Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Bekas pemain bola sepak negara Rafi Ali turunkan harga beriani demi dimampui pelanggan

Apabila beliau tidak turun padang untuk berkhidmat selaku jurulatih, bekas pemain bola sepak negara, Rafi Ali, 49 tahun, akan sibuk menyingsing lengan di gerainya bernama Ali Nachia Briyani.

Anggaran Waktu Membaca:
Bekas pemain bola sepak negara Rafi Ali turunkan harga beriani demi dimampui pelanggan

Gerai Ali Nachia Briyani yang dikendalikan bekas pemain bola sepak negara, Rafi Ali, kini beroperasi di 61 Kaki Bukit Ave 1. (Gambar-gambar: Kelvin Chia/ Rafi Ali)

SINGAPURA: Apabila beliau tidak turun padang untuk berkhidmat selaku jurulatih, bekas pemain bola sepak negara, Rafi Ali, 49 tahun, akan sibuk menyingsing lengan di gerainya bernama Ali Nachia Briyani.

Kedai nasi beriani dam yang menjadi antara digemari di Singapura itu dimulakan oleh bapa Encik Rafi, Mohammed Ali Latif, 72 tahun, di Stesen Kereta Api Tanjong Pagar lama pada tahun 2002.

Namun, kedai tersebut sudah beberapa kali berpindah lokasi.

Pada 2011, ia berpindah ke Tanjong Pagar Plaza selepas stesen kereta api tersebut berhenti beroperasi.

Ia kemudian beralih ke sebuah rumah kedai di Hoe Chiang Road pada 2020 kerana harga sewa meningkat di premis lama.

Bagaimanapun, sewa di rumah kedai tersebut berakhir tahun ini dan Encik Rafi sekali lagi berpindah ke sebuah kedai kopi di Kaki Bukit pada Jun.

TURUNKAN HARGA BERIANI

Meskipun dunia menghadapi tekanan inflasi, Encik Rafi tidak menaikkan harga jualan yang ditawarkan dalam menunya.

Sebaliknya, sejak berpindah ke lokasi terbarunya itu, beliau mengurangkan S$2 bagi setiap pinggan beriani dan harga lebih rendah itu ditawarkan sehingga hujung tahun ini.

"Seperti yang anda tahu, harga makanan sudah meningkat jadi ini adalah satu penghargaan kepada para pelanggan kami yang telah menyokong kami sepanjang tahun-tahun ini," terang Encik Rafi sambil menambah bahawa langkah tersebut membuat orang ramai lebih mampu untuk menikmati nasi berianinya.

HARGA TURUN TAPI HIDANGAN TETAP SAMA

Menurut Encik Rafi, tiada apa yang berubah pada beriani jualannya kecuali harga, yang bermula dari S$6 untuk Beriani Ayam.

Kedai itu juga menawarkan Beriani Kambing (S$7) dan Beriani Ikan (S$7, pada setiap Jumaat sahaja).

Hidangan paling mahal yang dijual di kedai Encik Rafi adalah Beriani Betis Kambing (S$21, pada setiap Sabtu sahaja), yang menyediakan daging dari Australia. Jika pelanggan mempunyai selera besar, mereka boleh menokok S$2 untuk menambah sepinggan nasi basmati.

BERIANI AIR TANGAN RAFI, IBU BAPANYA

Ibu bapa Encik Rafi masih memasak di gerai mereka, namun tiga beranak itu akan membahagi-bahagikan tugasan untuk menghasilkan beriani.

"Ibu saya adalah pakar rempah beriani, ia adalah resipinya yang tersendiri," kongsi Encik Rafi yang menggelarkan emaknya itu sebagai 'Spice Girl' yang tulen.

Ali Nachia Briyani menggunakan resipi rempah asli yang dicipta sendiri oleh bapa Encik Rafi, bekas katerer bagi majlis walimatulurus, yang tidak lokek untuk menambah bahan secukupnya bagi mendapatkan ramuan rempah yang memuaskan.

Ali Nachia Briyani dibuka hanya pada waktu makan tengah hari.

"Tetapi sekarang kami juga menyediakan perkhidmatan untuk majlis perkahwinan, acara korporat, pesta, majlis pertunangan dan sebagainya," kata Encik Rafi, yang dahulunya merupakan sebahagian daripada pasukan bola sepak negara, yang mengukir kemenangan dalam Piala Tiger pada 1998.

Ali Nachia Briyani terletak di 61 Kaki Bukit Ave 1, S417943.

Ia dibuka setiap hari kecuali Ahad, dari 7.00 pagi hingga 3.00 petang atau apabila hidangan sudah habis dijual. Anda boleh dapatkan lebih banyak kemas kini di www.facebook.com/AliNachiaBriyaniDam.
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan