Bekas askar sepenuh masa yang pernah anggotai kumpulan samseng kini peniaga ayam penyet
Para penduduk di bahagian barat Singapura kini dapat menikmati satu lagi hidangan ayam penyet yang menyelerakan dari sebuah gerai di pusat makanan Kopitiam di pusat beli-belah IMM Outlet Mall.
(Gambar: Sng Ler Jun/TODAY)
Abdul Qaliff, 35 tahun, seorang bekas askar sepenuh masa dan penjual dendeng di pasar malam, kini menawarkan hidangan Indonesia seperti mi bakso serta ayam grepek di gerainya, MAD Geprek.
Hidangan ayam geprek yang digemarinya mencetuskan ilham untuk memulakan perniagaan tersebut.
Dibuka pada lewat Jun lalu, MAD Geprek terletak di satu sudut terceruk di pusat makanan tersebut dan merupakan satu-satunya gerai di sana yang dimiliki orang Muslim.
IBU SAUDARA DORONG PERBAIKI DIRI
Seperti kebanyakan remaja lain, Encik Qaliff juga pernah membuat keputusan yang kurang bijak dan antaranya termasuk menyertai sebuah kumpulan kongsi gelap semasa di bangku sekolah menengah.
"Saya merupakan orang suruhan," kata Encik Qaliff sambil mengimbas kembali kisah hidupnya menjual CD dan DVD cetak rompak atau bertindak sebagai penjaga yang memberi amaran kepada penjual haram sekiranya serbuan polis akan dilakukan.
Namun, Encik Qaliff mula insaf selepas ditangkap mencerobohi rumah seseorang
mencuri ikan-ikan eksotik sewaktu di Menengah Empat. Akibatnya, Encik Qaliff perlu menjalani hukuman selama sembilan bulan di Asrama Budak Lelaki Singapura.
Bagi Encik Qaliff, ibu saudaranya memainkan peranan penting dalam membantu beliau untuk mengubah kehidupannya semasa menjalani proses pemulihan tersebut.
"Kalau bukan kerana beliau, saya tidak akan meninggalkan kumpulan samseng itu, mengikuti kurses Nitec secara sambilan dalam kemahiran pejabat di ITE atau bahkan menjadi askar sepenuh masa,"ungkap Encik Qaliff yang membesar bersama ibu saudaranya di rumah neneknya kerana ibu bapa beliau sibuk bekerja.
Encik Qaliff meninggalkan jawatannya sebagai sarjan pertama untuk menjual dendeng dan makanan lain di pasar malam.
"Saya meninggalkan tentera kerana saya mahukan perubahan rentak dan ingin mencabar diri saya untuk melakukan sesuatu yang baru," kata beliau.
PELAJARI RESIPI DARIPADA YOUTUBE
Apabila pandemik menghambat rancangan beliau untuk memperluaskan perniagaan pasar malamnya, Encik Qaliff memutuskan untuk membuat kerja penghantaran bagi menyara kehidupan.
Sebelum pandemik, Encik Qaliff akan mengendalikan gerai pasar malamnya dengan keluarganya. Beliau membawa pulang purata S$4,000 dengan menjual dendeng, keropok lekor dan kudapan lain.
Dengan banyak waktu senggang yang terluang, Encik Qaliff menggunakan masa itu bagi mempelajari resipi di YouTube untuk cuba memasak di rumah.
"Saya secara kebetulan terjumpa resipi ayam penyet dan menyedari bahawa saya boleh membuat perniagaan daripada itu," kongsi Encik Qaliff.
"Saya mencuba resipi itu dan mendapatkan rakan bapa saya, yang menjual masakan Indonesia di kantin sebuah kilang, untuk mengajar saya selok-belok bagi memperbaiki hidangan tersebut."
Tahun 2022 merupakan tahun yang mencabar buat Encik Qaliff.
Pada awal tahun ini, isteri beliau mengalami keguguran pada awal usia kandungan. Baru-baru ini pula, bapanya menghidapi angin ahmar.
"Agak mencabar untuk menguruskan semua ini tatkala membuka sebuah gerai," katanya.
Encik Qaliff mengaku bahawa perniagaannya tidak menentu setakat ini tetapi akur bahawa ia merupakan lumrah bagi peniaga baru dalam industri perniagaan makanan dan minuman (F&B).
Meskipun berdepan dengan cabaran, Encik Qaliff tidak berhasrat untuk kembali kepada perniagaan pasar malamnya buat masa sekarang kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya kepada perniagaan MAD Grepek.
MAD Grepek terletak di Kopitiam, #03-55 IMM, 2 Jurong East St 21, S609601. Ia dibuka setiap hari dari pukul 10.00 pagi sehingga 10.00 malam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.