Skip to main content

Gaya Hidup

'Bazar' F1 dibuka di Kampong Gelam 13-22 Sep; pelbagai kegiatan, persembahan turut dianjur

Anggaran Waktu Membaca:
'Bazar' F1 dibuka di Kampong Gelam 13-22 Sep; pelbagai kegiatan, persembahan turut dianjur

(Gambar: One Kampong Gelam)

Diterbitkan : 12 Sep 2024 07:53PM Dikemas Kini : 12 Sep 2024 07:54PM
SINGAPURA: Satu festival bakal berlangsung di kawasan Kampong Gelam sepanjang 10 hari menjelang perlumbaan Formula One di Singapura pada 22 September.

Festival dipanggil 'The Glam Circuit Festival 2024' dan bermula Jumaat (13 Sep) itu akan menampilkan satu pasar malam mahupun pelbagai kegiatan dan persembahan buat semua peringkat usia.

Pasar malam khususnya akan dibuka di Baghdad Street, Sultan Gate Park dan tempat letak kereta Aliwal Street.

Sebanyak 80 kedai makanan dan minuman - seperti AshesBurnnit, Home Of Seafood dan The Original Vadai - serta cawangan runcit akan berniaga di sana.


Antara kegiatan menarik yang dianjurkan pula adalah peluang untuk mencuba simulator perlumbaan di Tempat Letak Kereta Baghdad Street.

Menurut pihak penganjur, One Kampong Gelam, permainan tersebut menawarkan pengalaman berlumba imersif di mana simulator dilengkapi dengan pelbagai grafik dan alat kawalan responsif.

Ada juga kegiatan di mana orang ramai boleh bersama-sama melukis pada satu kereta kadbod. Anda boleh menikmati kegiatan yang menggalak pelibatan masyarakat ini, di Sultan Gate Road.


Bermacam-macam permainan karnival klasik boleh juga anda nikmati di Tempat Letak Kereta Aliwal Street.

Bagi mereka yang sekadar mahu bersantai dan mendengar muzik pula, anda boleh ke Sultan Gate Park dan tempat letak kereta Aliwal Street.

Dua pentas dibangunkan di sana, di mana pelbagai kumpulan seni seperti Nadi Singapura dan penyanyi R&B Zalelo akan mengadakan persembahan.


"Festival Glam Circuit 2024 adalah satu sambutan yang melangkaui keghairahan menyaksikan perlumbaan yang turut menonjolkan warisan budaya kita," kata Pengerusi One Kampong Gelam, Encik Zaki Maarof menerusi satu kenyataan pada Khamis (12 Sep).

"Ia menawarkan pelbagai pengalaman yang menjadi simbol kepelbagaian dan dinamik perlumbaan pada waktu malam di Singapura. Kami teruja menganjurkan satu acara yang mempamerkan semangat bertenaga dan inklusif Kampong Gelam dalam cara yang baharu," tambah beliau.

Acara akan berlangsung setiap hari dari 13 hingga 22 September, dari jam 2.00 tengah hari hingga 10.00 malam atau 10.30 malam (Jumaat-Ahad).

Anda boleh melungsuri laman Facebook dan Instagram One Kampong Gelam untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : BERITA Mediacorp/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita