Bazar Jalan TAR di KL jadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong jelang Syawal
KUALA LUMPUR: Bazar Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang terkenal sebagai lokasi kelengkapan raya dengan tawaran harga berpatutan terus menjadi tumpuan orang ramai, termasuk pelancong luar negara, untuk persiapan Aidilfitri.
Tinjauan Bernama mendapati suasana di Jalan TAR meriah dengan pengunjung membeli barangan seperti kuih Raya, kelengkapan baju Raya serta sampul duit Raya.
Juruukur bahan di Jabatan Kerja Raya Nor Zamzarina Abdul Rashid, 45 tahun, memanfaatkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 (S$163.40) untuk membeli barangan persiapan bagi menyambut Syawal yang bakal tiba.
Pengurus media sosial Muhammad Shafwan Mohd Zaidon, 32, berkata harga barangan yang lebih rendah serta kemeriahan di Bazar Jalan TAR berbanding lokasi lain menjadikan tempat itu sebagai persinggahan wajib baginya setiap tahun menjelang Syawal.
“Perbelanjaan Raya pada tahun ini bertambah berbanding tahun lalu kerana baru sahaja menimang cahaya mata. Jadi saya memilih Bazar Jalan TAR sebab lebih murah dan banyak pilihan selain ‘vibe’ (suasana) di kawasan ini menyeronokkan,” kata anak jati Kuala Lumpur itu.
Bagi pengunjung dari Brunei, Faridah Norsalam, 39 tahun, beliau berkunjung ke Bazar Jalan TAR bersama suaminya disebabkan variasi pakaian serta barangan yang dijual di situ.
“Saya membeli beberapa pasang baju Raya dan kelengkapan Raya yang lain untuk dibawa pulang ke Brunei sebagai persiapan raya,” katanya.
Sementara itu, peniaga baju kurta dan baju Melayu, Muhammad Farhan Khairul Nizan, 27 tahun, berkata jualan amat memberangsangkan, terutama pada penghujung Ramadan ini.
“Saya jangkakan jualan akan terus meningkat dan stok mungkin habis terjual sebab semakin ramai orang datang memandangkan Hari Raya akan tiba tak lama lagi,” katanya yang turut menerima pelanggan dari Eropah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.