapung yang mesra kerusi roda yang mempunyai "perairan tenang dan kemudahan untuk menampung pengguna kerusi roda serta individu yang mempunyai pergerakan rendah".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.